Follow us

Malaysia Sahkan Seorang Lagi Kanak-Kanak Bukan Warganegara dijangkiti Polio

Arief Rahmat
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-10
E-mel
Komen
Share
Wakil UNICEF [Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu] sedang memberi vaksin polio kepada seorang kanak-kanak di Marawi, sebuah bandar di selatan Filipina, 14 Oktober 2019.
Wakil UNICEF [Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu] sedang memberi vaksin polio kepada seorang kanak-kanak di Marawi, sebuah bandar di selatan Filipina, 14 Oktober 2019.
[Froilan Gallardo/BeritaBenar]

Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan bukan warganegara dijangkiti virus polio di Sandakan, Sabah, menjadikan keseluruhan empat kes dilaporkan sejak Disember lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan yang dijalankan mendapati kanak-kanak tiga tahun itu tidak pernah menerima vaksin polio sejak dilahirkan.

“Beliau tidak pernah menerima vaksin polio sejak lahir dan telah mengalami gejala lemah kaki kiri pada 18 Januari 2020. Kanak-kanak ini dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil dan kesnya telah disahkan polio oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia pada 5 Mac,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, sehingga 8 Mac, keseluruhannya terdapat empat kes yang telah disahkan polio di Sabah dengan kesemuanya telah mendapat pengesahan makmal WHO di Australia.

“Empat kes yang disahkan polio itu melibatkan kanak-kanak berumur tiga bulan dari Tuaran;  tiga dan lapan tahun dari Sandakan; serta 11 tahun dari Kinabatangan. Hanya satu kes masih dirawat di hospital iaitu kanak-kanak berumur tiga bulan dari Tuaran.

“Kanak-kanak tiga bulan itu berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan alat bantuan pernafasan. Tiga daripada empat kes ini merupakan bukan warganegara, yang tidak pernah menerima vaksin polio,” tambah Ketua Pengarah itu lagi.

Noor Hisham mememberitahu semasa aktiviti kawalan dan pencegahan wabak polio dijalankan di lapangan pada 24 Januari lalu,  jabatan kesihatan negeri telah mengenalpasti seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dan bukan warganegara telah mengalami gejala Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Semporna.

Beliau mengalami demam pada 10 Januari, diikuti dengan lemah kaki hingga tidak dapat berjalan seperti biasa pada 17 Januari, namun tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan dan hasil penelitian beberapa panel pakar kesihatan yang dijalankan telah mengklasifikasikannya sebagai polio ‘compatible’, memandangkan gejala yang dialami adalah mirip kepada polio.

“KKM juga menjalankan tinjauan persekitaran bagi mengesan virus polio dalam persekitaran dengan mengambil sebanyak 13 sampel air kumbahan daripada beberapa lokasi di Sabah dan mengesan virus polio,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata tinjuan persekitaran itu juga telah diperluaskan ke semua daerah di Sabah dan semua negeri di Malaysia bagi memastikan virus polio dapat dikesan awal, agar langkah kawalan dan pencegahan dapat dijalankan dengan segera.

Katanya, susulan dari pengesanan virus polio dalam persekitaran, sampel najis turut diambil dari kanak-kanak sihat berumur bawah lima tahun secara rawak di kawasan yang dikesan berlakunya kes jangkitan polio dengan seorang kanak-kanak sihat berumur tiga tahun dan bukan warganegara telah dikesan dijangkiti virus polio melalui pengambilan sampel najis beliau, di Semporna.

“Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai kes polio berdasarkan garispanduan pembasmian polio global kerana tiada bergejala, namun begitu kanak kanak itu dipantau dari masa ke semasa dan diberi vaksin oral polio bagi membina imuniti badan terhadap jangkitan polio,” katanya lagi.

Baru-baru ini, menurut Organisasi Kesihatan Dunia, terdapat dua kes berlaku di Filipina, dengan kes pertama disahkan pada 14 September melibat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Lanao del Sur di Selatan Filipina dan kes dua pada 19 September, di mana kanak-anak lelaki lima tahun dari Daerah Laguna yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Metro Manila disahkan dijangkiti virus polio.

Sebelum ini, Sabah tidak pernah dilaporkan dijangkiti virus polio yang menjejaskan sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan lumpuh sementara atau kekal.

Kes terakhir jangkitan polio berlaku di Malaysia adalah pada 1992 dan pada tahun 2000, negara itu telah diisytiharkan sebagai negara bebas polio.

Polio merupakan penyakit amat berbahaya apabila satu daripada 200 mereka yang dijangkiti akan lumpuh seluruh badan, manakala lima hingga 10 peratus dijangkiti meninggal dunia, demikian menurut perunding pakar pediatrik dan ahli imunologi Malaysia Dr Musa Mohd Nordin baru-baru ini.

Lebih memburukkan keadaan katanya, polio merupakan penyakit yang amat mudah berjangkit serta merebak kesan daripada najis, lendir, makanan, sistem sanitasi dan persekitaran tidak bersih.

Tiada penawar untuk menyembuhkan penyakit polio ditemui hingga kini tetapi polio boleh dicegah dengan vaksin yang telah lama terbukti selamat dan berkesan, kata Musa lagi.


Lihat Laman Penuh