Rusuhan cemarkan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15

Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2022.11.05
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Rusuhan cemarkan hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 Pihak berkuasa Malaysia membuat kawalan keselamatan semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 di Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen Batu, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama di Kuala Lumpur, 5 November, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dicemari rusuhan di Tenom, Sabah apabila borang penamaan calon Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Peter Anthony ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana dikatakan masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai demikian menurut pihak berkuasa negeri itu pada Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah berkata Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga terpaksa dikerahkan ke lokasi berikutan kejadian rusuhan yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari itu.

“Rusuhan 300 penyokong Peter Anthony berpunca apabila pihak Pilihan raya menolak borang pencalonan untuk bertanding di kerusi Tenom dengan alasan masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

“Akibat tidak berpuas hati, penyokong beliau (Peter Anthony) telah cuba merempuh dan masuk ke dalam dewan. Pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota FRU, tugas am dan dibantu oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Pertahanan Awam telah bertindak untuk menyuraikan penyokong-penyokong dari memasuki dewan,” kata Idris pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom.

Tambah Idris, sejurus rusuhan itu Peter Anthony telah keluar dari dewan dan telah meminta para penyokongnya untuk menerima keputusan pihak SPR dan keadaan keselamatan di pusat penamaan calon telah terkawal dan pihak penyokong telah beredar meninggalkan dewan.

Setakat ini, tiada tangkapan yang dilakukan dan pasukan keselamatan dipercayai terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan rusuhan.

Kes mahkamah

Peter yang juga merupakan bekas naib presiden Parti Warisan Sabah berkata pihak SPR pusat telah menolak pencalonan beliau dengan alasan tidak layak bertanding kerana kes mahkamah yang dihadapinya baru-baru ini, walaupun menurutnya, ia tidak munasabah kerana sabitan ke atasnya sudahpun digantung.

"Oleh kerana dalam penghakiman Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini, sabitan itu sudah digantung, bererti saya tiada apa-apa kesalahan," katanya pada pihak media di Tenom.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 Ogos lalu membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah untuk menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Peter yang kecewa dengan keputusan itu berkata rusuhan boleh dielakkan jika pihak SPR tidak berlengah dalam memaklumkan mereka.

Katanya, semua proses penamaan calon sudah selesai dan hanya menunggu pengumuman rasmi di hadapan penyokong sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya memaklumkan pencalonannya ditolak.

“Tiada isu di bahagian pegawai pengurus daerah Tenom dan pengarah SPR negeri Sabah. Semua prosedur telah kita patuhi dan laksanakan, termasuk bayaran RM15,000(AS$3,159) telah kita bayar. Mereka telah periksa semua dokumen kita berikan, setelah itu mereka maklumkan ianya lengkap dan teratur dan saya dibenarkan untuk membuat cabutan nombor calon.

“Selepas itu kami diminta turun ke bawah untuk pengumuman seterusnya di luar dewan tetapi malangnya ketika hendak keluar ke dewan,” jelas Peter.

Beliau berkata, ketika itu barulah beliau dimaklumkan mengenai bantahan terhadap kertas pencalonannya dari SPR pusat.

Peter berkata, beliau kemudiannya mempersoalkan kewajaran bantahan itu memandangkan tempoh bantahan sudah tamat dan proses pencalonan juga sudah selesai.

"Kita memaklumkan masa tambahan atau masa bantahan dari jam 9 pagi ke 10 pagi sudah habis. Pihak SPR atau Pegawai Pengurus Pilihan Raya juga sudah menerima semua dokumen tanpa bantahan dan pengiraan, cabutan nombor sudah dilakukan,” kata Peter lagi.

Berikutan penolakan itu, Peter pada petang Sabtu memfailkan satu laporan polis ke atas SPR. Beliau juga akan memohon semakan kes di mahkamah pada Isnin.

NOMINATION_DAY_GE15_BENARNEWS_01.jpg

Calon-calon yang akan bertanding di Parlimen Batu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 seramai 10 orang kesemuanya bersama dengan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia selepas menyerahkan borang pencalonan, di Kuala Lumpur, 5 November, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pilihanraya kali ini memperlihatkan seramai 945 calon bertanding di 222 kerusi Parlimen seluruh Malaysia.

Blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) mempunyai jumlah calon yang paling ramai iaitu 206 orang yang akan bertanding diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 178 calon dan Perikatan Nasional(PN) dengan 149 calon.

Dalam PRU kali ini, kerusi Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memperlihatkan pertarungan 10 penjuru, jumlah penamaan calon paling ramai antara keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Bagi kerusi panas Bagan Datuk memperlihatkan presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi bertanding mempertahankan kerusi parlimen yang disandangnya, manakala di Tambun juga di Perak memperlihatkan pertandingan empat penjuru di antara presiden PH Anwar Ibrahim dan naib presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu bersama calon BN dan Perjuang.

Di Pagoh, daerah di negeri Johor yang juga dikatakan kerusi panas mempertandingkan tiga calon daripada gabungan Barisan Nasional, Perikatan Nasional yang diwakili presidennya Muhyiddin Yassin dan Pakatan Harapan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.