PRU15: Agensi Bencana Negara keluar amaran risiko banjir di tujuh buah negeri

Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2022.11.08
Kuala Lumpur
PRU15: Agensi Bencana Negara keluar amaran risiko banjir di tujuh buah negeri Mangsa banjir keluar dari rumah untuk ke tempat yang lebih selamat di Hulu Langat, Selangor, 19 Disember 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sehari selepas Malaysia mula dilanda musim tengkujuh, agensi pengurusan bencana negara itu pada Selasa mengeluarkan amaran mengenai risiko banjir kilat disebabkan hujan lebat dan ribut petir di tujuh buah negeri bagi tempoh 24 jam yang akan datang.

Beberapa pemerhati politik menyatakan bahawa hujan lebat berkemungkinan akan memberikan kesan terhadap bilangan pengundi yang akan keluar mengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada minggu depan, dengan dua orang pengundi memberitahu BenarNews bahawa mereka mungkin tidak akan keluar meninggalkan kediaman masing-masing pada hari pengundian sekiranya kawasan mereka dilanda banjir.

Pakar kesihatan juga turut mengeluarkan amaran mengenai penyakit berjangkit bawaan air dan menasihatkan orang ramai supaya tidak pergi ke pusat pengundian sekiranya mereka berada di kawasan yang dilanda banjir.

"Berdasarkan maklumat ramalan hujan dari model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern Asia Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS), terdapat risiko berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat/ribut petir yang signifikan," kata kenyataan dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada petang Selasa.

Kenyataan itu menyenaraikan lokasi di enam buah negeri iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Johor dan Sarawak, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada 3 November lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia yang bertanggungjawab membuat ramalan cuaca mengeluarkan kenyataan bahawa musim Monsun Timur Laut akan tiba lebih awal iaitu pada 7 November dan dijangka berlarutan sehingga bulan Mac 2023.

Jabatan berkenaan turut memberikan amaran bahawa banjir akan berlaku sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.

Ketibaan musim tengkujuh itu dikhuatiri akan memberikan impak kepada PRU15, terutamanya jika banjir melanda semasa berlangsungnya hari pengundian pada 19 November ini.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata sekiranya perkara itu berlaku, kadar pengundi yang akan keluar mengundi dijangka akan menurun daripada yang sepatutnya.

"Ya, ia akan memberikan kesan terhadap kadar pengundi yang keluar dan ini akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) kerana parti itu mampu memastikan para penyokongnya untuk tetap keluar beramai-ramai membuang undi. Ini kerana mereka mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian," kata Oh kepada BenarNews.

"Saya rasa sekiranya banjir berlaku, hanya sekitar 60 ke 65 peratus pengundi akan keluar mengundi dalam PRU15," tambahnya.

Kesan kepada pengundi

Moy Foong Ming, seorang profesor epidemiologi dan kesihatan awam di Universiti Malaya, memberitahu BenarNews bahawa orang ramai perlu lebih berhati-hati sekiranya banjir melanda kerana mereka berisiko dijangkiti pelbagai jenis penyakit berjangkit seperti cholera, cirit-birit, dan hepatitis, serta masalah seperti penyakit kulit dan jangkitan mata disebabkan kekurangan air bersih untuk membersihkan diri.

"Sekiranya jalan menuju ke pusat mengundi dinaiki air banjir, pengundi patut berpatah balik dan jangan cuba meredah air samada dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan.

"Kebanyakan kes lemas terjadi ketika banjir kilat, manakala kenderaan juga boleh dihanyutkan banjir," tambah beliau ketika ditanya apakah perlu dilakukan pengundi sekiranya ingin keluar mengundi ketika banjir.

Pakar meteorologi dari Universiti Malaya, Azizan Abu Samah berkata tindakan yang boleh diambil pihak berkuasa dalam menghadapi risiko banjir semasa hari pengundian adalah dengan membuat pemerhatian teliti terhadap cuaca dan cuba mengeluarkan ramalan sekiranya akan berlaku banjir dalam tempoh dua ke tiga hari sebelum 19 November.

"Kita perlu memerhati corak perubahan cuaca dengan teliti dan berharap semoga tidak berlaku banjir seperti yang terjadi pada 2014 dan 2021.

"Jabatan Meteorologi perlu peka terhadap radar dan perkiraan ramalannya manakala Jabatan Pengairan dan Saliran perlu memantau sungai dan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi bagi meramalkan banjir dalam tempoh satu ke dua hari sebelum 19 Nov.

"Itu sahaja cara yang boleh dilakukan, kerana ramalan tidak boleh dibuat lebih daripada dua ke tiga hari kerana ketepatannya akan jatuh dan tidak berguna untuk tindakan Agensi Pengurusan Bencana."

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad dilaporkan berkata bahawa satu mesyuarat akan diadakan dengan semua agensi yang berkaitan sekiranya berlaku kejadian banjir di luar jangkaan.

Ia termasuk berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mencari alternatif lain.

"Kita bersedia tetapi kalau berlaku banjir yang besar, sehinggakan tak membolehkan orang nak keluar (mengundi) sebagainya, maka saya akan berbincang dengan pihak SPR kalau ada alternatif lain," katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Belum putuskan

Sementara itu, seorang pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Norliza dari Kampung Chemperai di Dengkil, Selangor memberitahu BenarNews bahawa dia masih belum memutuskan sama ada akan keluar mengundi sekiranya rumahnya turut dilanda banjir tahun ini.

"Saya tak pasti sama ada akan keluar mengundi atau tidak. Saya rasa mungkin tidak dapat mengundi sekiranya saya terlalu sibuk membersihkan rumah atau terpaksa dipindahkan kerana banjir," kata wanita itu, yang rumahnya dilanda banjir teruk tahun lalu.

De Nur Dini dari Klang, Selangor pula berkata beliau akan tetap keluar mengundi walaupun ketika banjir, namun mengkritik kerajaan kerana mengadakan Pilihan Raya Umum semasa musim tengkujuh.

"Ya saya akan tetap keluar untuk mengundi walaupun berlaku banjir. Saya berasakan bahawa kerajaan hanya mementingkan pilihan raya berbanding rakyat.

“Rakyat terus dihimpit kesusahan dan selalunya kami sesama sendiri yang membantu satu sama lain dan bukannya mereka," kata wanita berusia 22 tahun itu.

Sementara itu, kumpulan pemerhati pilihanraya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa pihak berkuasa supaya mengeluarkan garis panduan kepada pengundi untuk situasi banjir.

Dalam satu kenyataan pada 19 Oktober lepas, kumpulan itu meminta Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengeluarkan pelan kontingensi untuk mengelak halangan pengundian akibat bencana banjir.

"SOP yang dihasilkan oleh SPR dengan libat urus oleh NADMA perlu mempunyai perkara berikut:

Apakah langkah pemulihan yang akan diambil – pemanjangan tempoh pengundian? Pengangkutan pengundi dengan bot di kawasan kurang terjejas ke pusat pengundian? Peti undi bergerak dalam pusat pemindahan banjir bagi memindahkan mangsa banjir? Penangguhan pilihan raya?

"Apakah garis merah untuk mempercepatkan pemulihan – Berapakah peratusan pengundi terjejas (atau turun mengundi rendah) untuk menjustifikasi pemanjangan tempoh pengundian? Berapa peratus pengundi atau berapa banyak daerah pengundian terjejas untuk menangguhkan pilihan raya di kawasan tersebut? Berapa peratus kawasan terjejas untuk menangguhkan PRU15 di seluruh negara.

Fitri Hazim di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.