Penganalisis: Keputusan PRU bukti etnik di Malaysia kini lebih terpolarisasi

Kejayaan blok nasionalis Melayu baharu Perikatan Nasional dan parti komponennya PAS yang jauh lebih baik berbanding jangkaan adalah petanda.
Iman Muttaqin Yusof
2022.11.29
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Penganalisis: Keputusan PRU bukti etnik di Malaysia kini lebih terpolarisasi Pengundi Perikatan Nasional menunggu di luar Pusat Penamaan calon Batu di Sentul, Kuala Lumpur, 5 Nov, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pilihan raya umum Malaysia yang berakhir baru-baru ini membuktikan bahawa etnik di negara itu lebih terpolarisasi berbanding sebelum ini, kata penganalisis merujuk kepada pencapaian menakjubkan blok nasionalis Melayu baharu, Perikatan Nasional.

Perikatan Nasional pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang turut disertai oleh parti Islam fundamentalis PAS, telah berkempen menggunakan isu perkauman, termasuk ucapan yang didakwa boleh menyebabkan berlaku perpecahan, bagi memenangi undi sebahagian besar etnik Melayu di tengah-tengah penularan berleluasa video berunsur kebencian yang tidak diketahui pemiliknya, kata penganalisis.

Azmil Mohd Tayeb, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, berkata beliau percaya landskap sosiopolitik Malaysia sudah lama matang untuk fahaman ekstremis sayap kanan berakar umbi dan berkembang sehingga menyebabkan pengundi konservatif muda Melayu memilih Perikatan.

“Pilihan raya ini menunjukkan betapa terpolarisasinya negara terutama di antara Melayu dan bukan Melayu dan bagaimana pengundi khususnya Melayu tidak progresif seperti yang disangka oleh pelbagai pihak kerana mereka lebih menyokong Perikatan,” kata Azmil kepada BenarNews.

Keputusan Pilihan Raya Umum pada 19 Nov lepas telah menyaksikan Malaysia, sebuah negara berbilang bangsa dan agama, berdepan keadaan Parlimen tergantung kerana tiada parti atau gabungan politik yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kerusi Parlimen terbanyak iaitu 82 dimenangi blok Pakatan Harapan yang berbilang kaum pimpinan Anwar Ibrahim diikuti rapat oleh Perikatan yang memperoleh 73 kerusi. Barisan Nasional, yang sebelum ini merupakan penyandang kerusi Parlimen terbanyak dan diterajui UMNO serta berteraskan Melayu, kalah teruk apabila hanya mendapat 30 kerusi.

Ketika parti serta gabungan politik lain bimbang untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan atau Perikatan sehingga keadaan menjadi buntu selama empat hari, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengambil alih dan menamakan Anwar sebagai pemimpin 'kerajaan perpaduan' Malaysia yang baharu.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis, Anwar berkata beliau mewakili semua rakyat Malaysia namun "hak Melayu akan terus menjadi teras manakala hak bangsa dan agama lain akan kekal dilindungi."

Perikatan, yang sebahagian besarnya merangkumi parti Bersatu pimpinan Muhyiddin dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sudah dijangka mampu meraih sokongan Melayu UMNO-Barisan, kata penganalisis sebelum pilihan raya.

"Tetapi bukanlah sampai begitu sekali," kata Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia kepada BenarNews, merujuk kepada 70 lebih kerusi yang ditawan oleh Perikatan.

Berbekalkan slogan 'Bersih dan Stabil,' Perikatan berjaya menembusi kawasan Melayu di mana UMNO, yang tercemar oleh rasuah, memiliki kelebihan sebelum ini.

Pemerhati politik pula berkata etnik Melayu yang kecewa dengan dakwaan rasuah terhadap Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Ahmad Zahid Hamidi dan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes berkaitan 1MDB, telah beralih kepada Perikatan.

Pertikaian dalaman UMNO, yang sekian lama menjadi benteng pengundi Melayu, turut menyebabkan golongan ini memihak kepada blok baharu itu, kata Welsh.

‘Naratif tidak bertoleransi dan berasaskan kebencian’

Satu lagi punca kejayaan Perikatan ialah blok itu menggunakan retorik berasaskan kaum dalam mencari kelebihan walaupun ia bukan satu-satunya gabungan politik yang berbuat demikian, menurut penganalisis.

“[Menggunakan][sentimen] kaum sebagai naratif dilakukan oleh kedua-dua pihak khususnya DAP, PAS dan Perikatan. Bagaimanapun, saya berpendapat PAS dan Perikatan menggunakan ia sebagai antara strategi teras mereka,” kata Welsh.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah parti komponen Pakatan Harapan pimpinan Anwar dan hampir kesemua ahlinya berbangsa Cina. Sesetengah pihak di negara yang majoriti penduduknya adalah Melayu itu tidak mempercayai DAP yang dianggap mendahulukan kepentingan etnik Cina di Malaysia sehingga merugikan orang Melayu.

