Follow us

PRU Malaysia: Keputusan Awal Saksikan Persaingan Sengit antara Parti Pemerintah dan Blok Pembangkang

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-09
E-mel
Komen
Share
Orang ramai beratur di luar sebuah pusat pengundian di Kuala Lumpur untuk membuang undi mereka pada pilihan raya umum ke-14 Malaysia, 9 Mei 2018.
Orang ramai beratur di luar sebuah pusat pengundian di Kuala Lumpur untuk membuang undi mereka pada pilihan raya umum ke-14 Malaysia, 9 Mei 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Keputusan pilihan raya umum Malaysia mula diketahui pada Rabu malam (waktu tempatan) selepas sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi menunaikan kewajipan mereka pada hari pengundian yang menyaksikan persaingan sengit antara gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH), menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Keputusan rasmi awal menunjukkan parti pimpinan Perdana Menteri Najib Razak memenangi 20 kerusi parlimen berbanding 12 yang dimenangi parti-parti di bawah Pakatan Harapan, blok pembangkang utama diketuai bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Najib memenangi kerusi parlimennya mewakili kawasan Pekan di negeri asal beliau iaitu Pahang, menurut keputusan awal yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Bernama. Bagaimanapun, gabungan parti pemerintah itu menerima tamparan hebat apabila pemimpin parti komponen yang mewakili kaum Cina dan India kehilangan kerusi masing-masing, menurut Bernama.

Liow Tiong Lai, Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), kehilangan kerusi parlimennya di Bentong, negeri Pahang, manakala S. Subramaniam, Presiden Kongres India Se-Malaysia (MIC), kalah di kawasan parlimen Segamat di negeri Johor.

Kira-kira 15 juta rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-14, kata pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, dan pihak berkuasa melaporkan bahawa hari pengundian berjalan dalam keadaan aman.

Jumlah yang keluar mengundi pada pilihan raya yang berlangsung di tengah-tengah minggu adalah jauh lebih rendah berbanding 85 peratus yang dicatat dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 2013, kata seorang pegawai.

Perdana Menteri Najib mengundi di kawasan parlimennya, Pekan di negeri Pahang.

“Secara amnya,iIni adalah satu pilihan raya yang tenang,” katanya kepada pemberita.

“Ia tidak begitu tegang, namun agak kasar dari segi serangan peribadi yang tidak  mencerminkan demokrasi matang,” katanya seperti dipetik oleh aljazeera.com. “Tetapi apa yang paling penting ialah untuk rakyat menentukan nasib negara ini.”

Najib, 64, kini bertanding untuk penggal ketiga. Beliau telah terjerumus dalam pelbagai kancah kontroversi dalam tempoh sembilan tahun memimpin Malaysia, dan terlibat dalam skandal rasuah bernilai berbilion dolar. Menjelang hari pengundian pada Rabu, beliau terpaksa menghadapi  cabaran sengit daripada bekas mentor politiknya Mahathir yang berusia 92 tahun.

Mahathir, yang memerintah negara dengan majoriti penduduk yang beragama Islam selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003 berkata, beliau berasa “yakin akan memperolehi kemenangan” dalam pilihan raya ini selepas mengundi di bandaraya Alor Setar, Kedah, negeri asalnya.

“Kita mengundi untuk masa depan rakyat. Kesemuanya (calon PH) adalah orang-orang baik yang akan memastikan sebuah kerajaan yang baik, tidak seperti kerajaan Najib,” kata Mahathir kepada pemberita selepas mengundi. Beliau diiringi isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Saya berasa yakin akan beroleh kemenangan kecuali jika Najib menipu,” katanya, “Saya tidak tahu sama ada dia akan menipu, tetapi setakat yang saya nampak, rakyat tidak menyokong beliau.”

Mahathir mengetuai blok pembangkang PH atau Pakatan Harapan.

Di bawah sistem pilihan raya negara, parti yang memenangi majoriti mudah kerusi parlimen berjumlah 222 boleh membentuk kerajaan.

Lihat Laman Penuh