Akhirnya, Anwar Ibrahim capai impian jadi Perdana Menteri Malaysia

Setelah melalui pelbagai rintangan dan saingan sengit pada pilihan raya umum, pemimpin ikon pembangkang itu muncul sebagai ketua kerajaan baharu bagi pelbagai kaum dan agama Malaysia.
Staf BenarNews
2022.11.24
Kuala Lumpur
Akhirnya, Anwar Ibrahim capai impian jadi Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menandatangani dokumen-dokumen berkaitan selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia pada istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur, 24 Nov. 2022.
[Ihsan pejabat Anwar Ibrahim]

Selepas lebih dua dekad dan sejumlah tempoh dalam penjara, akhirnya pemimpin yang berterusan menanti untuk menjadi perdana menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, berjaya mencapai impiannya menyandang jawatan politik tertinggi negara selepas Yang di-Pertuan Agong pada Khamis berkenan melantiknya mengetuai kerajaan baharu negara.

Tatkala ramai pemerhati politik menganggap tidak mungkin bagi pemimpin berusia 75 tahun itu menggapai impiannya itu, Anwar sebaliknya mengemudi kempen pilihan raya umum dengan sepenuh tenaga mengalahkan mereka yang separuh usianya dan muncul menduduki tangga teratas.

Sekiranya blok Pakatan Harapan pimpinannya gagal dalam pilihan raya umum tersebut, Anwar mungkin tidak lagi berpeluang menjadi perdana menteri kerana gabungan itu perlu mencari kepimpinan yang lebih muda dan segar pada masa akan datang, kata pemerhati.

Nampaknya, Anwar berjaya memberi impak besar menerusi kempen menentang rasuah dan membawa perubahan ekonomi yang radikal, walaupun beliau kini mendapati dirinya mengetuai gabungan pemerintahan yang turut merangkumi UMNO, parti yang pernah digulingkannya pada pilihan raya umum 2018 dengan bersandarkan kepada kempen antirasuah.

Malah, Pakatan Harapan memenangi 82 daripada 221 kerusi Parlimen pada PRU15 ini, yang melebihi mana-mana gabungan parti lain. Ini menunjukkan bahawa beliau dapat mempengaruhi lebih ramai lagi majoriti etnik Melayu bahawa desakannya supaya dilakukan reformasi institusi bukanlah kerana anti-Melayu atau pro-Cina tetapi untuk antinaungan.

'Perdana menteri untuk semua'

Menjelang pilihan raya umum 19 November, Anwar berkempen dengan bersungguh-sungguh kepada rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan agama demi menyampaikan mesejnya untuk mewujudkan Malaysia yang bertoleransi dan pelbagai budaya.

Mesej Anwar tidak pernah berubah sejak gerakan protes jalanan “Reformasi” dimulakan pada penghujung 1990-an, yang menyeru kepada reformasi institusi dan toleransi kaum di negara berbilang kaum dan agama itu.

Etnik Melayu merupakan penduduk majoriti di Malaysia, yang merangkumi 70 peratus daripada 33 juta penduduk Malaysia. Namun, mereka menikmati banyak keistimewaan berkaitan perumahan, pinjaman dan pendidikan kerana kerajaan sebelum ini berusaha untuk meningkatkan kedudukan masyarakat Melayu agar menyamai tahap etnik minoriti Cina yang lebih kaya di negara itu.

Sebagai anak Melayu, Anwar mengetuai blok Pakatan Harapan yang merangkumi Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti yang sebahagian besarnya dianggotai kaum Cina. Anwar telah menegaskan bahawa beliau menentang tindakan afirmatif berasaskan kaum dan menyokong bantuan berasaskan keperluan.

“Orang kata ‘Hidup Melayu’ tetapi [sebahagian] majoriti Melayu hidup miskin dan menghadapi kesusahan. Hanya mereka yang berada di atas sahaja yang menikmati kehidupan yang baik,” kata Anwar pada kempen pilihan raya baru-baru ini, menurut laporan Associated Press.

“Saya mahu menjadi perdana menteri untuk semua… marilah kita bekerja sebagai sebuah keluarga. Marilah kita bina negara ini bersama-sama.”

221124-MY-PMAnwar-Inside1.jpg

Anwar Ibrahim (tengah), ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan blok Pakatan Harapan, tiba di pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen di Tambun, Perak, Malaysia, 5 Nov. 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Anwar juga dikatakan seorang Muslim yang taat tetapi beliau bukanlah daripada aliran fundamentalis. Beliau merupakan Muslim yang demokratik, katanya dalam pelbagai kuliah yang pernah disertainya di seluruh dunia. Anwar tidak percaya kepada ketuanan Melayu atau Islam.

Beliau sekular dengan mengutamakan kepelbagaian budaya dan keterangkuman.

Itulah sebabnya, seperti yang Anwar katakan kepada agensi berita Reuters, beliau tidak bersedia untuk bekerjasama dengan satu daripada dua lagi gabungan utama yang akan ditentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-15 iaitu Perikatan Nasional atau Barisan Nasional yang diterajui oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

“Sebarang bentuk gabungan akan menjadi rintangan besar kerana secara dasarnya, anda akan bergabung dengan fanatik perkauman atau Muslim,” kata Anwar.

