Pilihan raya umum Malaysia ditetapkan pada 19 Nov

Lebih 21 juta pengundi layak mengundi pada hari berkenaan.
Iman Muttaqin Yusof
2022.10.20
Putrajaya, Malaysia
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Pilihan raya umum Malaysia ditetapkan pada 19 Nov Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 Malaysia pada sidang media di Putrajaya, 20 Okt, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 2 petang waktu tempatan ETS - 2022-10-20

Rakyat Malaysia akan mengundi pada 19 Nov, kata Suruhanjaya Pilihan Raya pada Khamis, ketika parti UMNO yang dicemari isu rasuah mensasarkan untuk kembali berkuasa melalui pilihan raya, dan pengundi muda berusia antara 18 dan 21 tahun pula berpeluang mengundi buat pertama kali, semasa pilihan raya umum itu nanti.

Lebih 21 juta pengundi yang layak, termasuk kira-kira satu pertiga daripada mereka yang akan mengundi buat kali pertama, akan memilih Ahli Parlimen bagi Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi, menurut pegawai.

"Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan untuk mengisi kekosongan 222 kerusi di Parlimen," kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh pada Khamis, selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas yang diadakan di pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya iaitu pusat pentadbiran Malaysia.

Beliau berkata calon kerusi Parlimen itu perlu memfailkan pencalonan masing-masing pada 5 November dan memberikan mereka hanya dua minggu untuk berkempen secara rasmi. Tarikh akhir bagi undi pos atau undi tidak hadir ialah pada 23 Oktober, kata beliau.

Abdul Ghani berkata badan pilihan raya itu telah membentuk 625 pasukan petugas kempen pilihan raya yang merangkumi anggota polis, pegawai majlis tempatan dan wakil calon.

Selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Ismail Sabri membubarkan Parlimen pada 10 Oktober dan menggesa diadakan pilihan raya mengejut dengan harapan dapat menamatkan ketidakstabilan politik sejak beberapa tahun lalu.

Mengikut undang-undang, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Parlimen dibubarkan.

Di Dewan Rakyat, parti atau gabungan yang memperoleh majoriti mudah atau 112 kerusi, layak membentuk kerajaan.

Pilihan raya umum akan diadakan pada Sabtu, dengan penganalisis politik berpendapat ia akan menghasilkan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi.

“Ya, ia dijangka diadakan pada Sabtu. Sebabnya juga adalah untuk mendapatkan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi,” kata Mohd Azizuddin Mohd Sani yang merupakan profesor politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia.

Seorang lagi penganalisis berkata pengundian pada hujung minggu, yang menyusuli tempoh berkempen selama dua minggu, adalah lebih baik berbanding pilihan raya umum lalu dan memberi masa yang cukup kepada parti politik untuk memperjelas mandat mereka kepada pengundi.

Jeniri Amir, felo kanan di Majlis Profesor Malaysia, berkata pilihan raya 2018 diadakan pada Rabu selepas hanya 11 hari berkempen.

“Kali ini, ia adalah tarikh yang sesuai untuk pengundi di Malaysia, dan [mereka] di luar [negara] atau kawasan mengundi mereka, untuk pulang mengundi. Ia menunjukkan bahawa SPR mengambil kira banyak faktor,” kata Jeniri kepada BenarNews.

Bagaimanapun, beliau berkata peratusan keluar mengundi mungkin tidak setinggi peratusan pada pilihan raya 2013, yang menyaksikan 82 hingga 84 peratus pengundi yang layak keluar mengundi, dan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Pilihan raya kali ini diadakan lebih awal daripada tempoh akhirnya pada September 2023, dengan pembangkang dan pihak lain mengkritik waktu ia diadakan kerana pilihan raya pada bulan depan itu hanyalah yang kedua diadakan semasa musim tengkujuh Malaysia, yang biasanya bermula pada pertengahan November dan menyebabkan banjir besar yang sering membawa maut dan kemusnahan harta benda awam.

