Follow us

Kastam Malaysia Temui 132 Lagi Kontena Sisa Plastik Haram di Pelabuhan

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-06-14
E-mel
Komen
Share
Sisa plastik dalam kontena yang tiba di pelabuhan Malaysia, berikutan keputusan China untuk menutup pintunya kepada pengimportan plastik, Port Klang, 28 Mei, 2019.
Sisa plastik dalam kontena yang tiba di pelabuhan Malaysia, berikutan keputusan China untuk menutup pintunya kepada pengimportan plastik, Port Klang, 28 Mei, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia menemui kira-kira 132 kontena sarat dengan 3,600 tan muatan plastik, walaupun usaha kerajaan menyekat penghantaran haram sampah yang diimport, kata pegawai pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Pulau Pinang Saidi Ismail memberitahu media yang anggotanya telah menjumpai 132 kontena 40 kaki di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Pulau Pinang dengan anggaran kesemuanya  lebih 3,600 tan sisa plastik.

Penemuan terbaru itu menambahkan lagi masalah di terminal Butterworth yang sudahpun mempunyai 265 kontena berisi sisa plastik yang ditinggalkan di pelabuhan berkenaan sejak awal Januari lalu.

“Jumlah 132 kontena adalah jumlah terbaru yang ditemui, dan sebelum ini di pelabuhan sudah ada sebanyak 265 kontena dan sekarang menjadikan jumlah keseluruhan 397 kontena dengan anggaran berat sejumlah 11, 116 tan sisa plastik tersadai di Pelabuhan Pulau Pinang,” kata Saidi kepada BeritaBenar.

Katanya, anggaran berat itu dibuat berdasarkan kapasiti kontena bersaiz 40 kaki yang boleh menampung muatan kira-kira 28 tan bagi setiap satu.

Menurut Saidi, sebahagian besar daripada kesemua 397 kontena itu berasal daripada Hong Kong iaitu 94 kontena, Amerika Syarikat [68], Jerman [28], dan Kanada [20].

“Kontena-kontena ini diimport masuk oleh 11 syarikat yang sama menggunakan kod yang berbeza dan tanpa permit import yang sah (AP),” katanya lagi.

Saidi berkata tindakan undang-undang telah diambil terhadap syarikat yang ingkar termasuk mengenakan kompaun sebanyak 1,000 ringgit (AS$240) bagi setiap kontena, ketika perbincangan sedang berjalan di peringkat Putrajaya untuk proses penghantaran pulang kesemua kontena ke negara asal.

Beliau turut memberitahu bahawa NBCT menerima kira-kira lima kontena setiap hari yang berisi ‘plastik bersih’ yang diimport secara sah menggunakan permit import yang tulen.

“Kita anggap ini semua bersih namun Kastam akan buat pemeriksaan yang menyeluruh ke atas kontena berkenaan untuk memastikan ketulenannya,” tegas Pengarah Jabatan Kastam negeri itu.

Kerajaan ditipu

Tindakan kerajaan terus membenarkan import sisa plastik secara sah ke dalam negara dikecam keras oleh aktivis alam sekitar yang kecewa dengan kegagalan Putrajaya menjaga kepentingan rakyat Malaysia.

“Kerajaan Malaysia ditipu oleh syarikat-syarikat tempatan yang bersekongkol dengan syarikat dari China dalam mengimport sisa plastik yang pada hakikatnya cuma 9 peratus dapat dikitar semula,” dakwa Pakar Alam Sekitar Maketab Mohamed kepada BeritaBenar.

Beliau yang pernah memegang jawatan presiden Malaysian Nature Society selama dua penggal itu berkata selebihnya 91 peratus sisa plastik dibakar secara sembunyi pada waktu malam dan asapnya yang mengandungi sisa toksik itu dilepaskan ke udara dan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan rakyat Malaysia.

“Secara akut dan kronik, dalam beberapa tahun akan berlaku peningkatan kes kanser di Jenjarom dan Telok Panglima Garang di Selangor, serta di Sungai Petani [Kedah],” kata Maketab, merujuk kepada kawasan-kawasan yang menjadi tapak pembuangan sisa plastik itu.

Seorang lagi aktivis, Pua Lay Peng yang menetap di Jenjarom menyifatkan berlakunya lagi insiden ini sebagai bukit kelemahan penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan di pelbagai peringkat.

“Kerajaan perlu peka bahawa Malaysia sedang menanggung beban yang tinggi dengan menggadaikan alam sekitar dan kesihatan rakyat dengan satu tindakan yang efektif perlu diambil.

“Kanada baru sahaja membuat kenyataan enggan menerima kembali sisa plastik mereka, jadi apa tindakan kerajaan selepas ini?” soal Pua kepada BeritaBenar.

Agensi berita Reuters pada Jumaat melaporkan bahawa Ottawa, ibu negara Kanada tidak merancang untuk menerima kembali sisa plastik mereka yang kini berada di Malaysia, dengan kenyataan itu tidak mendapat sebarang maklumbalas daripada Putrajaya.

Sikap Kanada itu berbeza dengan keputusannya terhadap tuntutan sama daripada Filipina yang memanggil kembali dutanya dari negara Amerika Utara itu atas kegagalan Kanada untuk mengambil kembali sisa plastiknya dalam tempoh yang ditetapkan.

Negara di Asia Tenggara menjadi tempat pembuangan sampah global susulan tindakan China menutup pintu kepada pengimportan plastik ke negara itu dalam usaha mengurangkan pencemaran.

Berdekad lamanya China menjadi pengimport terbesar sisa dunia tetapi Beijing telah menutup pintunya ke atas 24 jenis sekerap dari memasuki negara berkenaan sejak tahun lepas.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan Greenpeace, ketika kemuncak aktiviti di China, negara itu mengimport hampir 9 juta tan sisa plastik setiap tahun.

Greenpeace juga berkata, antara semua negara Asia Tenggara, Malaysia merupakan salah sebuah negara utama yang menjadi tempat lambakan sisa plastik yang digunakan dalam perdagangan sisa plastik.

Lihat Laman Penuh