Tokoh reformasi itu juga menyatakan bahawa pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional selama 60 tahun telah membawa kepada rasuah, nepotisme dan kronisme.

“Tolonglah! Demi kebaikan, demi anak-anak dan masa depan kita, hentikanlah perbuatan buruk ini. Hentikan perkara karut ini,” lapor AP yang memetik Anwar sebagai berkata demikian masa kempen sebelum hari pengundian.

Bekas anak didik Mahathir

Anwar dilahirkan pada 1947 di Pulau Pinang, sebuah negeri yang pernah dijajah, dengan ibu bapanya aktif dalam parti politik tertua di Malaysia, UMNO. Bapanya merupakan seorang Ahli Parlimen pada awal 1960-an.

Anwar, lulusan Universiti Malaya, memulakan kerjaya politiknya sebagai pemimpin pelajar pada akhir 1960-an. Beliau mengasaskan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia pada 1971. Beliau dan persatuan itu mengkritik hebat UMNO dan gabungan pimpinannya, Barisan Nasional, yang telah memerintah negara sejak merdeka.

Anwar mengetuai bantahan pelajar yang menyalahkan Barisan Nasional dan UMNO atas kemiskinan dan kelaparan di Malaysia, dan telah ditangkap pada 1974 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri – yang sudah dimansuhkan – dan dipenjarakan selama 20 bulan.

Pada 1982, sebilangan besar penyokongnya terkejut apabila Anwar memutuskan untuk menyertai parti yang dimusuhinya, UMNO, susulan jemputan seorang lelaki yang akhirnya memainkan peranan besar dalam kehidupannya dan menjadi perdana menteri pada tahun sebelum itu: Mahathir Mohamad.

Amatan penganalisis mendapati bahawa sesiapa yang mahu bangkit dalam politik negara itu, tidak mempunyai pilihan selain menyertai UMNO – tiada pembangkang yang boleh diperkatakan berkaitan perkara ini – namun, Anwar bakal berhadapan musibah tersebut.

221124-MY-PMAnwar-Inside2.jpg

Menteri Pendidikan Najib Razak (kiri), Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) dan Perdana Menteri Mahathir Mohamad ketawa mendengar jenaka seorang perwakilan semasa perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di Kuala Lumpur, 20 Jun 1998 . [Reuters]

Sebagai anak didik Mahathir, Anwar mencipta nama dengan pantas untuk disenaraikan dalam barisan kepimpinan UMNO. Beliau dilantik sebagai menteri kewangan pada 1991 sebelum menjadi timbalan perdana menteri pada 1993. Malah, Mahathir menjadikan Anwar sebagai pemangku perdana menteri selama dua bulan pada Mei 1997.

Reputasi anak didik Mahathir itu berkembang dengan meluas baik di dalam negara dan persada antarabangsa. Hampir semua orang sependapat bahawa Anwar, pada suatu hari nanti, bakal menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri – sehinggalah Mahathir memecatnya dan membuangnya daripada UMNO pada 1998, hanya kerana dikatakan bahawa Anwar menjawab cakap pemimpin itu.

Di tengah-tengah krisis kewangan Asia, Anwar mengkritik mentornya lantikannya itu dengan menyatakan bahawa pentadbirannya menggalakkan rasuah dan nepotisme. Anwar kemudian mengetuai protes di seluruh negara di bawah gerakan Reformasi, yang mendesak supaya dilakukan reformasi institusi.

Beliau telah ditangkap, dakwanya atas arahan kerajaan Mahathir, bagi pertuduhan liwat dan rasuah.

Kemudian, bermulalah kehidupan hampir dua dekad beliau di dalam dan luar mahkamah selain penjara tetapi membuat penampilan semula dengan bertanding pada pilihan raya.

Pada 2004, sabitan liwat terhadapnya telah dibatalkan tetapi sabitan rasuahnya kekal. Pada 2014, beliau sekali lagi disabitkan kesalahan dan dipenjarakan atas pertuduhan liwat.

Pada 2016, Mahathir bersara daripada politik manakala seorang lagi anak didiknya, Najib Razak menjadi perdana menteri. Selepas Najib terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, Mahathir mahu beliau dikeluarkan daripada pemerintahan negara.

Tanpa jangkaan sesiapa pun, Anwar dan Mahathir yang bermusuh telah bergabung tenaga untuk menentang Barisan Nasional.

Mahathir berjanji dan mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar.

Pakatan Harapan yang diterajui Mahathir dan Anwar juga berjaya memenangi pilihan raya penuh bersejarah pada 2018. Kedua-duanya bersetuju bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Sebaliknya, Mahathir meletakkan jawatan lebih awal daripada tempoh itu menyebabkan Anwar sekali lagi kehilangan peluang untuk menjadi perdana menteri apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang akibat perbalahan dalaman.

Pada pilihan raya kali ini, Mahathir sekali lagi menawarkan agar Pakatan Harapan dan gabungannya bersatu. Namun, Anwar tegas berkata "tidak."

Ternyata, ia adalah satu langkah yang bijak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.