Malaysia pertimbang gubal undang-undang atasi pencemaran plastik
2024.06.06
Kuala Lumpur
Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang yang menyasarkan pengurangan pencemaran sisa plastik ekoran peraturan sedia ada tidak mencukupi untuk menangani isu tersebut yang kini menjadi masalah utama di negara itu, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Khamis.
Di Malaysia, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat negara itu pada setiap tahun dengan sebahagian besarnya berakhir di lautan, kata penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menteri berkenaan, Nik Nazmi Nik Ahmad memberikan komen tersebut sehari selepas satu laporan yang disiarkan mengenai kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal alam sekitar Amerika yang mendedahkan, penduduk Malaysia paling banyak memakan mikroplastik yang dikategorikan sebagai partikel halus kurang daripada 5 milimeter (mm) dalam tinjauan membabitkan 109 buah negara.
Kajian yang dimuatkan dalam jurnal ‘Environmental Science and Technology’ terbitan Persatuan Kimia Amerika (ACS) yang berpangkalan di Washington pada April lalu mendedahkan secara purata, rakyat Malaysia memakan sebanyak 502.3 miligram (mg) per kapita mikroplastik sehari.
Kadar itu sekali ganda lebih tinggi berbanding negara jiran, Thailand yang mencatatkan pemakanan harian per kapita mikroplastik sebanyak 267mg manakala negara Eropah, India dan Australia merekodkan antara 54 hingga 69mg sehari.
Menurut kajian itu, mikroplastik yang merupakan partikel plastik halus dan bersaiz kurang dari 5mm, kian menjadi ancaman bukan sahaja kepada persekitaran malah kesihatan manusia.
"Kita memerlukan pendekatan nasional untuk menangani pencemaran plastik," kata Nik Nazmi di Kuala Lumpur sambil menambah bahawa tanggungjawab tersebut banyak bergantung kepada pihak berkuasa kerajaan tempatan di negeri-negeri.
Beliau menekankan tentang keperluan rangka kerja undang-undang yang teguh untuk menghapuskan penggunaan plastik sekali pakai secara berperingkat, meningkatkan kadar kitar semula dan memerangi pencemaran plastik dengan berkesan.
“Perbincangan sudah berjalan. Kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan perunding untuk belajar daripada negara lain dalam menentukan jalan terbaik ke hadapan,” katanya.
Nik Nazmi menjelaskan, kerajaan telah mempunyai pelan hala tuju kelestarian penggunaan plastik dan pelan hala tuju plastik sekali guna yang kini telah mencapai kemajuan yang positif antara 2018 dan 2022.
Namun katanya usaha tersebut tergendala berikutan wabak Covid-19 di mana keutamaan diberikan dalam menentang wabak tersebut tetapi dalam masa yang sama banyak sisa plastik terhasil sepanjang tempoh pandemik.
“Pada tahun ini Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam banyak menumpukan kepada isu penggunaan plastik dan pasukan kita juga sedang dalam perbincangan mengenai Perjanjian Plastik Global.
“Kerajaan sedang meneliti sama ada kita memerlukan undang-undang khusus memandangkan terdapat kelompongan dalam undang-undang sedia ada.
“Kita ingin mempromosikan alternatif (kepada plastik) namun selagi tiada undang-undang yang khusus seperti di negara Afrika yang telah mengharamkan (penggunaan plastik) manakala negara Eropah dan United Kingdom memperkenalkan cukai plastik yang ia tidak dapat dilaksanakan (di negara ini),” tambah Nik Nazmi.
Mikroplastik dari makanan laut
Kajian yang ditulis oleh penyelidik Xiang Zhao dan Fengqi You dari Universiti Cornell, sebuah universiti penyelidikan swasta di New York, Amerika Syarikat itu menjelaskan mikroplastik dikesan dalam persekitaran sungai dan laut yang kemudiannya dimakan oleh hidupan marin sebelum memasuki tubuh badan manusia yang memakannya.
Penyelidik turut mendapati bahawa kandungan mikroplastik yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan negara perindustrian yang semakin pesat seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam adalah berpunca daripada pengambilan makanan laut yang tinggi.
“Bahan tercemar yang halus ini boleh tersebar ke udara, air dan sistem tanah sekali gus memasuki ekosistem serta mencemarkan spesies makanan.
“Perkembangan industri secara tidak langsung menyumbang kepada beban alam sekitar yang berpunca daripada pembentukan mikroplastik dan peningkatan tahap pencemaran plastik serta struktur pemakanan domestik.
