Penganalisis: PM Berdepan Tekanan Percepat PRU Selepas Menang Besar di Johor

Segelintir anggota dan pimpinan UMNO mahu gunakan kelebihan kemenangan parti itu serta sekutu semasa tiga pilihan raya negeri.
Suganya Lingan & Iskandar Zulkarnain
2022.03.14
Kuala Lumpur
Penganalisis: PM Berdepan Tekanan Percepat PRU Selepas Menang Besar di Johor Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama pemimpin kanan gabungan Barisan Nasional yang lain meraikan kemenangan semasa Pilihan Raya Negeri Johor di Johor Bahru, Malaysia, 12 Mac 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 8.30 malam waktu tempatan ETS - 2022-03-14

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob dijangka berdepan dengan tekanan yang memuncak untuk mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin selepas partinya mencatat kemenangan besar semasa pilihan raya negeri Johor pada hujung minggu, para penganalisis kepada BenarNews.

Ismail dilihat cuba menolak gesaan tersebut pada Ahad dengan berkata mempercepatkan pilihan raya umum adalah satu keputusan besar yang perlu dibincangkan secara serius oleh kepimpinan parti. Perdana Menteri itu, bagaimanapun hanya memegang jawatan Naib Presiden UMNO, kedudukan ketiga tertinggi dalam parti berkenaan.

"Akan ada tekanan ke atas Ismail Sabri untuk memanfaatkan kemenangan besar kedua bagi BN semasa pilihan raya negeri sepanjang tempoh masa lima bulan," kata James Chin, penganalisis politik dari Universiti Tasmania, kepada BenarNews, merujuk kepada gabungan parti diketuai UMNO yang memenangi pilihan raya negeri Johor pada Sabtu lalu.

Kejayaan di Johor itu dilihat sebagai kemenangan ketiga berturut-turut dicatatkan BN pada pilihan raya negeri, mengambil kira kemenangan termasuk sekutu gabungan di Sarawak pada Disember 2021, kata Chin.

BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor, dengan UMNO sendiri mendapat 33 kerusi. Pakatan parti pembangkang Pakatan Harapan serta Perikatan Nasional hanya memenangi 11 dan 3 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim (PKR) pula hanya mendapat satu kerusi. Sebuah lagi parti belia MUDA, menang satu kerusi dalam pilihan raya tersebut yang merupakan pertama kali disertai mereka.

Semasa kiraan undi Pilihan Raya Negeri Johor pada lewat Sabtu yang menunjukkan BN semakin pasti akan menang, ahli-ahli UMNO mula melaungkan "bubar Parlimen" di perkarangan Ibupejabat parti itu di Johor.

Di bawah sistem kerajaan berparlimen, pembubaran Parlimen perlu dibuat terlebih dahulu sebelum Pilihan Raya Umum boleh diadakan, dengan Perdana Menteri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Secara kebetulan, UMNO juga dijadualkan untuk mengadakan perhimpunan agungnya pada minggu ini, dan penganalisis politik Bridget Walsh menjangka bahawa isu pilihan raya umum akan menjadi topik hangat perdebatan pada mesyuarat tersebut.

"Kita melihat isu ini telah mula dimainkan dengan Ismail Sabri menyatakan bahawa ia tidak akan dibuat sebegitu cepat sementara beberapa yang lain pula menggesa supaya pilihan raya dibuat segera. Persoalannya sekarang ialah, berapa segera?" kata Welsh kepada BenarNews.

Ahli akademik dari Universiti Nottingham Malaysia itu percaya bahawa kemenangan BN di Johor berkemungkinan akan membawa kepada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

"Di peringkat nasional, keputusan pilihan raya Johor akan membuka jalan untuk pilihan raya umum diadakan lebih awal," tulis Welsh dalam Between The Lines, sebuah jurnal tempatan yang menerbitkan artikel politik.

"UMNO dan BN dalam mood kemenangan. Kini ia hanya persoalan mengenai masa. Gesaan supaya Parlimen dibubarkan telah bermula dan dibuat secara terbuka untuk memberi tekanan agar pilihan raya dibuat segera, manakala pembangkang pula berpecah belah dan lemah," tambah beliau.

Pilihan Raya Umum Malaysia yang seterusnya mesti diadakan pada atau sebelum Julai 2023.

Kerajaan persekutuan yang kini dipimpin oleh Ismail Sabri telah menandatangani satu persefahaman dengan blok Pakatan Harapan bahawa pilihan raya umum tidak akan dibuat sebelum 31 Julai tahun ini, sebagai balasan kepada sokongan pakatan pembangkang itu terhadap beberapa rang undang-undang penting termasuk Belanjawan Negara bagi tahun ini.

220314-MY-PRN-Inside.jpeg

Seorang pengundi memegang kertas berlogokan Barisan Nasional sewaktu menunggu giliran untuk mengundi semasa Pilihan Raya Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan Sungai Danga, di Johor Bahru, 12 Mac, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Akar umbi bersedia

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO Mohd. Razlan Rafii, akar umbi UMNO telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya, tetapi mereka menyerahkan kepada pimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan mengenainya.

"Kita bersedia untuk hadapi pilihan raya dalam masa terdekat," kata beliau kepada BenarNews.

"Ia adalah sesuatu yang normal untuk pilihan raya dibuat sebelum tempoh matang... Kita telah bersedia dan sokongan kini berada di pihak kami kerana PH telah gagal untuk mengotakan janji-janjinya," kata Razlan, merujuk kepada gabungan parti pembangkang pimpinan Anwar.

Tambah beliau, parti juga sebelum ini telah memberikan mandat kepada pimpinan tertinggi UMNO untuk memutuskan bila waktu sesuai untuk diadakan pilihan raya.

"Kemenangan di Melaka dan Johor akan memberikan lebih keyakinan kepada UMNO untuk memenangi pilihan raya umum akan datang," katanya kepada BenarNews.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar pula menyuarakan kebimbangan mengenai kadar rendah pengundi yang keluar untuk memilih, dengan hanya lebih 50 peratus yang muncul pada Pilihan Raya Negeri Johor.

"Kita amat khuatir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan serta boleh menggugat proses demokrasi," tulis Anwar dalam laman Facebooknya pada Ahad.

"Keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani pilihan raya umum kelak," tambah beliau.

Sementara itu, Profesor Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata kadar pengundi yang rendah juga adalah sesuatu yang perlu dirisaukan UMNO.

"Dinamik pengundian adalah berbeza antara pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri [berbanding pilihan raya umum]. BN patut mengkaji semua sudut berkait dengan polisi dan faktor lain sebelum membuat keputusan [sama ada untuk mengadakan pilihan raya awal]," kata beliau kepada BenarNews.

Pengarah komunikasi Pakatan Harapan Fahmi Fadzil berkata undi untuk parti-parti pembangkang telah berpecah dan menyebabkan mereka kehilangan banyak kerusi di Johor.

Beliau percaya bahawa Perikatan Nasional - sebuah lagi gabungan parti pembangkang yang dipimpin bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin - telah memburukkan keadaan.

"Jadi bagaimana untuk kita hadapi isu ini? Adakah pengundi tahu apakah beza di antara dua parti ini [Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional]?" kata Fahmi kepada BenarNews.

Adakah ini sesuatu yang perlu kita tangani secara strategik, atau secara taktikal? Ini adalah antara isu yang sedang dilihat oleh para pemimpin dalam beberapa minggu dan bulan ke hadapan ini."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.