Follow us

Persidangan Parlimen Berakhir Tanpa Undi Tidak Percaya Terhadap PM Malaysia

Amy Chew
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-18
E-mel
Komen
Share
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 18 Mei 2020.
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 18 Mei 2020.
(Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia)

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mungkin dapat mengelak daripada undi tidak percaya pada persidangan Parlimen yang tempohnya dipendekkan pada Isnin, tetapi kedudukan beliau tetap goyah ketika beliau berusaha menenangkan sekutu gabungan politik barunya selain berdepan cabaran daripada bekas sekutunya, kata penganalisis.

Sesi selama dua jam itu, yang merupakan persidangan pertama Parlimen selepas perubahan kerajaan pada akhir Februari, hanya menampilkan titah perasmian Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa adanya sesi perbahasan.

“Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang kepada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja Melayu, ”kata Seri Paduka.

Para pegawai kerajaan berkata persidangan itu dipendekkan bagi membendung penularan coronavirus lebih lanjut, tetapi itu juga bermaksud bahawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin tidak dapat dibentangkan.

Yang di-Pertuan Agong menamakan Muhyiddin sebagai perdana menteri baru Malaysia pada 29 Feb setelah pakatan kerajaan pimpinan Mahathir Mohamad tumbang dan beliau meletakkan jawatan.

Mohd Azizuddin Mohd Sani, profesor sains politik di Universiti Utara Malaysia, berkata jika Parlimen tidak bersidang, ia akan "terbubar secara automatik" tetapi pandemik COVID-19 telah membolehkan justifikasi dibuat untuk memendekkan tempoh persidangan.

"Kuasa kepimpinan kerajaan Muhyiddin adalah amat rapuh, sebab itulah beliau harus menenangkan semua suara dalam gabungan yang dibentuk secara terburu-buru itu dengan pelbagai janji dan kemahuan politik," kata Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, kepada BeritaBenar.

Bukan sahaja Muhyiddin mempunyai majoriti tipis daripada gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan, malah beliau kini perlu berdepan dengan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang bercita-cita tinggi, kata Oh.

UMNO, rakan utama dalam gabungan kerajaan Muhyiddin, menguasai politik Malaysia selama beberapa dekad sebelum ditewaskan dalam pilihan raya umum 2018.

"Pada masa ini, Muhyiddin mahu mengelak rasa malu yang datangnya daripada undi tidak percaya. Tetapi, beliau perlu terus melangkah ke hadapan kerana apabila masa berlalu, UMNO akan menjadi lebih berani untuk mencabarnya, malah secara terbuka,” kata Oh.

‘Amat tipis’

Mahathir, yang telah mengemukakan usul undi tidak percaya itu, memberitahu wartawan selepas berakhirnya persidangan itu bahawa kerajaan semasa mempunyai "majoriti yang amat tipis”.

"Kalau dua atau tiga orang (Anggota Parlimen) pindah dari satu parti ke parti yang lain, daripada parti kerajaan kepada parti pembangkang, kerajaan ini akan jatuh. Ia bukan  seperti keadaan sebelumnya di mana kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga. Sekarang, ia hanya mempunyai sebilangan kecil sahaja,” kata Mahathir.

"Sebab itu, kami percaya kalau kami dapat mendedahkan kesalahan kerajaan ini, maka mungkin ada beberapa parti kerajaan itu yang akan sokong usul itu," kata Mahathir.

Seorang Ahli Parlimen lain turut mengulangi kenyataan Mahathir.

"Menangguhkan persidangan Parlimen dari 9 Mac hingga 18 Mei adalah bertujuan memberi beliau (Muhyiddin) masa untuk 'membeli' cukup Ahli Parlimen bagi membentuk majoriti yang selesa. Objektif itu jelas gagal,” kata Liew Chin Tong, Ahli Parlimen parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam catatan di blog rasminya.

"Kerajaan Muhyiddin kini takut untuk mengadakan persidangan Parlimen," kata Liew.

