Penganalisis: Sabah, Sarawak bakal jadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Malaysia

Sebelum ini, kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo itu sentiasa menyokong Barisan Nasional namun kini tidak lagi.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Iman Muttaqin Yusof
2022.11.11
Kuala Lumpur
Penganalisis: Sabah, Sarawak bakal jadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Malaysia Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengibarkan bendera selepas berjaya mencatatkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak di Kuching, Malaysia, 18 Dis 2021.
[Abdul Hakim/AFP]

Peranan Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih signifikan dalam Pilihan Raya Umum Malaysia yang berlangsung minggu depan kerana kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo itu tidak lagi dilihat sebagai penyokong automatik Barisan Nasional (BN), gabungan parti tertua di negara berkenaan.

Menurut penganalisis, memandangkan Sabah dan Sarawak memegang kira-kira suku daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen, mana-mana gabungan yang mendapat sokongan kedua-dua negeri bakal membentuk kerajaan.

"Saya tidak akan menggunakan perkataan 'mungkin'. Ia sebenarnya lebih kepada sesuatu yang 'pasti'. Dengan hanya 165 kerusi di Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia), sudah tentu Sabah dan Sarawak akan menjadi 'kingmakers' (penentu)," kata Lau Zhe Wei, seorang profesor sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen manakala Sabah pula sebanyak 25 kerusi. Mana-mana parti atau gabungan politik memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Lau berkata gabungan politik hanya perlu menang antara 80 hingga 90 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dan membentuk kerjasama dengan parti di Sabah dan Sarawak contohnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan persekutuan.

Di Sabah, BN yang diterajui UMNO dan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, telah memiliki kerjasama sendiri manakala Warisan bergerak sendiri.

Sebelum kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2018, gabungan itu disertai parti kecil di Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, kerjasama dengan parti di Sarawak terbubar pada 2020 sebelum GPS ditubuhkan.

"Sebelum ini, parti di Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Barisan. Mereka tidak pernah terfikir untuk keluar daripada gabungan itu. Pada mereka, keluar daripada Barisan tidak membawa kebaikan kepada mereka," kata Lau.

"Tetapi selepas 2018, mereka melihat keperluan untuk bergerak sendiri tanpa perlu terikat dengan Barisan. Sebab itu, sokongan mereka adalah penting sekarang."

Jawatan Timbalan PM

Satu lagi sebab sesebuah gabungan parti di peringkat nasional memerlukan sokongan Sabah dan Sarawak adalah bagi mengelakkan situasi yang berlaku selepas pilihan raya umum 2018 berulang.

Kerajaan yang dibentuk dengan majoriti tipis selepas itu tumbang sehingga membawa kepada pergolakan politik yang menyaksikan Malaysia bertukar tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal, dengan dua daripada mereka tidak dipilih rakyat dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebuah kerajaan yang kukuh memerlukan parti tunggal atau satu gabungan politik memiliki majoriti dua pertiga, justeru sokongan GPS dan parti di Sabah adalah penting, kata Lau.

Ini adalah sebab di sebalik usaha bersungguh-sungguh BN, PN serta gabungan politik ketiga iaitu Pakatan Harapan (PH) dalam memujuk parti di Sabah dan Sarawak dengan menabur banyak janji yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

PH dan BN dalam manifesto masing-masing berjanji melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sabah atau Sarawak sekiranya mereka membentuk kerajaan. Sebelum ini, jawatan itu sentiasa diisi oleh pemimpin dari Semenanjung Malaysia.

PN pula berjanji bahawa kedua-dua negeri akan dibayar royalti petroleum secara terus selain mempercepat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Perjanjian itu, yang dikenali sebagai MA63, meletakkan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Persekutuan Malaysia sebelum itu dan mempunyai kebebasan autonomi lebih tinggi untuk mentadbir negeri masing-masing.

Sabah dan Sarawak mempunyai hak ke atas royalti minyak kerana syarikat petroleum negara Petronas membina pelantar cari gali di perairan kedua-dua negeri. Buat masa ini, hasil daripada petroleum disalurkan secara terus kepada kerajaan persekutuan.

Menurut Lau, parti atau gabungan politik seperti GPS di Sarawak lebih cenderung menyokong BN atau PN berbanding PH yang dikemudi oleh ketua pembangkang Anwar Ibrahim kerana mereka dilihat lebih mudah kerjasama.

Awang Azman Awang Pawi pula percaya GPS akan menjadi penentu dalam pilihan raya itu kerana beliau meramalkan bahawa gabungan dari Sarawak itu bakal merekodkan kemenangan besar.

"Sekiranya dalam pilihan raya 2018 mereka hanya mampu menang 19 daripada 31 kerusi ditandingi, kali ini mereka dijangka menang sekurang-kurangnya 25 daripada 31 kerusi," kata ahli akademik dari Universiti Malaya itu.

Selepas kejatuhan kerajaan PH pada 2020, Ahli Parlimen GPS telah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang diketuai Muhyiddin dan kemudian Ismail Sabri Yaakob daripada BN.

Seorang lagi penganalisis politik berkata GPS kini seolah-olah bermain permainan "tunggu dan lihat".

"Beberapa pemimpin GPS telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak mempunyai sebarang sentimen terhadap mana-mana blok politik di Semenanjung dan mereka akan menunggu. Terdapat laporan bahawa mereka akan memberikan sokongan kepada gabungan yang bakal menang sama ada Barisan atau Perikatan," kata Jayum A. Jawan, seorang profesor sains politik di Universiti Putra Malaysia, kepada BenarNews.

"Mereka secara spesifik menyatakan bahawa mereka berkemungkinan besar tidak akan bekerjasama dengan Pakatan disebabkan kewujudan DAP di sana," tambah beliau.

Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang dianggotai ramai etnik Cina, adalah sebahagian daripada PH. Sesetengah pihak turut berasa curiga dengan DAP yang dilihat sebagai parti yang mementingkan agenda kaum Cina dan membahayakan kaum Melayu, yang merupakan majoriti di Malaysia.

Awang Azman berkata GPS mendahulukan kepentingan rakyat Sarawak dan penglibatannya dalam kerajaan persekutuan telah memanfaatkan negeri itu.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.