Follow us

Pembangkang Malaysia Meraih Kemenangan Bersejarah

Hadi Azmi & N. Nantha
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-09
E-mel
Komen
Share
Penyokong pembangkang bersorak dan mengibarkan bendera parti mereka selepas Mahathir Mohamad mendakwa parti pembangkang memenangi pilihan raya umum yang disiarkan secara langsung di skrin besar di sebuah padang di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
Penyokong pembangkang bersorak dan mengibarkan bendera parti mereka selepas Mahathir Mohamad mendakwa parti pembangkang memenangi pilihan raya umum yang disiarkan secara langsung di skrin besar di sebuah padang di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
AP

KEMASKINI pada 8 malam waktu tempatan pada 2018-05-09

Pakatan Harapan yang dipimpin bekas perdana menteri Mahathir Mohamad pada Khamis mengejutkan dunia dengan meraih kemenangan yang tak disangka di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah negara sejak kemerdekaan daripada Britain enam dekad yang lalu.

Blok Pakatan Harapan yang dipimpin oleh veteran politik Mahathir, 92, berjaya merebut 112 kerusi parlimen untuk mendapat majoriti mudah di dalam institusi yang diwakili oleh 222 ahli parlimen, cukup untuk membentuk kerajaan baru, menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dipos di talian pada jam 4 pagi (waktu tempatan), dengan kiraan undi untuk cuma satu lagi kerusi yang belum diputuskan.

Tercemar oleh dakwaan rasuah, gabungan Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak hanya memenangi 79 kerusi parlimen, lalu menyingkirkannya daripada pucuk kepimpinan setelah berada di puncak politik Malaysia selama hampir satu dekad.

Gabungan Pakatan yang menang terdiri daripada beberapa parti pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democratic Action Party (DAP), dan parti Amanah, yang berteraskan agama Islam.

Semua parti tersebut berkempen di bawah panji PKR, parti yang dipimpin ikon pembangkang Anwar Ibrahim yang masih merengkuk di penjara, tetapi dijangka akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Mahathir setelah beliau dibebaskan dan menerima pengampunan diraja.

Tindakan untuk berkempen di bawah satu logo dilancarkan berikutan langkah pihak berkuasa untuk menolak permohonan Pakatan untuk mendaftar sebagai gabungan politik dan juga setelah menolak permohonan Bersatu untuk disenaraikan sebagai parti politik.

Di bawah sistem pilihan raya negara, parti yang memenangi majoriti mudah kerusi parlimen yang berjumlah 222 kerusi boleh membentuk kerajaan baru.

Di dalam PRU-13, BN kehilangan undi majoriti dengan memenangi 133 kerusi parlimen.

Para penganalisa terkejut dengan kemenangan pihak pembangkang. Tinjauan bebas yang diadakan sebelum PRU menunjukkan bahawa Najib berpeluang untuk memenangi undi popular dengan kemenangan tipis walaupun kehilangan undi popular buat kali kedua.

Mahathir dengan segera memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan tidak akan mengambil tindakan melulu, namun beliau menekankan bahawa undang-undang akan membuat penentuan.

“Kami bukannya hendak membalas dendam. Apa yang kami mahukan ialah untuk mengembalikan peraturan dan undang-undang. Sekiranya sesiapa melanggar undang-undang, mereka akan dibawa ke mahkamah,” katanya di sidang media awal pagi.
Najib, 64, telah dilanda pelbagai masalah akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana negara yang telah dirompak berbilion dolar.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berkata AS$4.5 bilion telah disamun dari 1MDB oleh kuncu-kuncu Najib, termasuk AS$700 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya. Beliau tidak mengaku melakukan kesalahan tersebut.

Mahathir dan parti-parti pembangkang telah menggunakan kaitan Najib dengan skandal rasuah tersebut sebagai tema utama di dalam kempen PRU-14.  

Bekas perdana menteri yang telah memimpin negara dengan majoriti penduduk yang beragama Islam selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003, keluar dari persaraannya untuk menghadapi Najib, yang pada satu masa dulu dianggap ‘anak emasnya.’

Mahathir telah berjanji untuk mengalih kuasa kepada Anwar Ibrahim, satu ketika musuh ketatnya, setelah Anwar dibebaskan dari penjara pada Jun 8 kelak. Anwar telah dipenjara buat kali kedua atas tuduhan sodomi, yang beliau dakwa sebagai fitnah Najib terhadapnya untuk menghapuskan cabaran terhadap kuasa yang dipegang pemimpin BN tersebut.

