AS Puji Negara-negara Asia Bantu Kalahkan, Jatuhkan Pertubuhan Keganasan

Staf BeritaBenar
2020.06.24
Washington
200624-SEA-terror-620.jpg Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mengumumkan Laporan Negara Mengenai Keganasan 2019 sambil disaksikan Duta Nathan Sales (kanan) di Washington, 24 Jun 2020.
(AP)

Negara-negara Asia dan Asia Tenggara adalah antara rakan antarabangsa yang dipuji oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Rabu kerana membantu dalam menangani ancaman Negara Islam, al-Qaeda dan kumpulan militan lain pada tahun lalu, semasa negara kuasa besar itu mengumumkan mengenai laporan tahunannya mengenai keganasan.

Namun, laporan itu mengandungi kebimbangan kerajaan AS terhadap tindakan pihak militan menggunakan wilayah di Thailand dan Malaysia sebagai pusat transit bagi melakukan perjalanan ke destinasi lain, setelah AS dan pasukan negara lain menggulingkan pemerintahan khalifah Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria pada Mac 2019.

Laporan itu turut menyatakan tentang tempat-tempat selamat bagi pengganas di dan sekitar laut Sulu dan Sulawesi serta selatan Filipina.

"Amerika Syarikat dan rakan-rakan kami mencatatkan kejayaan besar dengan mengalahkan dan menjatuhkan pertubuhan pengganas antarabangsa," kata Duta Nathan Sales, penyelaras bagi menangani keganasan Jabatan Negara AS, dalam kata-kata pengantar yang terkandung di dalam Laporan Negara Mengenai Keganasan 2019.

"Sekarang, kita sedang memerangi ISIS dan sekutu al-Qaeda di seluruh dunia," katanya kepada wartawan di Washington, dengan menggunakan singkatan berbeza bagi militan Negara Islam.

Tetapi, laporan itu yang diumumkan di Jabatan Negara oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo, membangkitkan kelemahan yang terdapat di Thailand.

"Thailand amat mudah terdedah kepada keganasan antarabangsa dengan ia terus menjadi hab transit dan fasilitasi berikutan bilangan pelancong yang ramai melalui lapangan terbang utama Bangkok selain adanya pasar bagi barangan haram," katanya.

Laporan AS itu memuji negara-negara Asia Tenggara itu kerana tidak mengalami serangan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas rentas negara pada tahun lalu. Kebanyakan keganasan yang dialami adalah disebabkan oleh pemberontak ‘etnonasionalis’ di Selatan Thailand, menurut laporan itu. Ia menyatakan bilangan serangan pada 2019 adalah yang paling rendah sejak pemberontakan pemisah kembali tercetus pada 2004.

Minggu lalu, ketua perunding damai Thailand memberitahu BeritaBenar bahawa beliau berharap dapat meneruskan rundingan langsung dengan pemberontak Selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN), pada Julai atau Ogos setelah rundingan yang diusahakan Malaysia terjejas akibat perintah kawaan pergerakan  berikutan COVID-19 di negara-negara jiran pada pertengahan Mac.

Dalam laporan negaranya mengenai Malaysia, Jabatan Luar itu membangkitkan kebimbangan yang serupa dengan Thailand.

"Walaupun tidak ada serangan sekutu ISIS di Malaysia pada 2019, negara itu tetap menjadi sumber, pusat transit dan, pada tahap yang lebih rendah, negara destinasi  bagi kumpulan pengganas termasuk ISIS, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), al -Qaeda dan Jemaah Islamiyah," menurut laporan itu yang merujuk kepada dua kumpulan militan antarabangsa dan dua kumpulan rantau itu.

"Suspek penyokong ISIS dihantar pulang dari Turki dan individu yang mempunyai kaitan dengan ISIS atau ASG yang merancang  melakukan perjalanan ke selatan Filipina telah menggunakan Malaysia sebagai pusat transit," menurut Jabatan Negara dengan  menyatakan bahawa "Malaysia telah memantau, menangkap, menghantar pulang dan membicarakan suspek penyokong kumpulan pengganas."

