Video persenda Hindu cerminkan polarisasi agama kian lebar di Malaysia - Penganalisis

Perpecahan ini semakin menghakis sensitiviti dan menebalkan identiti perkauman serta keagamaan dalam masyarakat.
Iman Muttaqin Yusof
2025.03.06
Kuala Lumpur
Video persenda Hindu cerminkan polarisasi agama kian lebar di Malaysia - Penganalisis Seorang wanita penganut Hindu membawa kavadi ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor, 11 Februari 2025.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Klip video berdurasi tujuh saat di media sosial yang didakwa mempersendakan satu perayaan Hindu menjadi insiden terbaru yang mencerminkan peningkatan polarisasi dalam masyarakat berbilang agama dan kaum di Malaysia, kata penganalisis.

Klip tersebut yang dimuat naik pada Selasa di platform media sosial sebuah stesen radio, menunjukkan tiga juruhebah radio Era FM berketurunan Melayu Islam dikatakan meniru aksi penganut Hindu semasa satu perayaan agama.

Perayaan Thaipusam itu telah disambut pada bulan lalu oleh masyarakat India di negara ini.

Penganalisis politik Azmil Tayeb berkata insiden tersebut mencerminkan “peningkatan sikap tidak sensitif yang berpunca daripada polarisasi dalam masyarakat Malaysia.”

“Setiap insiden, sama ada disengajakan atau tidak, ia mudah mencetuskan sentimen dan emosi selain dilihat sebagai serangan terhadap sesuatu komuniti.

"Polarisasi menebalkan lagi penonjolan identiti etnik dan agama dalam masyarakat,” kata Azmil dari Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.

Radio Era FM, yang dimiliki oleh syarikat penyiaran swasta terbesar Malaysia, Astro Audio bertindak memadamkan video tersebut pada hari yang sama ia dimuat naik selepas ia menjadi tular.

Parti politik India terbesar Malaysia, Kongres India Malaysia (MIC), mengecam klip video tersebut kerana menganggap ia sebagai penghinaan terhadap agama Hindu yang dianuti sebahagian besar masyarakat berketurunan India di negara ini.

Orang Melayu membentuk 70 peratus daripada populasi Malaysia, diikuti oleh orang Cina (22.6 peratus) dan orang India (6.6 peratus).

Upacara yang dilakukan semasa sambutan Thaipusam mempunyai makna yang mendalam bagi penganut Hindu.

Perayaan ini memperingati pemberian lembing sakti oleh seorang dewa untuk menewaskan kejahatan. Dalam salah satu ritual ketika Thaipusam, penganut Hindu menusuk tubuh mereka dengan cangkuk atau alat tajam sambil melaungkan “Vel, Vel,” yang merujuk kepada lembing suci.

Laungan itu dikatakan ditiru oleh salah seorang juruhebah stesen radio berkenaan dalam video tersebut.

Aziff Azuddin dari IMAN Research, sebuah badan pemikir tempatan berkata serangan terhadap kepercayaan agama berpunca daripada kejahilan dan rasa tidak puas hati antara kaum.

“Orang bukan Islam merasakan kepercayaan atau cara hidup mereka semakin dipinggirkan oleh majoriti Muslim,” katanya kepada BenarNews.

“Pada masa sama, majoriti Muslim juga semakin merasakan bahawa orang bukan Islam semakin bersikap antagonistik terhadap mereka. Kedua-dua perkara ini boleh berlaku serentak.”

Laporan polis dan tindakan undang-undang

Susulan insiden tersebut, ketiga-tiga juruhebah Era FM telah memuat naik rakaman video mereka memohon maaf atas perkara tersebut selain pihak pengurusan stesen radio terbabit telah menggantung tugas mereka sehingga siasatan kes berkenaan selesai.

Selain itu, ketiga-tiga mereka turut pergi ke Batu Caves, lokasi terletaknya kuil Hindu utama di Malaysia yang menjadi tumpuan sambutan Thaipusam bagi menyatakan permohonan maaf.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Rabu telah mengeluarkan notis niat untuk menggantungkan lesen penyiaran stesen radio tersebut dengan memberikan tempoh 30 hari bagi memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Ketua Polis Negara Razaruddin Husain berkata polis telah menerima 73 laporan berhubung video itu.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina agama lain serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Fail kes telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya kepada BenarNews.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook Mahmud Jumaat menyifatkan video tular yang dikatakan menghina agama lain adalah satu bentuk salah faham. 