Tahun lalu, banjir yang dicetuskan oleh musim monsun menyebabkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh serta mengakibatkan kerugian lebih RM6 bilion (AS$1.3 bilion).

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dianggotai Ismail Sabri, yang merupakan parti yang memerintah selama lebih 60 tahun sejak merdeka, telah mengalami kekalahan bersejarah - buat pertama kalinya – pada pilihan raya umum 2018 akibat dakwaan rasuah yang berleluasa dalam kalangan pemimpinnya.

Bagaimanapun, pakatan pembangkang yang menewaskan parti itu tumbang dalam masa 22 bulan sahaja akibat pertelingkahan dalaman, dan Malaysia dilanda ketidakstabilan politik sejak itu.

UMNO kembali menerajui kerajaan pada Mac 2021, apabila ia menyokong sebuah gabungan beberapa parti tetapi ia kemudian menarik diri dan mengetuai gabungannya sendiri pada Ogos tahun lalu dengan Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri. Tetapi, ia bertahan dengan adanya majoriti yang tipis.

Pada Ogos, pemimpin kanan UMNO dan bekas perdana menteri Najib Razak dipenjarakan selama 12 tahun atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir beliau.

Nasihat Agong

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan semua calon pilihan raya supaya "bertanding secara sihat dengan mengelak dengan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa" menjelang tarikh mengundi pada 19 November, menurut satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara.

Sementara itu, pemimpin tiga gabungan politik utama yang bertanding untuk mendapatkan tampuk pemerintahan kerajaan turut mengeluarkan kenyataan mengenai pengundian.

Ahmad Zahid Hamidi, presiden UMNO, parti terbesar dalam gabungan Barisan Nasional, meminta sokongan semua pihak dalam pilihan raya tersebut. Sementara Zahid merupakan ketua parti tersebut, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikekalkan sebagai calon UMNO untuk menjawat jawatan tertinggi eksekutif itu sekiranya mereka memenangi PRU15.

Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah gabungan politik mungkin tidak terlihat sempurna oleh sebilangan pihak. Namun gabungan politik ini tidak pernah terhenti berusaha untuk menggapai kesempurnaan," kata beliau dalam satu kenyataan. "Ia suatu proses berterusan tanpa titik noktah memastikan BN kekal relevan, progresif kini dan selamanya."

Anwar Ibrahim yang mengetuai Parti Keadilan Rakyat dan merupakan calon Perdana Menteri bagi gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan, mahukan supaya semua calon jawatan tertinggi itu bersemuka dan berdebat.

"Saya syorkan agar dapat diadakan satu acara debat antara calon-calon Perdana Menteri daripada parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. Debat itu haruslah berdasarkan soal dasar serta prinsip dan bukannya dengan melemparkan tuduhan murahan. Langkah ini sekaligus memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dasar yang akan diketengahkan," kata Anwar dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sekiranya sesi debat seperti dicadangkan itu berlaku, ia akan menyaksikan Anwar berhadapan dengan Ismail Sabri dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu muat naik di sosial media, presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang pula mengaitkan undi dengan agama. PAS merupakan sebahagian daripada gabungan politik Perikatan Nasional, yang diketuai oleh parti Bersatu pimpinan Muhyiddin. Ia juga dijangka akan cuba untuk mendapatkan kuasa untuk mengetuai kerajaan.

"Segala kepercayaan, percakapan, hatta pekerjaan seseorang pasti akan dihisab dan dipertanggungjawabkan pada Hari Akhirat kelak, sama ada hubungannya dengan Allah SWT mahupun sesama manusia dan makhluk yang lain.

"Hal ini termasuklah dalam soal pengundian dan pemilihan kepimpinan negara," kata Abdul Hadi dalam status di Facebook.

"Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT, yakni kerajaan yang beraqidah, beriman, dan berakhlak. Jangan sekali-kali mengundi golongan yang salah dan sesat."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.