COVID-19: PM Akan Buat Pengumuman Pada Isnin, kata Menteri Keselamatan

Malaysia pada Jumaat mencatatkan 16 kematian, bilangan tertinggi pernah direkodkan sejak COVID melanda negara itu.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-01-08
Share
COVID-19: PM Akan Buat Pengumuman Pada Isnin, kata Menteri Keselamatan Petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang kepenatan, berehat sebentar daripada tugas saringan COVID-19 kepada lebih 500 pekerja asing daripada beberapa syarikat pembinaan sekitar Kuala Lumpur, di Hospital Sungai Buloh, Selangor, 29 November 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman pada Isnin ini mengenai tindakan yang bakal diambil kerajaan bagi mengekang penularan virus COVID-19 yang kini menunjukkan peningkatan kes harian mendadak, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat, iaitu semasa negara berkenaan merekodkan 16 kematian, bilangan tertinggi pernah dicatatkan dalam sehari disebabkan pandemik berkenaan.

Pada hari yang sama, kerajaan juga mengumumkan bahawa pihak berkuasa kesihatan telah memberikan kelulusan bersyarat ke atas vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer, bagi membolehkan bahan imunisasi itu digunakan di dalam negara dengan segera sebaik bekalan tiba, yang dijangka diterima pada bulan hadapan.

Ismail Sabri memberitahu sidang media di Putrajaya bahawa kerajaan telah mengambil maklum kegusaran rakyat mengenai kenaikan bilangan kes COVID-19 di dalam negara dan mereka sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan lebih ketat bagi menghadapi masalah tersebut.

"Seperti saya katakan, kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat dan kita sedang pertimbangkan. Dan insha Allah, apa yang dinanti-nantikan tersebut akan diumum oleh Perdana Menteri pada Isnin nanti. Jadi kita tunggulah apa pengumuman yang hendak dibuat dan bersedia untuk pengumuman itu nanti," kata beliau pada petang Jumaat.

Ismail berkata bahawa beliau tahu ramai yang menantikan sidang medianya kerana mahu mengetahui samada tindakan lebih ketat akan dikenakan, dan ramai yang sudah mula menularkan pelbagai cerita di dalam media sosial mengenai khabar angin tersebut.

Walaupun tidak menyebut apakah langkah yang dipertimbangkan, adalah difahami bahawa Menteri Pertahanan itu merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Beberapa hari sebelum itu, telah tular di media sosial gambar sehelai dokumen yang didakwa sebahagian daripada laporan mesyuarat kerajaan, menunjukkan bahawa satu keputusan telah dibuat supaya PKP secara penuh kembali dikuatkuasakan di beberapa negeri yang mencatatkan jumlah kes yang tinggi. Majlis Keselamatan Negara bagaimanapun menafikan dokumen tersebut sambil berkata bahawa ianya adalah berita palsu.

Selain itu, terdapat pelbagai mesej serupa turut tular di Whatsapp mengenai kerajaan akan mengenakan perintah berkurung semula.

Untuk rekod, Putrajaya pada Mac 2020 telah menguatkuasakan PKP, seumpama perintah berkurung, dengan melarang sebarang perjalanan merentas daerah dan negeri kecuali bagi beberapa sektor yang dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu.

Perintah berkenaan telah membuahkan hasil dalam menurunkan kadar kes COVID-19 di negara itu, namun telah membawa impak negatif kepada ekonominya dengan Ismail pernah memberitahu media pada tahun lepas bahawa negara mengalami kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan perintah berkenaan.

Perintah berkurung itu kemudiannya telah digantikan dengan PKP Bersyarat pada Mei, yang menyaksikan sektor ekonomi dibenarkan dibuka secara berperingkat-peringkat tetapi dengan peraturan yang ketat bagi mencegah jangkitan koronavirus dan sejak itu, kerajaan telah memberikan lebih kelonggaran dengan memperkenalkan PKP Pemulihan, tetapi terpaksa kembali menguatkuasakan PKP Bersyarat di beberapa negeri selepas dilanda gelombang ketiga pandemik sejak Oktober.

