Mahathir dakwa Anwar-Zahid ada pakatan sulit bebaskan kes mahkamah

Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2022.11.07
Kuala Lumpur
Mahathir dakwa Anwar-Zahid ada pakatan sulit bebaskan kes mahkamah Bekas Perdana Menteri Malaysia yang juga pengasas blok gabungan Gerakan Tanah Air, Mahathir Mohamad bercakap kepada media di luar pusat penamaan calon di Langkawi, Kedah, 5 November 2022.
[Arif Kartono/AFP]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mendakwa bahawa pemimpin dua parti lawan Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim mempunyai rancangan rahsia untuk membuat pakatan kerjasama politik bagi menubuhkan sebuah kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November ini.

Anwar, yang merupakan Ketua Pembangkang dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), bagaimanapun menolak dakwaan yang beliau sedia bekerjasama dengan Zahid dari parti UMNO sebagai balasan dinaikkan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Bercakap kepada pemberita pada Ahad, Mahathir, yang mengetuai gabungan politik dipanggil Gerakan Tanah Air (GTA) dalam PRU15, berkata Anwar mempunyai keinginan untuk menjadi Perdana Menteri dan telah mengadakan perbincangan dengan Zahid bagi merealisasikan cita-citanya itu.

"Seperti yang diketahui, Anwar Ibrahim ingin jadi Perdana Menteri… dan kita dapat maklumat bahawa Anwar sudah berbincang dengan Zahid Hamidi, pemimpin Barisan Nasional supaya mereka bekerjasama antara mereka, maka Anwar akan jadi perdana menteri," dakwa Mahathir dalam satu majlis di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau turut mendakwa bahawa Anwar akan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memberikan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah, sekiranya ketua pembangkang itu berjaya menjadi perdana menteri dengan bantuan UMNO.

Tambah Mahathir, Anwar juga akan berusaha untuk mengugurkan kes mahkamah yang sedang berjalan terhadap Zahid dan beberapa pemimpin Barisan Nasional.

"Sebab itu, Zahid rela memberi tempat kepada Anwar dengan syarat Anwar membebaskan dirinya. Inilah sebabnya yang kita tidak boleh sokong Pakatan Harapan kerana mereka bekerjasama untuk menyelamatkan Zahid dan juga Najib," kata pengerusi GTA itu.

PRU15 menyaksikan pertembungan antara empat gabungan parti politik iaitu BN pimpinan Zahid, PH pimpinan Anwar, Perikatan Nasional(PN) pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, dan GTA pimpinan Mahathir.

Kesemua gabungan tersebut berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi parlimen bagi membolehkan mereka membentuk majoriti dan menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya.

Parlimen Malaysia mempunyai sejumlah 222 kerusi dan berdasarkan sistem pengundian 'first past the post' diamalkan negara itu, mana-mana ahli Parlimen yang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 yang lain boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Tunjuk bukti

Anwar dalam respon balas terhadap dakwaan tersebut telah menempelak Mahathir, dan berseloroh bahawa pemimpin GTA itu memang tidak mahu dirinya menjadi seorang perdana menteri.

Beliau turut mencabar Mahathir dan pemimpin politik lain yang membuat tuduhan serupa supaya menunjukkan bukti bahawa dirinya telah berpakat dengan Zahid.

"Yang mula cerita kita berpakat dengan Zahid dari UMNO ini adalah Muhyiddin dan Hadi Awang…

"Bila yang saya hendak berpakat dengan Zahid? Mana buktinya?" kata Anwar, merujuk kepada pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan presiden Parti Se-Islam Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang.

Tambah Anwar, beliau memahami bahawa Mahathir sememangnya seorang yang tidak akan menyokong Pakatan Harapan, dan berseloroh bahawa ahli politik veteran itu "akan demam" sekiranya Anwar menjadi perdana menteri.

Presiden UMNO Zahid Hamidi pula mengenepikan kenyataan Mahathir itu sebagai satu spekulasi yang dibuat untuk memesongkan isu mengenai GTA yang dijangka akan kalah dalam PRU15.

"...Beliau melakukan telahan sedemikian kerana beliau khuatir partinya itu mengalami kekalahan yang teruk.

“Ini terbukti apabila partinya meletakkan calon-calon di semua kerusi pilihan raya di Johor, semuanya kalah dan hilang deposit, jadi beliau tidak boleh menganggap kepopularitiannya itu masih berada di tahap ketika memerintah Malaysia selama 22 bulan," kata Zahid.

Mahathir merupakan calon pilihan raya tertua di Malaysia pada umur 97 tahun, di mana bekas perdana menteri itu akan bertanding bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi beliau di Langkawi, Kedah pada 2018, kali ini sehingga membolehkannya dilantik menjadi perdana menteri buat kali kedua pada umur 93 tahun dengan kerjasama bersama PH.

Kali pertama Mahathir menjadi perdana menteri adalah dari tahun 1981 sehingga 2003.

Modal keliru pengundi

Sementara itu, seorang penganalisis politik percaya kenyataan Mahathir mengenai pakatan di antara Anwar dan Zahid itu hanyalah satu usaha untuk mengelirukan orang ramai.

"Ini adalah satu lagi kenyataan yang dibuat dengan tujuan mengelirukan orang ramai. Saya tidak percaya Barisan Nasional mempunyai kerjasama dengan Pakatan Harapan. Berdasarkan apa yang berlaku di lapangan, saya tidak melihat sebarang indikasi seperti apa yang didakwa beliau (Mahathir)," kata Jeniri Amir, felo kanan Majlis Profesor Malaysia kepada BenarNews.

Beliau juga percaya bahawa Mahathir membuat dakwaan sedemikian kerana khuatir GTA dan parti Pejuang pimpinan bekas perdana menteri itu akan kalah teruk dalam PRU15.

Tambah Jeniri, selagi Parti Tindakan Demokratik(DAP) masih sebahagian daripada gabungannya, ia adalah sesuatu yang mustahil untuk PH bekerjasama dengan musuh politik Barisan Nasional.

"Akan tetapi, apa saja boleh berlaku selepas keputusan PRU15 keluar. Apa sahaja mungkin berlaku, contohnya pakatan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, tetapi ini akan berlaku tanpa DAP kerana UMNO yang berada di dalam Barisan Nasional tidak mahu bekerjasama dengan DAP."

Sentimen serupa turut disuarakan oleh penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi.

"Saya kira akar umbi PH, DAP ataupun kelompok dalam parti PKR sendiri akan menolak keputusan itu. Tetapi sudah pasti selepas PRU15 landskap politik akan berbeza, lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya sudah diumumkan dan selepas itu sentimen yang penting ialah bagaimana parti yang mempunyai majoriti boleh membentuk kerajaan," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Awang Azman, kemungkinan terjadinya kerjasama itu bagaimanapun tidak bermakna Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan memberikan ruang kepada satu sama lain untuk menang dalam PRU15.

Sebaliknya, kata beliau, kedua-dua gabungan tersebut akan berusaha untuk mendapat kemenangan besar bagi memastikan mereka tidak perlu bekerjasama untuk membentuk kerajaan.

"Yang di-Pertuan Agong mahukan satu kerajaan yang stabil, mahukan sebuah pembentukkan kerajaan yang tidak lagi dalam masa 4-5 tahun itu ada dua tiga orang Perdana Menteri pada tempoh tersebut.

"Mahu tidak mahu mereka perlu bergerak ke hadapan dan menumpukan ke arah pembangunan negara dan meneruskan pembentukkan kabinet yang baru dan melupakan permusuhan politik yang lalu yang pernah sperti berlaku di negara Indonesia," kata Awang Azman.

Ismail Sabri calon PM

Dalam perkembangan lain Zahid pada Isnin berkata naib presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob, yang kini merupakan perdana menteri sementara, masih kekal sebagai 'poster boy' BN dan satu-satunya calon mereka untuk menjawat jawatan PM sekiranya mereka menang PRU15.

Bagaimanapun, tambah Zahid, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam memilih Perdana Menteri juga harus dihormati.

"Saya bukannya perdana menteri pada hari ini, walaupun saya adalah presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional. Jadi dalam situasi ini, kita telah diketuai seorang perdana menteri dari UMNO.

"Isu ini tidak perlu dibincangkan sekarang kerana proses memilih perdana menteri bukan sahaja terletak di tangan mana-mana parti politik tetapi juga pada Yang di-Pertuan Agong.

"Kita mesti menghormati budi bicara Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata beliau seperti dipetik akhbar tempatan.

Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai dirinya menjadi presiden UMNO pertama yang tidak menjadi Perdana Menteri.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.