Follow us

Negara-negara Asia Puji Kemenangan Mahathir Mohamad Dalam Pilihan Raya Umum

Staf BeritaBenar
2018-05-10
E-mel
Komen
Share
Reaksi rakyat Malaysia ketika menonton siaran langsung televisyen yang memaparkan Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara di Kuala Lumpur, 10 Mei 2018.
Reaksi rakyat Malaysia ketika menonton siaran langsung televisyen yang memaparkan Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh negara di Kuala Lumpur, 10 Mei 2018.
[AP]

Pemimpin kerajaan dan pembangkang di Asia Selatan dan Asia Tenggara menyuarakan kegembiraan mereka apabila Mahathir Mohamad dan pakatan pembangkangnya pada Khamis memenangi pilihan raya umum dengan menumbangkan gabungan parti yang memerintah Malaysia selama 61 tahun.

Bekas Perdana Menteri Thailand yang dalam pembuangan, Thaksin Shinawatra, memberi beberapa komen positif dalam akaun Twitter rasminya dengan memuji Mahathir kerana "melakukan kemunculan semula yang menakjubkan".

Mahathir, yang memimpin Malaysia selama lebih daripada dua dekad, mengangkat sumpahnya pada malam Khamis dan menjadi perdana menteri ketujuh negara yang menmpunyai majoriti penduduk Muslim itu.

"Kuasa rakyat lantang dan jelas bersuara bahawa mereka bukan sahaja mengingati legasinya yang luar biasa malah memerlukan lagi kepimpinannya," kata Thaksin, yang merupakan perdana menteri Thailand dari 2001 sehingga dia digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada September 2006.

"Saya yakin bahawa semua rakyat Thailand turut berkongsi sentimen dan rasa hormat saya terhadap beliau," katanya.

Thaksin berkata kepimpinan, gagasan dan wawasan Mahathir "pasti akan menghidupkan semula" Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), blok politik dan ekonomi serantau yang dianggotai 10 negara termasuk Malaysia dan Thailand.

Cecep Hidayat, pensyarah sains politik di Universitas Indonesia, bersetuju dengan komen Thaksin bahawa kepimpinan Mahathir yang "berpandangan jauh" akan memberi manfaat kepada Malaysia pada forum ASEAN.

"Mahathir akan menjadi lebih fleksibel dan sangat aktif" dalam dasar luarnya," kata Cecep kepada BeritaBenar. "Malaysia boleh menjadi hebat sekali lagi di Asia, mungkin lebih popular daripada Indonesia."

Mahathir, 92, mengetuai gabungan parti Barisan Nasional (BN)  memerintah negara sebelum bersara pada 2003. Beliau kembali daripada persaraan dan menyertai pembangkang pada 2016, dengan menyurakan rasa berangnya terhadap skandal rasuah membabitkan dana pelaburan milik negara, 1MDB, yang diketuai oleh bekas anak didiknya, Najib Razak, yang menafikan sebarang salah laku.

Bobby Rizaldi, ahli parlimen Indonesia, menyifatkan kejayaan Mahathir sebagai sesuatu yang "luar biasa" dan berkata, pemimpin Malaysia itu boleh memberi kesan terhadap usaha berterusan Jakarta dalam memerangi dadah haram, yang diseludup ke negara-negara destinasi melalui pelbagai sempadan.

Pihak berkuasa menyita sekurang-kurangnya 45 tan methamphetamine di Asia Timur dan Asia Tenggara pada 2014, dalam operasi polis di Malaysia, Indonesia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain, menurut laporan 2016 Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah.

"Kebanyakan dadah itu datangnya dari Malaysia [sebagai negara transit] ke Indonesia," Rizaldi memberitahu BeritaBenar.

"Sejauh manakah komitmen Mahathir untuk menyelesaikan isu sempadan itu?"