Antara peraturan dalam PKP Bersyarat termasuk larangan merentas negeri, namun dalam satu garis panduan baru dikeluarkan pihak berkuasa pada Disember lepas, larangan tersebut tidak lagi berkuatkuasa. Ia membenarkan rakyat untuk bergerak hampir ke semua kawasan, termasuk di antara zon hijau dan zon merah, kecuali tempat yang dikenakan perintah berkurung PKP Diperketatkan.

Setakat jam 12 tengah hari Jumaat, Kementerian Kesihatan merekodkan 2,643 kes positif baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 131,108, manakala jumlah harian kes sembuh pula adalah 2,708 kes. Kes kematian yang direkodkan pada Jumaat pula adalah 16 orang, iaitu yang tertinggi setakat ini sejak Malaysia dilanda pandemik itu setahun lalu.

Daftar vaksin

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada Selasa mengumumkan bahawa vaksin keluaran Pfizer telah mendapat kelulusan bersyarat daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi didaftarkan untuk kegunaan di Malaysia.

"Saya baru dimaklumkan oleh @DGHisham bahawa NPRA telah meluluskan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Pfizer. Kita masih menunggu beberapa maklumat tambahan daripada Pfizer, tetapi kelulusan ini bermakna ia boleh digunakan di Malaysia. Tahniah NPRA di atas pendaftaran yang cepat," kata Khairy dalam satu muatnaik di Twitter, sambil merujuk kepada Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Pada 21 Disember lepas, Noor Hisham mengumumkan bahawa NPRA telah menerima permohonan daripada Pfizer untuk mendaftarkan vaksin COVID-19 yang dihasilkan mereka. Pada ketika itu, Pfizer adalah satu-satunya syarikat yang telah menghantar permohonan kepada NPRA.

Kelulusan bersyarat itu dibuat di bawah satu arahan baru NPRA yang bertujuan mempercepatkan pelaksanaan pendaftaran produk farmaseutikal semasa bencana. Di bawah arahan itu yang dikeluarkan pada Disember lepas, semua permohonan yang diterima semasa bencana yang memenuhi syarat akan diberi status 'priority review', dan akan diproses dalam tempoh di antara 90 hingga 120 hari.

Menurut dokumen arahan itu yang boleh diakses umum melalui laman web NPRA, produk yang ingin didaftarkan secara 'fast track' tertakluk kepada beberapa syarat ketat, antaranya, mesti untuk kegunaan bagi penyakit yang serius dan mengancam nyawa serta berpotensi menyebabkan wabak, serta mestilah sekurang-kurangnya sedang dalam kajian klinikal Fasa 3, antara lain.

Khairy yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, berkata bahawa vaksin keluaran Pfizer akan diberikan dalam dua dos dengan selang masa 21 hari. Langkah itu adalah berdasarkan kepada kajian klinikal vaksin berkenaan.

"Polisi Malaysia adalah apabila kita berikan kamu (penerima) satu dos, maka kita akan simpan satu lagi dos untuk kamu. Kita dipandu oleh dapatan kajian klinikal, dan kajian klinikal Pfizer ialah dua dos selang 21 hari," kata beliau dalam satu sidang media pada Jumaat.

Tambah beliau ketika menjawab soalan pemberita, kerajaan juga tiada rancangan untuk memaksa rakyat menerima vaksin berkenaan, tetapi mahukan mereka tampil secara sukarela.

Ini adalah kerana kerajaan mahukan supaya rakyat berasa yakin dan selesa untuk menerima vaksin melalui cara komunikasi saintifik dan penyampaian data klinikal kepada mereka.

"Jika kita paksa menggunakan undang-undang, bukan sahaja kita akan mendapat reaksi daripada golongan anti-vaksin, tetapi juga daripada mereka yang masih berada di atas pagar (samada mahu menerima vaksin atau tidak).

"Kita mahu membina keyakinan rakyat, dan kita akan keyakinan ini melalui pelan komunikasi kita," kata Khairy.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh