PRU15: Hampir 70,000 anggota keselamatan dan penyelamat dikerahkan tangani kecemasan banjir

PM Malaysia yakin jumlah itu mencukupi, dan berjanji akan menambahnya jika perlu.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2022.10.25
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
PRU15: Hampir 70,000 anggota keselamatan dan penyelamat dikerahkan tangani kecemasan banjir Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Ketua Polis Negara Acryl Sani (kiri) dan Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain (kanan) semasa sidang media selepas lawatan ke Ibupejabat Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman di Kuala Lumpur, 25 Oktober, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Putrajaya akan mengerahkan hampir 70,000 anggota keselamatan dan penyelamat untuk menangani kecemasan banjir, kata Perdana Menteri Malaysia pada Selasa, ketika beliau berdepan dengan kritikan mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan iaitu semasa musim tengkujuh.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mempertahankan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mengadakan pilihan raya nasional itu pada hari Sabtu, sambil mengatakan bahawa beberapa negeri bekerja pada Jumaat dan Isnin, sekaligus membolehkan setiap rakyat yang layak untuk keluar mengundi.

“Kunjungan saya ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini adalah untuk mendapatkan taklimat mengenai persediaan pasukan polis untuk menghadapi musim banjir dan juga persediaan untuk penugasan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang.

"Bagi persediaan menghadapi bencana banjir, jumlah petugas adalah seramai 21,018 anggota polis, 18,511 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 14,829 Jabatan Bomba dan Penyelamat, 10,510 Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 4,367 Jabatan Sukarelawan (Rela).

“Sekiranya tidak mencukupi, jumlah berkenaan akan ditambah,” kata Ismail Sabri dalam satu sidang media yang diadakan selepas sesi taklimat khas PRU15 dan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Selain tenaga kerja, beliau memaklumkan bahawa polis turut menyediakan persiapan logistik bagi operasi semasa banjir termasuk sebanyak 1,816 bot polis, 1,810 kenderaan pacuan empat roda, 1,596 lori dan 19 aset udara.

Tambah Perdana Menteri itu, bilangan tersebut adalah mencukupi untuk membantu negara menghadapi kemungkinan banjir sewaktu musim monsun timur laut hujung tahun ini.

“Kalau kita lihat monsun [timur laut] ini mungkin berlaku di Pahang atau Kelantan dan Terengganu, walaupun kadang-kadang berlaku di barat seperti Selangor, tetapi ia tidaklah berlaku serentak di seluruh Malaysia. Kita harap tidaklah [berlaku banjir besar] seperti biasa.

“Kalau banjir berlaku di kawasan dan negeri-negeri tertentu, anggota yang digerakkan kali ini mencukupi untuk menjaga kepentingan rakyat, terutamanya yang terlibat pada waktu banjir,” kata Ismail Sabri.

Pada tahun lalu, Polis DiRaja Malaysia telah menggerakkan 23,090 pegawai dan anggotanya di seluruh negara dalam membantu menangani bencana banjir pada bulan Disember, menurut Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani seperti dipetik media tempatan pada 18 Disember 2021.

Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 19 Nov depan untuk rakyat Malaysia mengundi bagi Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-15, yang diadakan ekoran pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Pilihan raya kali ini diadakan lebih awal daripada tempoh akhirnya pada September 2023, dan diadakan ketika Malaysia memasuki musim tengkujuh yang kebiasaannya bermula pada November dan menyaksikan insiden banjir di beberapa negeri.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam sidang media itu turut memuji keputusan SPR yang memilih tarikh 19 November sebagai hari mengundi, dan menemplak para pengkritik yang menuduh bahawa kerajaan akan memilih hari bekerja sebagai hari pengundian bagi mengurangkan bilangan pengundi yang keluar untuk memilih.

Kata beliau, tarikh berkenaan yang jatuh pada Sabtu dipilih kerana Kerajaan mahukan rakyat yang layak mengundi keluar beramai-ramai bagi menunaikan kewajipan dan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Ramai yang tuduh Kerajaan hendak buat [muslihat] konon-kononnya supaya rakyat perlu balik mengundi pada hari bekerja. Ia tidak betul. Kita sudah tetapkan mengundi pada Sabtu dan kita bagi kebebasan sepenuhnya kepada rakyat untuk mengundi, jadi itu hak yang dijamin oleh Perlembagaan.”

Ismail Sabri turut mempertahankan keputusan mengadakan pilihan raya pada hari Sabtu kerana terdapat beberapa negeri di Malaysia yang bekerja pada Ahad.

Banjir pada tahun lalu yang semasa musim monsun telah menyebabkan sekurang-kurangnya 50 kematian serta mengakibatkan kerugian lebih RM6 bilion (AS$1.3 bilion). Bencana tersebut telah melanda 10 negeri dan Wilayah Persekutuan, dengan 60 daerah turut terjejas.

SPR perlu umum SOP

Badan pemerhati pilihan raya utama, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 20 Oktober mengeluarkan kenyataan bahawa SPR masih belum mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi, dan menggesa pihak berkuasa itu supaya melakukannya segera.

"SPR masih lagi belum mengumumkan apakah SOP yang akan digunakan sekiranya tempoh pilihan raya seperti hari undi awal dan hari pembuangan undi biasa berlaku banjir besar pada ketika itu. SPR perlu segera mengumumkan SOP tersebut agar semua pihak terutamanya parti politik, calon dan agensi-agensi yang bertanggungjawab boleh membuat persediaan bagi menghadapi bencana banjir," kata Bersih.

Bersih memberikan contoh banjir kilat yang melanda Pulau Langkawi di Kedah pada 16 Oktober lalu yang telah menjejaskan 30 kawasan penduduk, dengan 38,118 pengundi terkesan dan satu lagi kejadian pada minggu lalu yang menyaksikan 60 rumah di tujuh kampung di Besut, Terengganu turut terjejas akibat banjir.

“Sekiranya bencana yang sama terjadi, apakah SOP untuk meneruskan atau menangguhkan pilihan raya di daerah mengundi tersebut, atau lebih parah penangguhan PRU15 di peringkat nasional,” kata badan itu.

Senada dengan Bersih, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisyah Abd. Aziz berkata SPR perlu menyediakan SOP secepat mungkin sebagai langkah menghadapi pilihanraya sewaktu musim banjir.

“MUDA sudah tentu akan berkempen habis habisan. Tetapi jika berlaku banjir sewaktu hari pengundian, MUDA akan fokus untuk bantu mangsa banjir.

“Adakah pengundi diberi masa lebih untuk mengundi [jika banjir]? Ataupun pihak SPR ada pelan jika Pusat Daerah Mengundi (PDM) terlibat dengan banjir? Kalau kita tengok sekarang ni pun banyak kawasan dah naik air,” soal Pengarah Pilihan raya MUDA itu dalam satu kenyataan Khamis lalu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.