Follow us

Sembilan Anggota Polis Ditahan Pihak Berkuasa Sabit Kes Rasuah, Rompakan

Muzliza Mustafa & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-19
E-mel
Komen
Share
Seorang anggota Polis DiRaja Malaysia meniup terompet kecil semasa ketibaan Ketua Polis Negara di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, 22 April, 2018.
Seorang anggota Polis DiRaja Malaysia meniup terompet kecil semasa ketibaan Ketua Polis Negara di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, 22 April, 2018.
[AFP]

Sembilan anggota polis antara 11 ditahan pihak berkuasa Malaysia pada Rabu dalam dua operasi berbeza yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam kes rasuah dan rompakan, yang membabitkan warga asing di Selangor.

Penahanan enam anggota polis oleh SPRM telah disahkan oleh ketuanya Latheefa Koya yang berkata, kesemua mereka kini direman selama lima hari bermula Rabu.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 16(A)(B) Akta SPRM kerana menerima dan menawarkan rasuah,” kata Latheefa kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat, tetapi enggan mengulas lanjut disebabkan kes itu masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, sumber SPRM yang namanya tidak boleh disiarkan memberitahu penahanan lapan orang termasuk enam anggota polis di Selangor itu adalah atas kesalahan menerima suapan bagi tujuan melepaskan sembilan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari tahanan pihak berkuasa.

Sumber tersebut juga berkata, turut ditahan dalam operasi khas SPRM itu ialah seorang Timbalan Pendakwaraya dan peguam dengan pihak berkuasa itu merampas wang sejumlah RM100,000 (AS$24,333).

“Kira-kira RM17,500 (AS$4,621) dirampas dari peguam yang ditahan itu, untuk diagihkan bagi melepaskan sembilan tahanan pendatang asing tanpa izin manakala RM82,500(AS$ 20,074) dijumpai dari DPP,” kata sumber berkenaan kepada BeritaBenar semasa dihubungi di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Jika disabitkan kesalahan kesemua suspek berhadapan dengan hukuman penjara dibawah Seksyen 24 Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu, dalam kes berlainan yang turut melibatkan anggota polis, Ketua Polis Selangor, Azam Jamaluddin telah mengesahkan mengenai penangkapan tiga anggota polis daripada Cawangan Khas Anti-Keganasan Bukit Aman oleh polis kontinjen negeri tersebut pada Rabu, diatas kesalahan merompak dan memeras ugut kedai runcit yang dikendalikan oleh warga asing.

"Kesemua mereka ditahan pada 17 Julai [Rabu] dan kini berada dalam tahan reman selama empat hari sehingga 21 Julai ini," katanya ringkas kepada BeritaBenar.

Sumber polis yang dihubungi BeritaBenar memberitahu, ketiga-tiga anggota polis berpangkat Inspektor dan Konstabel yang ditahan itu dipercayai menjalankan aktiviti tersebut sejak beberapa bulan lepas dan telah merompak sekurang-kurangnya 12 kedai runcit di sekitar Lembah Klang.

"Mereka dipercayai telah melakukan kegiatan memeras ugut dan merompak kedai-kedai milik orang Aceh [Indonesia] di sekitar Ampang, Setapak, Selayang, Sungai Buloh, Meru dan Klang, dengan mengaku sebagai anggota polis Bukit Aman," kata sumber yang tidak boleh disiarkan namanya.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 396 atas kesalahan merompak dan jika disabit kesalahan kesemua suspek berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang dihubungi BeritaBenar pada Jumaat memberi bayangan yang lebih ramai akan ditangkap pihak berkuasa atas kesalahan melanggar etika sebagai anggota penguatkuasa keselamatan negara, jika mereka masih tidak berubah ke arah kebaikan.

"Saya menjangka lebih ramai lagi akan ditangkap sekiranya mereka tidak insaf kerana SPRM khabarnya sudah lama membuat perhatian. Dalam pada itu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Bukit Aman sendiri turut aktif turun ke lapangan untuk menyiasat aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai tentang salahlaku polis," tegas Abdul Hamid.

Beliau sebelum ini sudah pun mengingatkan anggota polis pelbagai lapisan bahawa hukuman berat bakal menanti mereka yang ditangkap.

"Saya sudah beberapa kali mengingatkan dan menasihati pegawai kanan dan rendah agar sentiasa patuh pada disiplin pasukan,” tambah beliau lagi kepada BeritaBenar.

Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Zamri Yahya seperti dilaporkan media tempatan pada Jun lalu, kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota polis telah dikenakan tindakan tatatertib dalam tempoh empat tahun bermula 2015 hingga 2018.

Dalam tempoh empat tahun itu,  sebanyak 9,299 kesalahan melibatkan jenayah seperti merompak, mencuri, peras ugut dan sebagainya telah dilakukan oleh anggota dan pegawai polis diikuti kesalahan rasuah sebanyak 556,  kesalahan syariah khalwat [172] dan dadah [893].

Jumlah anggota polis diseluruh Malaysia dianggarkan berjumlah kira-kira 135,000 orang.

Lihat Laman Penuh