Follow us

Dua Tekong Ditahan Cuba Seludup Keluar Warga Indonesia di Johor

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-04-13
E-mel
Komen
Share
Anggota polis menyoal pengguna lebuhraya pada satu sekatan jalanraya di Putrajaya, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-27 di seluruh negara, 13 April 2020.
Anggota polis menyoal pengguna lebuhraya pada satu sekatan jalanraya di Putrajaya, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-27 di seluruh negara, 13 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Satu sindiket penyeludupan manusia berjaya ditumpaskan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Johor selepas tertangkapnya dua tekong rakyat Indonesia yang cuba membawa keluar 23 warganegara itu melalui jalan laut secara haram semasa negara memperketatkan keselamatan sempadan ekoran penularan pandemik COVID-19.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua tekong warga Indonesia masing-masing berusia 28 dan 39 tahun ditahan di sekitar kawasan hutan berhampiran estet Kurnia di Kota Tinggi pada lewat malam Sabtu lalu.

“Turut ditahan semasa serbuan itu adalah 23 pendatang warga Indonesia iaitu 18 lelaki dan lima perempuan dan sindiket tersebut dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan mengenakan bayaran antara RM800 (AS$184) hingga RM1,500 (AS$346) bagi mereka yang ingin pulang ke Indonesia secara haram.

“Jumlah barangan tersebut didapati meningkat disebabkan oleh penularan pandemik COVID dan Perintah Kawalan Pergerakan,” kata Ayob Khan kepada BeritaBenar semasa dihubungi daripada Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sindiket berkenaan selalunya mengenakan bayaran antara RM500 ringgit (AS$115) dan RM900 (AS$207) sebelum ini.

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah wang tunai berjumlah RM4,000 (AS$929) dan $1.95 juta Rupiah Indonesia (AS$123) dengan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih 15 tahun, denda tidak lebih RM10,000 dan enam kali sebatan, mengikut pertuduhan, tambah beliau.

Kata Ketua Polis itu lagi, kesemua mereka yang ditahan turut menjalani proses saringan  COVID-19 sebelum dimasukkan dalam pusat tahanan sementara pihak polis.

“Kesemua mereka telah ditahan reman. Dua tekong ditahan reman bermula 12 Mac sehingga 1 Mei di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA manakala 23 lagi direman 14 hari di bawah Akta Imigresen.

Beliau berkata usaha sedang dipergiatkan untuk mencari dalang sindiket terbabit.

“Polis Johor telah mengenalpasti beberapa individu dan tindakan susulan akan diambil,” kata Ayob.

Malaysia telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, bagi mencegah penyebaran pandemik COVID-19, dan telah melanjutkannya sebanyak dua kali serta dijangkakan berakhir pada 28 April ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelanjutan kedua tersebut pada Jumaat berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi keselamatan negara untuk memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan sebagai langkah mengelak berlakunya penularan COVID-19 melalui warga asing tanpa izin yang masuk melalui lorong tikus dengan membawa virus bersama mereka.

"Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita….Saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara," tambah beliau.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin baru-baru ini turut memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan rakyat Malaysia yang terlibat dalam penyeludupan migran serta menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan kepada Malaysia.

“Pada saya, mereka adalah musuh negara kerana membenarkan warga asing masuk secara haram dan tanpa dokumen yang sah.”

Tambahnya lagi, penyeludupan warga asing masuk secara haram ke Malaysia tidak akan berjaya tanpa bantuan rakyat negara ini.

Malaysia kini mencatatkan 77 kematian akibat penyebaran wabak COVID-19 dengan 4,817 kes positif dilaporkan termasuk 2,464 kes masih dirawat di hospital di seluruh negara itu.

Lihat Laman Penuh