UMNO 'mula bising'

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin merangkumi UMNO, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan segelintir Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang diasaskan bersama oleh Mahathir dan Muhyiddin.

Muhyiddin turut menerima sokongan Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga bekas timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti komponen terbesar dalam kerajaan Pakatan Harapan yang baru ditumbangkan.

Azmin juga membawa beberapa Ahli Parlimen ketika beliau berpaling tadah untuk memberikan Muhyiddin bilangan penyokong yang amat penting. Muhyiddin disokong oleh sekurang-kurangnya 114 Ahli Parlimen, menurut media Malaysia, yang merupakan lebih dua Ahli Parlimen daripada 112 orang – iaitu lebih daripada separuh daripada 222 Ahli Parlimen - yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

UMNO telah menjadi parti paling dominan dalam gabungan kerajaan yang baru itu, kata Oh.

"Zahid Hamidi (presiden UMNO) dan ramai panglima perang UMNO tidak senang ‘bermain politik’ dengan Muhyiddin dan Azmin, dan mereka kini buat bising dan tunjuk perangai untuk menggoyahkan sedikit kerajaan, dengan harapan mengekalkan kerajaan yang ada tetapi menggantikan Muhyiddin dan Azmin dalam proses itu,” kata Oh.

Zahid melihat dirinya sebagai "perdana menteri yang sepatutnya," kata Oh sambil memberi amaran bahawa mereka yang lain dalam UMNO "juga mungkin memasang impian yang sama."

“Dengan keadaan pandemik semakin reda, anda akan dapat lihat unsur-unsur pelampau agama dan kaum dalam UMNO dan PAS membuat kemunculan dan kebangkitan semula, bagi memastikan agenda menegakkan agama itu terus hidup dan berkembang, sehinggalah tibanya pilihan raya umum akan datang, untuk memastikan mereka mengekalkan suara majoriti orang Melayu,”kata Oh.

Beliau berpendapat parti Bersatu, yang kini berpecah di antara Muhyiddin dan Mahathir, bakal hilang taringnya.

"Saya rasa Bersatu akan menjadi tidak relevan tanpa Mahathir walaupun hanya sebagai tokoh politik kerana kedudukan politiknya semakin dihakis oleh UMNO dan PAS," kata Oh.

Azizuddin pula berpendapat adalah sukar untuk menentukan cengkaman kuasa Muhyiddin, dengan menggambarkannya sebagai pemimpin yang "tidak pernah terbabit dalam kontroversi."

"Tetapi, tidak ramai yang mempertikaikan pandangan bahawa beliau layak menjadi perdana menteri. Beliau lebih berusia daripada Anwar Ibrahim,” kata Azizuddin kepada BeritaBenar sambil menambah kata bahawa ramai pengundi daripada etnik majoriti Melayu menyambut baik perubahan pemerintahan yang berlaku pada Mac lalu.

Selain itu, beberapa pengundi etnik minoriti Cina dan India, terutamanya mereka yang merasakan diri mereka tidak "dibantu" semasa pemerintahan Pakatan Harapan, menyokong kepimpinan Muhyiddin, kata Azizuddin.

“Dalam cara mengendalikan politik, saya berpendapat beliau bijak melakukan strategi politik. Janganlah pandang rendah kepada  Muhyiddin," kata Azizuddin.

Khalid Jaafar, penasihat Azmin Ali, pula menyanggah kritikan terhadap Muhyiddin yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang pernah menjadi presiden UMNO.

"Najib dan yang lain boleh katakan apa sahaja yang mereka suka. Rakyat melihat apa yang dilakukan Muhyiddin. Beliau akan bertahan sehingga PRU15,” kata Khalid kepada BeritaBenar dengan merujuk kepada pada pilihan raya umum yang dijangkakan diadakan pada  2023.

"Kadar mereka yang menyokong (Muhyiddin) adalah sangat tinggi, (kerana) beliau tegas dalam menguruskan wabak COVID-19. Beliau juga tegas dalam usaha memulihkan ekonomi,” tambah beliau.

Lihat Laman Penuh