Follow us

Malaysia Tutup Kilang Operasi Sisa Plastik Haram

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-02-25
E-mel
Komen
Share
Seorang pekerja sedang memilih sisa plastik untuk dikitar semula di Ampang, Kuala Lumpur, 5 Mei, 2014.
Seorang pekerja sedang memilih sisa plastik untuk dikitar semula di Ampang, Kuala Lumpur, 5 Mei, 2014.
(AFP)

Malaysia telah menutup 140 buah kilang kitar semula plastik di seluruh negara sejak awal tahun dalam usaha untuk memerangi pengimportan haram dan pembuangan sisa berkenaan di negara tersebut, demikian kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Isnin.

Bercakap kepada pemberita selepas serbuan di tiga buah tapak kilang di Negeri Sembilan, iaitu sebuah negeri di selatan Kuala Lumpur, Menteri Yeo Be Yin berkata kerajaan mula mensasarkan operasi haram berkenaan sejak Julai 2018 apabila menemui kira-kira 750,000 tan metrik sisa merbahaya itu yang telah diimport masuk ke negara tersebut.

"Kita sudah menderita akibat daripada lambakan sisa plastik, jadi kami [Kementerian] melancarkan operasi ini dengan sasaran untuk menutup 100 buah kilang kitar semula yang beroperasi secara haram termasuk kilang yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada suku pertama tahun ini," katanya.

Malaysia dan beberapa negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, telah menjadi destinasi buangan bagi sisa plastik merbahaya itu, selepas China mengambil tindakan keras terhadap pengimportan sisa plastik pada Januari 2018, kata Yeo memberitahu sidang Parlimen pada Oktober lepas.

Menurut agensi berita China Xinhuanet yang melaporkan bahawa disebabkan oleh larangan dari negara itu telah berlaku lonjakan sebanyak 28 peratus dari tahun ke tahun oleh syarikat kitar semula Malaysia.

Yeo telah mengumumkan bahawa kementeriannya telah mencapai matlamat suku tahun pertama hanya dalam tempoh dua bulan bagi 2019 dengan penutupan sebanyak 109 buah kilang daripada 239 buah yang diperiksa kerana beroperasi secara haram.

Katanya, 31 buah kilang lagi diarahkan tutup kerana tidak mematuhi standard Akta Kualiti Alam Sekeliling yang sekaligus menjadikan jumlah penutupan sebanyak 140 buah.

Menteri berkenaan juga memberi amaran kepada mereka yang merancang membuka operasi kitar semula plastik secara haram supaya melupakan idea berkenaan kerana pentadbiran Putrajaya mengambil serius terhadap aktiviti merbahaya itu.

Sejak tindakan keras diambil oleh kementerian berkenaan, empat buah kilang dan pengendali didapati bersalah dan dihukum penjara sehari serta didenda sebanyak 389,000 ringgit (AS$95,600), katanya.

"Kami masih menyiasat 44 lagi kes sebelum membawa mereka ke mahkamah. Kami yakin saman sehingga 3 juta ringgit (AS$737,400) dan tambahan masa penjara boleh dikenakan ke atas mereka sekiranya didapati bersalah, " kata Yeo.

Kementerian itu juga mengumumkan yang kerajaan akan merampas tanah yang digunakan untuk pemprosesan haram sisa plastik tersebut serta tapak pembuangannya jika syarikat yang didapati bersalah tidak dapat membayar denda dan kos pembersihan mereka.

Operasi pemeriksaan itu juga membawa kepada penangkapan seramai 29 warga Bangladesh, 18 rakyat India dan 35 dari China kerana melanggar Akta Imigresen.

Reaksi pakar alam sekitar

Pengerusi Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Selangor Damien Thanam mahu lebih banyak dilakukan oleh kerajaan dan semua pihak.

"Kami mengalu-alukan berita ini, tetapi Pelabuhan Pulau Pinang menyimpan kira-kira 120 buah kontena berisi sisa plastik dengan tidak mahu mendedahkan butiran siapa pemiliknya," kata Damien kepada BeritaBenar.

Beliau berkata penyiasatan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada pengendali sahaja, tetapi turut melibatkan pengimport dan pembekal yang membawa masuk sisa plastik buangan ke Malaysia, kerana mereka masih bebas.

"Apa yang akan berlaku kepada mereka yang menghantar kontena tersebut ke negara ini? Manifest perkapalan akan mendedahkan penglibatan ramai pihak dan juga asal kontena berkenaan, "persoal Damien sambil menambah "Pengirim juga perlu dikenakan tindakan mahkamah dan kontena tersebut perlu dihantar kembali dan bukannya untuk dilelong.”

Yeo, sebelum ini mencadangkan sisa buangan plastik dari kilang yang ditutup itu dilelong atau dihantar ke tapak pelupusan, atau dibakar dengan kosnya dibiayai oleh pesalah.

"Kami di PEKA telah menerima laporan bahawa sesetengah sekolah di Kuala Langat tidak mempunyai sesi aktiviti fizikal mereka secara terbuka kerana pencemaran udara," kata Damien. "Kami juga telah melaporkan kepada Jabatan Kesihatan Selangor mengenai insinerator haram yang beroperasi di Shah Alam yang disyaki membakar sisa plastik."

Beliau berkata jiran-jiran telah memberitahunya bahawa insinerator itu hanya beroperasi pada waktu malam walaupun telah diarahkan untuk ditutup.

"Banyak operasi ini sudah dipindahkan dari Selangor ke negeri-negeri lain sekarang," katanya.

Negeri Selangor mempunyai kilang haram paling banyak iaitu 65 buah yang dikenalpasti daripada 114 yang telah diperiksa, diikuti dengan Kedah sebanyak 15, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing 10, demikian menurut statistik kerajaan yang diterbitkan pada Isnin.

Lihat Laman Penuh