Pilihan raya jadi alat perubahan, kata aktivis


Di Thailand, aktivis pro-demokrasi Rangsiman Rome, pemimpin utama Kumpulan Pemulihan Demokratik (DRG), berkata, kemenangan Mahathir membuktikan bahawa pilihan raya adalah alat perubahan yang baik bagi memberi peluang kepada rakyat untuk membetulkan kesilapan mereka sendiri.

"Untuk mengadakan pilihan raya sekali setiap empat tahun membolehkan para pengundi untuk mengkaji semula bagaimana pilihan mereka telah melaksanakan tugasnya dan tidak mengulangi kesilapan," kata Rangsiman kepada BeritaBenar. "Amat menyedihkan kerana Thailand kekal berada di bawah pemerintahan junta tentera, manakala Malaysia dapat mengadakan pilihan raya. Sungguh berbeza sekali."

Minggu lalu, para aktivis Thailand termasuk DRG telah mengumumkan rancangan untuk melancarkan perhimpunan protes terhadap junta Thailand pada hujung bulan Mei yang merupakan  ulang tahun keempat rampasan kuasa tentera yang menggulingkan adik perempuan Thaksin, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Jeneral Aksara Kerdpol, wakil ketua Thailand dalam perbincangan damai dengan pemberontak di Selatan Thailand, menyatakan keyakinannya bahawa Mahathir akan meneruskan sokongan Malaysia terhadap proses damai Thailand.

"Mungkin ada kesan apabila berlakunya perubahan kerajaan," katanya kepada BeritaBenar. "Saya percaya kerajaan baru akan meneruskan perbincangan damai itu kerana ia adalah kaedah bukan ganas."

Ruckchart Suwan, presiden organisasi bukan kerajaan Thailand, Rangkaian Buddha untuk Keamanan, bersetuju dengan komen jeneral itu.

"Saya percaya tidak ada kesan terhadap proses perbincangan damai kerana kedua-dua negara menyedari tentang kepentingannya. Tetapi, saya tidak pasti sama ada fasilitatornya akan berubah, "katanya, merujuk kepada Ahmad Zamzamin Hashim, fasilitator perbincangan damai itu.

Di Bangkok, Jeneral Prawit Wongsuwan, Timbalan Perdana Menteri Thailand untuk hal ehwal keselamatan, memberitahu pemberita bahawa hubungan dua hala tidak akan berubah berikutan pertukaran kerajaan di Kuala Lumpur.

"Pembangkang memenangi pilihan raya, tetapi tidak sepatutnya ada perubahan ketara yang boleh menimbulkan masalah," katanya.

Di Singapura, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, negaranya mahu membangunkan "hubungan konstruktif yang sama " dengan Mahathir.

"Sebagai jiran terdekat Malaysia, kami mempunyai kepentingan dalam kestabilan dan kemakmuran Malaysia," kata Lee dalam laman Facebook beliau.

Di Bangladesh, Delwar Hossain, ketua pengarah jabatan perhubungan luar kementerian luar negara, memberitahu BeritaBenar bahawa hubungan diplomatik akan terus utuh di bawah kerajaan baru Malaysia  yang diketuai Mahathir.

"Pilihan raya dan perubahan kerajaan adalah sebahagian daripada proses demokrasi," katanya. "Kami komited untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan di Malaysia."

Mahbubur Rahman, seorang pegawai kanan pembangkang Parti Kebangsaan Bangladesh, menyifatkan kemunculan semula Mahathir dalam dunia politik adalah suatu "pengajaran besar bagi kita dan seluruh dunia."

"Beliau menghukum Anwar Ibrahim tetapi menjalinkan kerjasama dengan musuhnya demi demokrasi dan rakyat," katanya, merujuk kepada bekas musuh politik Mahathir yang sedang dipenjarakan. "Kemenangan pembangkang sekali lagi membuktikan bahawa rakyat adalah berdaulat dan mempunyai kuasa tertinggi."


Kamran Reza Chowdhury di Dhaka, Tria Dianti di Jakarta, Nontarat Phaicharoen di Bangkok dan Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand, turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh