Polis Tempatkan Anggotanya di Projek Perumahan Rakyat, Kurangkan Jenayah

Ali Nufael & Hadi Azmi
2019.09.30
Kuala Lumpur, Malaysia
190930-MY-PolisKL-190930.jpg Anggota polis berdiri di luar sebuah mahkamah di Shah Alam, di luar Kuala Lumpur, Malaysia, 28 Julai 2017.
[AP]

Polis akan menempatkan anggotanya di 27 unit kediaman di 15 Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha untuk membanteras aktiviti jenayah dan dadah yang sering berlaku dikawasan perumahan berkenaan, demikian kata Ketua Polis Kuala Lumpur pada Isnin.

Mazlan Lazim, Ketua Polis bagi Kuala Lumpur itu menambah, penempatan anggota itu dilihat dapat menurunkan indeks jenayah, selain meningkatkan kadar keselamatan, kualiti hidup serta kesedaran awam di mana rata-rata penduduknya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

"DBKL yang bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia telah menyediakan sebanyak 27 unit kediaman bagi fasa pertama dan dijangka meningkat kepada 38 bagi fasa seterusnya.

“Usaha ini dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat dan akan membuatkan penduduk berasa lebih selamat dengan adanya kehadiran polis," kata Mazlan semasa dihubungi BeritaBenar pada Isnin.

Antara PPR yang terlibat adalah PPR Seri Selangor, Seri Alam, Seri Sabah, Bukit Jalil, Desa Tun Razak, Seri Pantai, Pantai Ria, Gombak Setia, Seri Semarak, Desa Rejang, Air Panas, Wahyu, Beringin, Intan Baiduri dan Kampung Batu Muda.

Mazlan juga memberitahu, dengan adanya anggota polis mendiami di kawasan perumahan tersebut sebarang jenayah yang berlaku di persekitaran itu akan dapat dikesan dengan pantas.

Ketua Polis itu juga memberitahu bahawa angka jenayah di PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA) Kuala Lumpur antara 1 Januari hingga 26 September tahun ini adalah sebanyak 494 kes di PPR dan 42 kes di PPA.

"Statistik ini menunjukkan jenayah harta benda adalah sebanyak 425 kes di PPR dan 40 kes di PPA. Jenayah kekerasan pula mencatatkan sebanyak 69 kes di PPR dan dua di PPA," kata Mazlan.

Dalam pada itu, bagi kes berkaitan dadah dan narkotik di PPR telah mencatatkan sebanyak 844 kes dan 1,001 tangkapan bagi tempoh lapan bulan sejak Januari hingga Ogos.

Projek Perumahan Rakyat yang diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah merupakan satu program kerajaan dalam penempatan semula setinggan serta juga menyediakan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah yang mempunyai dua kategori sama ada ‘PPR Disewa’ atau ‘PPR Dimiliki’.  

Rumah PPR Dimiliki dijual pada paras harga antara RM30,000.00 (AS$7,165) dan RM35,000.00(AS$8,359) seunit di Semenanjung Malaysia dan RM40,500.00 (AS$9,673) di Sabah dan Sarawak dan kadar sewa PPR Disewa ialah RM124.00 (AS$29.62) sebulan.

PPR adalah rumah jenis bertingkat antara 5 hingga 18 tingkat di kawasan bandar-bandar besar dan terdapat juga rumah teres di pesisir dan pinggir bandar yang berkeluasan tidak lebih 700 kaki persegi.

DBKL dan PDRM juga telah mengadakan usaha yang sama pada Februari 2018, di mana pihak berkuasa itu menempatkan pondok kawalan polis dan balai polis bergerak di setiap kawasan PPR dan PPA di sekitar Kuala Lumpur bagi tujuan sama.

Komitment kepada masyarakat


Dalam pada itu, penganalisis jenayah dan penceramah bebas Kamal Affendy Hashim ketika dihubungi BeritaBenar berkata, perkara tersebut, jika tidak membebankan pihak polis dari segi logistik, boleh dianggap sebagai satu komitmen kepada masyarakat.

Beliau turut bersetuju bahawa langkah tersebut boleh mempercepatkan proses intervensi.

"Jika ianya tidak membebankan sumber manusia dan logistik kepolisan mereka, langkah polis KL ini boleh dianggap sebagai satu komitmen mereka untuk memberi perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada warga KL."

"Sama ada ia dapat atau tidak menurunkan indeks dan kejadian jenayah, inisiatif sedemikian perlu dibenar untuk berjalan terlebih dahulu selama setahun untuk dilihat perbandingannya."

"Yang demikian, saya gesa masyarakat setempat untuk bergerak bersama menyantuni kawasan masing-masing bagi memastikan keberadaan polis di situ dimanfaatkan sepenuhnya," kata beliau juga merupakan bekas anggota polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.