Poster Anti-Rohingya Di Malaysia Bangkitkan Kemarahan Kumpulan Hak Asasi

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri mengkritik agensi pelarian PBB kerana mengeluarkan terlalu banyak dokumen pengenalan diri untuk pelarian.
Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-06-11
Share
Poster Anti-Rohingya Di Malaysia Bangkitkan Kemarahan Kumpulan Hak Asasi Foto edaran Biro Imigresen Thailand ini menunjukkan etnik Rohingya yang memasuki Thailand secara haram dalam perjalanan menuju ke Malaysia, di sebuah rumah di Bangkok, 3 Januari 2021.
[AFP]

Kumpulan hak asasi di Malaysia berang dengan poster yang dipaparkan dalam media sosial oleh agensi-agensi kerajaan yang menunjukkan pegawai keselamatan bersenjata dan kapal tentera laut mengepung sebuah bot dengan kapsyen tertera “Migran Etnik Rohingya, Kedatangan Anda Tidak Diundang”.

Poster itu, yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kebangsaan, telah dikeluarkan daripada Twitter Jabatan Imigresen Malaysia dan laman Facebook agensi yang bertanggungjawab menjaga sempadan negara itu, selepas kumpulan hak asasi, Amnesty International Malaysia, mengeluarkan kenyataan keras berhubung poster tersebut.

“Adalah keji untuk menyatakan kepada masyarakat yang telah melalui pembersihan etnik, yang telah mengalami kekejaman yang tidak dapat dibayangkan selama beberapa generasi, bahawa mereka bukan sahaja tidak diingini di negara kita, malah kita akan menggunakan kekerasan terhadap mereka,” kata Amnesty International Malaysia dalam satu kenyataan.

Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) adalah sebuah unit kerajaan yang bertanggungjawab memperketatkan kawalan sempadan, dan bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan negara.

"Dalang dan sindiket yang terlibat [dalam pemerdagangan migran] akan terus diburu bagi membasmi jenayah pencerobohan sempadan serta jenayah lain," menurut catatan Jabatan Imigresen dalam akaun Twitter yang diiringi paparan poster itu.

NTF menyediakan poster itu dan memuat naik dalam media sosial susulan ketibaan 81 etnik Rohingya di Indonesia pada minggu lalu setelah berbulan-bulan berada di laut, kata satu sumber dalam pasukan petugas khas itu, yang tidak dibenarkan bercakap dengan media dan meminta namanya tidak dinyatakan.

Pelarian itu memberitahu pegawai Indonesia bahawa mereka mahu pergi ke Malaysia tetapi tidak dibenarkan masuk ke negara itu.

"Poster ini menunjukkan bahawa kita serius untuk tidak membiarkan pendatang tanpa izin memasuki negara kita," kata sumber itu kepada BenarNews.

Ratusan etnik Rohingya telah berusaha melarikan diri ke Malaysia, Thailand, Indonesia dan negara-negara lain untuk mengelak penindasan di Myanmar dan kehidupan buruk dalam kem-kem pelarian yang sempit di Bangladesh.

Ada masanya, pelarian itu berjaya memasuki negara-negara tersebut.

210611-MY-Inside.jpg

Poster yang disediakan oleh pasukan petugas kerajaan Malaysia tertera " Migran Etnik Rohingya, Kedatangan Anda Tidak Diundang” telah dipaparkan dalam akaun Twitter Jabatan Imigresen Malaysia selama kira-kira lima jam. [Foto ihsan @ ImigresenMY melalui Twitter]

‘Xenophobia’

Aktivis hak asasi Adrian Pereira dari Inisiatif Utara-Selatan berkata beliau bimbang dengan kemungkinan yang boleh berlaku akibat gambaran NTF terhadap etnik Rohingya, khususnya selepas banyaknya suara kebencian dalam talian terhadap pelarian tersebut pada Mei tahun lalu.

"Poster propaganda ini ... dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia. Saya bimbang kesannya terhadap kita,” kata Pereira kepada BenarNews.

Amnesty International, dalam kenyataannya, menyatakan bahawa mereka dimaklumkan oleh pelarian etnik Rohingya di Malaysia bahawa xenofobia dan rasisme yang dilontarkan terhadap mereka telah meningkat sejak 12 bulan lalu.

"Jangan buat silap, 'komunikasi strategik' dan dasar seperti ini menggalakkan lagi kebencian, keganasan dan xenofobia - mereka memudaratkan nyawa, mereka menghukum orang kerana cuba untuk meneruskan kehidupan, mereka membenarkan diskriminasi berlaku,” kata Amnesty International.

Kumpulan hak asasi lain, Milk Tea Alliance, pula menyatakan Malaysia perlu memahami keadaan yang berlaku di Myanmar.

"Xenofobia oleh Jabatan Imigresen kita. Mereka baru sahaja mengeluarkan poster yang menyatakan bahawa kedatangan migran etnik Rohingya tidak dialu-alukan di Malaysia,” kata Milk Tea Alliance cawangan Malaysia dalam Twitter.

"Pertama, mereka adalah pelarian, bukan migran, kedua, jelas sekali yang Jabatan Imigresen kita tidak tahu apa yang berlaku di Myanmar – amat memalukan."

Pereira pula bertanya bagaimana Malaysia merancang untuk mendapatkan tempat dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

"Ini tidak menjadikan kita kelihatan baik di mata masyarakat global. Rohingya adalah satu daripada minoriti yang paling ditindas di dunia. Adakah ini cara kita memperlakukan mereka?" katanya.

Malaysia mensasarkan kedudukan dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi penggal 2022-2024, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein pada Disember lalu.

‘Tidak adil untuk Malaysia’

Sementara itu, menteri dalam negeri pada Jumaat mengecam pejabat agensi pelarian PBB di Malaysia kerana mengeluarkan terlalu banyak kad pengenalan diri pelarian di negara itu.

Dalam temu bual dengan sebuah akhbar berbahasa Melayu, Hamzah Zainudin ingin tahu mengapa UNHCR mahu mendapatkan akses ke pusat tahanan imigresen, dengan agensi pelarian berkenaan tidak dibenarkan berbuat demikian sejak Ogos 2019.

“Anda nak masuk (pusat tahanan) pasal apa? Pasal nak bagi kad UNHCR itu?” kata Hamzah kepada akhbar Sinar Harian.

Pada masa ini, hampir 180,000 pemegang kad UNHCR tinggal di Malaysia, yang jauh lebih tinggi daripada anggaran 38,000 pada 2013.

Menteri itu memberitahu sebuah akhbar lain bahawa rakyat Malaysia menentang pelarian.

"Saya merasakan bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak setuju dengan bilangan besar pelarian, yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka, kerana ini boleh membawa pelbagai penyakit sosial," kata Hamzah kepada akhbar The Star.

Beliau tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan "penyakit sosial."

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

Namun, menurut UNHCR, prinsip non-refoulement itu terpakai di negara berkenaan sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa adat, yang mengikat semua negara. Non-refoulement ialah prinsip asas undang-undang antarabangsa yang menghalang mana-mana negara menghantar pulang pencari suaka ke negara asal yang boleh menyebabkan individu terbabit menghadapi keganasan dan penganiayaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh