Follow us

Malaysia Rampas Kontena Sisa Plastik Terlarang Guna Pengisytiharan Palsu

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-23
E-mel
Komen
Share
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin (baju kelabu) melihat sisa plastik tercemar yang dijumpai dari sebuah kontena di Northport, Pelabuhan Klang, Selangor, 23 Apr, 2019.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin (baju kelabu) melihat sisa plastik tercemar yang dijumpai dari sebuah kontena di Northport, Pelabuhan Klang, Selangor, 23 Apr, 2019.
[Ihsan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar]

Malaysia pada Selasa merampas berpuluh kontena sisa plastik tercemar dan terlarang yang dipercayai dibawa masuk dari beberapa negara maju oleh syarikat pengimport plastik terpakai tempatan dengan membuat pengisytiharan palsu terhadap bahan itu.

Selain itu, Putrajaya juga mahu menghantar balik kontena plastik terlarang yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang di Selangor itu, ke negara asal disamping menarik balik lesen agensi penghantaran yang menguruskan kemasukannya ke negara itu.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin juga berkata semasa mengulas lanjut mengenai penemuan kontena berkenaan berkata sisa plastik dalam kontena yang ditahan di pelabuhan itu telah diisytiharkan sebagai bahan yang boleh diimport tanpa memerlukan permit.

“Kami dapati bahawa sisa plastik itu datangnya daripada negara maju seperti Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman. Kontena-kontena itu mengandungi plastik tercemar tetapi telah diisytiharkan sebagai bukan plastik dengan kod HS3915,” kata Yeo selepas menyertai operasi penguatkuasaan di pelabuhan tersebut pada Selasa.

Beliau menambah kontena yang ditemui itu telah diisytiharkan sebagai kod 3920 yang tidak memerlukan sebarang permit dan boleh dibawa masuk secara langsung dengan kesemua plastik tercemar itu tidak boleh dikitarsemula.

Menteri juga berkata, siasatan oleh kementeriannya itu telah berjaya mengenalpasti sebuah syarikat yang mengeksport sisa plastik tercemar berkenaan dan kertas siasatan sedang disiapkan untuk mendakwa syarikat terbabit di mahkamah.

Kod HS (Harmonized System) merupakan satu sistem yang mengklasifikasikan produk apabila diisytiharkan kepada pusat pemeriksaan Kastam. Kod 3915 merujuk kepada sisa plastik manakala kod 3920 merujuk kepada plastik seperti pinggan, kain, filem dan jalur foil (foil strips).

“Kontena ini diisytiharkan mempunyai kandungan plastik terpakai yang bersih bagaimanapun ia sebenarnya mengandungi bahan plastik terpakai yang tercemar, mengikut peraturan, hanya plastik terpakai yang bersih sahaja boleh dibawa masuk ke negara ini bagi tujuan kitar semula dan plastik tercemar adalah dilarang,” tambah Yeo lagi.

Malaysia menjadi destinasi pembuangan sisa plastik merbahaya selepas China mengambil tindakan keras terhadap pengimportan sisa plastik pada Januari 2018.

Menurut agensi berita China Xinhuanet disebabkan oleh larangan dari negara itu telah berlaku lonjakan sebanyak 28 peratus dari tahun ke tahun oleh syarikat kitar semula Malaysia.

Yeo turut memberitahu bahawa Malaysia akan menghantar kembali semula sisa plastik itu ke negara asal.

“Kami akan hantar semula bahan plastik itu ke negara asal kerana kami tidak mahu negara kita menjadi tempat pembuangan sisa plastik,” kata Yeo.

Perangi sisa plastik haram

Menteri berkenaan turut memberikan amaran kepada agensi penghantaran yang menguruskan kemasukan kontena di pelabuhan itu, yang lesen mereka boleh ditarik semula jika didapati membawa masuk sisa plastik terlarang ke dalam negara.

“Kami mahu mencari punca kepada pengimportan plastik haram dan kita perlu menghentikannya. Kami percaya ada sindiket yang mengaut keuntungan besar dari pengimportan sisa dari negara-negara tersebut,

“Amaran saya kepada agensi penghantaran supaya lebih berhati-hati dengan pelanggan mereka. Syarikat penghantaran mesti tahu jika pelanggan mereka membuat pengisytiharan palsu. Kami punya hak untuk menarik balik lesen jika didapati mereka membawa masuk sisa secara haram ke dalam negara,” tambah Yeo.

Katanya, masa selama tiga bulan diperlukan untuk menghantar pulang semua sisa itu ke negara asal dan beberapa langkah perlu ambil dibawah Konvensyen Basel.

Objektif Konvensyen Basel adalah untuk melindungi kesihatan manusia sejagat dan alam sekitar dari efek bahaya sisa. Ia merupakan perjanjian antarabangsa bertujuan untuk mengurangkan pergerakan sisa merbahaya antara negara.

Menurut agensi berita nasional Bernama, sebanyak 24 kontena yang dipercayai berasal dari Jerman dengan plastik terpakai tercemar berjaya dikesan di pelabuhan itu.

Agensi berita itu juga berkata, plastik berkenaan merupakan saluran air yang digunakan untuk menyalurkan air di ladang-ladang di negara berkenaan.

Sehingga kini, sebanyak 111 kontena di Pelabuhan Barat dan 18 kontena di Pelabuhan Utara yang mempunyai kandungan plastik terpakai belum dituntut kerana belum melakukan pengisytiharan penuh dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Hukuman lebih berat

Shariffa Sabrina Syed Akil, pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) berkata hukuman yang lebih berat perlu dijatuhkan kepada mereka yang didapati membuang sisa haram di Malaysia.

“Sekarang hukuman adalah terlalu ringan… Negara memerlukan hukuman lebih berat dengan hukuman penjara dan denda yang lebih tinggi. Tanpa hukuman berat, sindiket tidak akan takut.

“Saya pendapat saya, Malaysia perlu mengharamkan semua sisa plastik yang masuk ke dalam negara tidak kira sama ada plastik itu boleh dikitar semula ataupun tidak,”kata Shariffa Sabrina lagi.

Pada Oktober tahun lepas, pihak berkuasa telah menjumpai 41 buah kilang yang memproses sisa plastik secara haram dan kebanyakkan kilang ini dimiliki oleh syarikat dari China.

Laporan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti yang dipetik akhbar menyatakan  AS yang merupakan pengeksport sisa plastik terbesar di dunia  telah menghantar 178,238 sisa tersebut ke Malaysia di antara Januari dan Julai 2018, dua kali ganda dari jumlah yang dihantar ke Thailand, negara kedua terbesar dalam senarai tempat lambakan sisa plastik.

Jumlah sisa yang diimport oleh Malaysia naik kepada 456,000 tan antara Januari dan Julai berbanding 316,600 tan yang dibeli pada tahun 2017 dan 168,500 pada 2016.

Lihat Laman Penuh