“Ikan komersial dan hidupan laut lain yang memakan organisma dalam air terutamanya phytoplankton atau zooplankton yang terkandung dalamnya partikel plastik yang diperoleh dari air, udara atau mangsa mereka boleh mengekalkan kandungan mikroplastik tersebut seterusnya memasuki tubuh badan manusia semasa memakan makanan laut itu,” menurut kajian tersebut.
Pada April, media tempatan memetik kajian penyedia perkhidmatan tenaga dari United Kingdom (UK), Utility Bidder yang mendedahkan Malaysia mencemari lautan dengan 2.29kg plastik per kapita setiap tahun sekali gus meletakkan negara Asia Tenggara itu di tangga kelima tertinggi di dunia yang terbabit menyebabkan pencemaran laut.
Ketua Makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Haliza Abdul Rahman berkata data kertas penyelidikan terbitan ahli akademik Belanda, Lourens JJ Meijer pada 2021 menunjukkan kedudukan Malaysia di tempat ketiga senarai 10 negara teratas menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan.
“Berdasarkan laporan terbitan World Wildlife Fund (WWF-Malaysia) pada 2022, Malaysia mencatatkan pembungkusan plastik per kapita tahunan bagi setiap orang adalah 16.8kg,” tulisnya dalam laporan media tempatan.
Haramkan penggunaan
Dalam pada itu, pakar alam sekitar dan air berpendapat undang-undang yang bakal digubal perlu menitikberatkan masalah pencemaran plastik yang digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian terutamanya perindustrian dan pembungkusan makanan.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY), Andrew Sebastian mencadangkan supaya kerangka undang-undang yang bakal dilaksanakan bukan sahaja bertujuan menghapuskan penggunaan plastik secara berperingkat malah mengharamkan penggunaan plastik sekali guna di seluruh negara.
Andrew turut menyarankan kerajaan agar memberikan tempoh setahun kepada industri untuk mencari alternatif kepada pengharaman plastik selain memberikan insentif kepada industri yang memperkenalkan kaedah pembungkusan barangan seperti makanan lebih mesra alam sekitar.
“Sesetengah negara telah mengharamkan penggunaan plastik namun kita masih lagi terkebelakang dengan hanya mengenakan caj yang sangat sedikit untuk setiap beg plastik yang digunakan dan langkah ini hanya dilaksanakan di pasar raya besar.
“Kerangka undang-undang itu harus menjurus kepada pengharaman penggunaan plastik sekali guna bermula dengan kesemua bandar besar, diikuti kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kerajaan boleh memberi tempoh masa setahun bagi pihak industri memikirkan jalan penyelesaian (alternatif kepada plastik) dan sebaik sahaja larangan penggunaan plastik dikuat kuasa, muncul industri yang memperkenalkan bahan sintetik baru lebih mesra alam sekitar,” kata beliau kepada BenarNews.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Nadzri Yahaya pula berpendapat, kerajaan perlu melihat tentang kerangka undang-undang itu sama ada ia meliputi pengilang plastik atau mengawal sisa pepejal kerana kedua-dua aspek tersebut di bawah tanggungjawab kementerian dan agensi yang berbeza.
Menurut Nadzri, sekiranya undang-undang tersebut merangkumi cara mengawal sisa plastik, ia telah sedia wujud dalam Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
“Apa yang kerajaan mungkin mahu laksanakan ialah menetapkan peraturan di bawah akta tersebut namun ia lebih mudah dilakukan berbanding mengubah cara pemikiran orang ramai yang masih enggan mengasingkan sampah mereka termasuk plastik,” kata Nadzri kepada BenarNews.
Pakar kualiti dan permodelan air, Zaki Zainudin menekankan keperluan kerajaan menjalankan kajian menyeluruh bagi mengumpul data secukupnya berkaitan kehadiran dan impak bahan pencemar baharu termasuk mikroplastik bagi membolehkan dasar yang jelas dapat dibuat.
“Kita ada pengawasan alam sekitar, kualiti air dan udara tetapi pengawasan kualiti air lazimnya merangkumi parameter konvensional yang biasa kita temui, sebaliknya bahan pencemar baharu yang merangkumi mikroplastik belum ada kerangka kerja lagi.
“Data mengenai bahan cemar baharu ini sangat kurang di Malaysia,” kata Zaki.
Pakar alam sekitar Anthony Tan Kee Huat berkata kerajaan Malaysia harus menjalankan kajian sendiri secepat mungkin untuk kebaikan semua pihak.
“Keputusan kajian itu boleh membantu kerajaan melaksanakan polisi atau dasar di arah yang betul,” menurut beliau.