Tempat selamat

Bahagian lain dalam laporan itu memberi tumpuan kepada tempat-tempat selamat bagi pengganas termasuk wilayah laut yang memisahkan selatan Filipina daripada pulau-pulau berdekatan di Malaysia dan Indonesia.

"Kerajaan Indonesia melakukan pemantauan dan pengawasan terhadap sel-sel yang disyaki pengganas di wilayahnya, tetapi mengakui bahwa kekurangan sumber menghalangi kemampuannya untuk memantau wilayah maritim dan kawasan terpencil Indonesia termasuk laut Sulu dan Sulawesi," kata laporan itu.

Jabatan Luar AS memuji Indonesia serta negara-negara jirannya, Malaysia dan Filipina, kerana menggunakan tentera masing-masing untuk melakukan rondaan bersepadu di laut bagi menghalang dan mencegah tindakan penculikan dan pengganas menggunakannya sebagai pusat transit.

"Kerajaan Malaysia terus berusaha menangani tindakan pengganas menggunakan laut Sulu/Sulawesi sebagai tempat selamat mereka dengan menjalinkan kerjasama dengan Indonesia dan Filipina bagi mencegah kemasukan FTF (pejuang pengganas asing) menerusi wilayahnya," kata laporan itu.

Laporan itu turut menyokong usaha kerajaan Filipina mengesan kumpulan pengganas terutama di wilayah selatan negara itu dengan ia terus mempereratkan lagi kerjasama yang sudah terjalin dengan tentera AS pada 2019 bagi menangani ancaman pengganas.

"Walaupun kerajaan Filipina mempunyai kekuatan politik untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan terhadap ancaman pengganas dan secara konsisten bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara lain bagi membangunkan kemampuan  berbuat demikian, ia masih sukar menerapkan pendekatan bersepadu keseluruhan kerajaan bagi mencegah keganasan," menurut laporan itu.

“Pertubuhan pengganas terus berupaya beroperasi di selatan Filipina mencerminkan cabaran yang berabad lamanya bagi memerintah  dengan berkesan di kawasan-kawasan lebih terpencil di negara itu dan mewujudkan keselamatan yang konsisten di wilayah yang bercirikan identiti pemisah yang kuat, kemiskinan endemik serta perbezaan agama,” menurut laporan itu.

Bab mengenai Bangladesh

Bangladesh menyaksikan peningkatan kecil dalam kegiatan pengganas pada 2019, menurut laporan itu, dengan menyatakan enam serangan menggunakan alat peledak diubah suai yang didakwa dilakukan oleh IS, termasuk lima serangan terhadap pihak polis antara April dan November. Serangan itu menyebabkan beberapa orang cedera tetapi tiada kematian.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, kerajaan Bangladesh menafikan  pengganas di Bangladesh mempunyai hubungan bermakna dengan kumpulan pengganas rentas negara termasuk ISIS," katanya.

Laporan itu menyatakan bahawa sistem penghakiman jenayah Bangladesh masih dalam proses melaksanakan sepenuhnya Akta Antikeganasan 2009 pada tahun lalu manakala sebuah mahkamah khas yang diberi kuasa di bawah Akta tersebut telah menjatuhkan hukuman mati ke atas tujuh lelaki kerana mempunyai peranan dalam serangan pengganas 2016 di sebuah kafe di Dhaka yang menyebabkan 20 orang awam dan lima militan terbunuh.

Negara Islam, melalui unit propagandanya, mengaku bertanggungjawab menawan dan melakukan serangan ke atas kafe Holey Artisan Bakery, iaitu serangan maut pengganas yang terburuk dalam sejarah Bangladesh sebagai sebuah negara. Serangan itu dilakukan oleh Neo-JMB, kumpulan militan Bangladesh yang menyokong IS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.