Mahathir berkata pada Khamis bahwa beliau akan memohon perkenan diraja untuk Anwar supaya beliau boleh mengambil alih sebagai perdana menteri.

Mendebarkan

Menurut SPR, 70 peratus daripada 15 juta pengundi membuang undi di serata Malaysia di dalam pilihan raya yang sengit dan mendebarkan.

Peratusan pengundi yang membuang undi kelihatan lebih rendah daripada tahap 85 peratus yang dicatatkan pada PRU-13, para pegawai berkata.

Mahathir dengan penuh yakin mengumumkan kemenangan sebelum keputusan rasmi diumumkan.  

“Kami cuma perlukan 112 kerusi dan jelas kami telah mencatat jumlah tersebut; sementara jumlah untuk BN nampak jauh lebih rendah daripada itu,” Mahathir berkata.  

Barisan telah berkata bahawa ia akan menghormati keputusan pilihan raya itu.

“Jelas kami akan menerima keputusan yang diambil oleh rakyat, tetapi perdana menteri akan mengeluarkan kenyataan,” kata Khairy Jamaluddin, ketua pemuda UMNO, sayap utama di dalam Barisan.

“Kita perlu menerima keputusan pilihanraya ini dengan rasa hormat dan kita teruskan (perjuangan),” katanya lagi.

Sebelum itu, Najib telah mempengerusikan mesyuarat kepimpinan yang termasuk timbalan perdana menteri dan timbalan presiden UMNO, Zahid Hamid, menteri pertahanan dan naib presiden UMNO Hishamuddin Hussein and Khairy, menteri belia dan sukan. Beliau dijangka akan mengadakan sidang media pada lewat Khamis.

Di dalam satu sandiwara politik, Mahathir berpaling tadah dan memberikan sokongannya kepada pakatan yang penuh dengan parti yang beliau cuba hancurkan waktu pemerintahannya, termasuk ikon pembangkang yang masih merengkuk di dalam penjara, Anwar Ibrahim – bekas musuhnya.

Para penganalisa telah meramalkan bahawa BN dipimpin Najib akan kekal berkuasa berdasarkan sistem elektoral yang telah diputar belit.

Belum ada komen daripada pihak BN mengenai keputusan PRU-14 setakat ini.
SPR menyeru agar semua pihak bersabar setelah Mahathir menuduhnya sengaja melambat-lambatkan pengumuman rasmi keputusan PRU.

“Tolong beri kami sedikit masa untuk membuat pengumuman rasmi setelah semua keputusan telah disahkan,” Hisham Abdullah, pengerusi suruhanjaya berkata.

“Kami masih menerima keputusan daripada negeri-negeri dan juga stesen undi serta dari pengawai undi. Saya pasti ramai yang menunggu dan kami faham keadaan ini.”

“Saya pasti mereka yang menang tidak sabar untuk mengangkat sumpah untuk menjadi perdana menteri dan membentuk kerajaan. Kami sendiri tidak ada apa yang hendak disembunyikan, oleh itu tolong bersabar sedikit.”

Suruhanjaya telah mengumumkan kemenangan gabungan parti Mahathir untuk mengekalkan dua buah negeri  – Selangor and Pulau Pinang – dan memenangi tiga buah negeri lagi – Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, tempat lahirnya parti UMNO, parti utama di dalam Barisan.

Barisan berjaya mengekalkan Perlis dan Pahang sementara Parti Islam PAS mengekalkan Kelantan dan berjaya merebut Terengganu daripada Barisan. PAS memenangi 18 kerusi parlimen.

Bagaimanapun, gabungan parti pemerintah itu menerima tamparan hebat apabila pemimpin parti komponen BN yang mewakili kaum Cina dan India kehilangan kerusi masing-masing, menurut Bernama.

Liow Tiong Lai, Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), tewas di kerusi parlimennya di Bentong, Pahang, manakala S. Subramaniam, Presiden Kongres India Se-Malaysia (MIC), kalah di kawasan parlimen Segamat di negeri Johor.

Najib meluahkan kebimbangannya dengan serangan peribadi yang berleluasa sewaktu kempen PRU.

“Ia tidak begitu tegang, namun serangan peribadi biadab yang dilemparkan tidak  mencerminkan demokrasi matang,” katanya, seperti dipetik oleh aljazeera.com.

“Tetapi apa yang paling penting ialah untuk rakyat menentukan nasib negara"

Lihat Laman Penuh