"Ia adalah parodi dan tidak ada kena mengena dengan aksi membawa kavadi. Isu menjadi panas kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan," katanya.

Menurut Mahmud, parodi itu merujuk kepada tarian "entrance" peninju Muay Thai Miki Ghazali ke gelanggang.

Katanya pengacara Azad Jasmin  turut memetik nama Miki dalam hantaran video itu di media sosial merujuk kepada tarian yang dilakukannya.  

Muzik tarian itu merujuk kepada lagu funk Brazil berjudul "Jogadinha do Paquetá" yang dikeluarkan pada 2022 dan dikaitkan dengan pemain bola sepak Lucas Paquetá hingga menjadi popular di media sosial.

Akaun rasmi TikTok kelab West Ham United yang disertai oleh Lucas turut memaparkan lagu tersebut sebagai salah satu kandungannya.

kavadi2.jpeg
Seorang lelaki menusukkan alat tajam pada pipinya pada perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor, Malaysia 11 Februari 2025. [S. Mahfuz/BenarNews]


Kesan terhadap negara

Penganalisis dari Universiti Nottingham Malaysia, Gayathry Venkiteswaran menyuarakan kebimbangannya mengenai kesan insiden ini terhadap negara.

“Ia mencipta satu duluan buruk kerana ia seolah-olah menormalisasi serangan terhadap golongan minoriti,” kata beliau yang merupakan penolong profesor media, bahasa dan budaya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa tindakan undang-undang tidak berkesan dijadikan sebagai pendekatan utama dalam menyelesaikan kes seumpama itu.

“Daripada mengambil tindakan siasat jenayah, masyarakat perlu melakukan lebih banyak teguran terhadap perlakuan menghina agama lain selain syarikat penyiaran perlu menitikberatkan soal etika dan berpegang teguh kepada profesionalisme," ujarnya.

Tegas beliau pemimpin negara perlu menggesa personaliti media yang mempunyai pengaruh agar mengutamakan etika.

“Ini adalah peluang untuk mereka menunjukkan bagaimana perbincangan tentang perbezaan dalam masyarakat boleh dilakukan dengan baik,” katanya.

kavadi3.jpeg
Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bersorak ceria ketika menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya, Putrajaya, 31 Ogos 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Isu kontroversi agama saling berkaitan

Susulan insiden kontroversi juruhebah radio itu, masyarakat awam termasuk ahli politik Melayu yang lantang seperti Ketua Pemuda UMNO Akmal Salleh turut mempersoalkan tindakan yang telah diambil terhadap isu penghinaan kepada agama dan Nabi Muhammad sebelum ini.

Bagi mereka tindakan berat sebelah tidak seharusnya berlaku dalam isu membabitkan sensitiviti agama dan kaum.

MCMC dalam kenyataan pada Rabu berkata suruhanjaya itu telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara bagi mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 (AS$2,260) masing-masing ke atas pelawak Harith Iskander dan seorang pengguna Facebook bernama Cecelia Yap kerana bergurau mengenai sandwic ham yang dilabel sebagai halal di sebuah kedai serbaneka KK Mart pada Januari lalu.

Insiden itu dianggap sebagai tidak menghormati Islam kerana penganut agama itu dilarang memakan produk berasaskan babi seperti ham manakala Cecelia mempersenda nama Nabi Muhammad.

Pada tahun lalu, pemilik KK Mart dan syarikat pembekal didenda sebanyak RM60,000 (AS$13,550) kerana “melukai perasaan agama” dengan menjual stoking yang tertera kalimah “Allah”.

Bulan lalu, seorang peniaga jagung bakar di Selangor dikenakan denda RM400 (AS$ 90) kerana memaparkan papan tanda yang berunsur perkauman terhadap masyarakat India.

Pada 2024, seorang pengarah dan penerbit filem didakwa atas tuduhan “melukai perasaan agama” menerusi filem yang mengisahkan seorang gadis Islam yang meneroka agama lain.

Amaran Perdana Menteri

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan insiden sedemikian untuk mencetuskan ketegangan.

“Ini adalah mesej tegas kepada semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya dan etnik di mana-mana ruang di Malaysia,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

“Jangan biarkan isu remeh melemahkan kita pada saat negara sedang berkembang dan berada di landasan yang baik.”

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini. 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.