"Kita nampak tindakan memburuk-burukkan DAP dilakukan berulang kali yang bermula sebelum dan khususnya selepas 2019. Dan itu adalah proksi untuk memburuk-burukkan orang Cina... Terdapat juga insiden yang menyaksikan Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan mengenai agama Kristian dan orang Yahudi di akhir kempen,” tambah Welsh.

Beberapa hari menjelang pilihan raya, media tempatan melaporkan Muhyiddin menuduh Pakatan sebagai memperjuangkan agenda Kristianisasi untuk Malaysia. Muhyiddin kemudian mendakwa kata-kata beliau itu telah dipetik di luar konteks semasa mengulas video yang pernah dilihatnya.

Satu video yang tular pula memaparkan seorang pemimpin PAS didakwa mengatakan bahawa mereka yang mengundi Pakatan akan masuk neraka.

Tunku Mohar Mokhtar, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pula melontarkan kritikan keras terhadap Muhyiddin ketika penganalisis politik itu bercakap kepada BenarNews sebelum pilihan raya berlangsung.

"Beliau seorang yang berhaluan kanan dan tidak akan bertolak ansur dengan kumpulan etnik lain," kata Tunku Mohar.

Tinjauan baru-baru ini turut menyaksikan penggunaan meluas media sosial untuk menyebarkan ucapan kebencian manakala golongan muda dilihat mengetengahkan retorik fahaman sayap kanan yang ekstremis. Asal usul video ini tidak diketahui.

Menurut inisiatif kewartawanan yang bukan berasaskan keuntungan tempatan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah “antara penguat utama naratif yang memecahbelahkan, bersikap perkauman, enggan bertolak ansur dan berasaskan kebencian,” lapor akhbar Malay Mail pada 17 Nov.

Inisiatif pemantauan media sosial yang dijalankan oleh Pusat Kewartawanan Bebas berkata Abdul Hadi dan PAS telah menuduh pesaing politiknya DAP sebagai komunis dengan mendakwa bahawa mereka adalah ateisme dan "mempromosi" LGBTQ.

Munira Mustaffa, pengarah eksekutif Kumpulan Chasseur, perunding pakar dalam cabaran keselamatan, berkata pengundi di Malaysia semakin berani meluahkan pandangan mereka yang boleh disifatkan sebagai melampau.

“Isu dan rungutan yang diketengahkan semasa kempen pilihan raya bukanlah sesuatu yang baharu. Kali ini, bagaimanapun, hak reaksioner menjadi lebih berani,” katanya kepada BenarNews.

"Kita hanya menyedarinya sekarang kerana pemain politik semakin mahir dalam memanfaatkan teknologi dan media sosial untuk meningkatkan laluan kempen serta mesej politik mereka."

PAS meninggalkan kesan

Ciri menarik kejayaan Perikatan ialah jumlah kerusi yang mampu dimenangi oleh PAS, ketika bertanding menggunakan logo sendiri mahupun di bawah Perikatan. Meskipun jangkaan sedikit meleset namun PAS berkata ia memenangi 49 kerusi iaitu jumlah terbanyak yang dimenangi oleh sebuah parti semasa PRU15.

Menurut kedua-dua penganalisis, kemenangan besar PAS adalah disebabkan oleh pakatannya dengan Perikatan yang lebih teratur serta strategik, dan bukan kerana sokongan terhadap agenda lebih konservatif.

"Seseorang tidak boleh menyamakan ini [memenangi lebih banyak kerusi] dengan menyokong agenda konservatif PAS secara besar-besaran," kata Welsh.

“Ramai pengundi Perikatan tidak tahu PAS adalah sebahagian daripada Perikatan. Kebanyakan kerusi dimenangi susulan peletakan calon di tempat yang strategik dan kita perlu mengakui sumber besar yang dimiliki Perikatan dalam kempennya.”

Bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang percaya pilihan raya kali ini menandakan kebangkitan PAS.

Menulis di ruang komentar BenarNews, penganalisis Zachary Abuza berkata PAS telah beralih daripada sebuah parti yang hanya memiliki kuasa dan pengaruh di luar bandar serta kawasan konservatif di timur laut Semenanjung kepada sebuah parti nasional.

“Ia mewakili satu aliran dalam politik Melayu dan merupakan bukti peningkatan kesalihan kepada agama dan sikap tidak bertoleransi di negara itu,” kata Abuza, seorang profesor di National War College dan juga profesor adjung di Georgetown University di Washington.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.