Jutaan rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15

Dapatan dari beberapa kajian menunjukkan perebutan kerusi yang dipertandingkan agak sengit dan boleh membawa kepada berlakunya Parlimen tergantung.
Staf BenarNews
2022.11.19
Kuala Lumpur
Jutaan rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 Seorang wanita memasukkan kertas undinya semasa Pilihan Raya Umum ke-15 di Bera, Pahang, Malaysia 19 Nov. 2022.
[Lai Seng Sin/Reuters]

Jutaan rakyat Malaysia mengundi secara aman pada Sabtu dengan kebanyakkan mereka terpaksa mengharungi hujan lebat, ribut petir serta banjir untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dikatakan penganalisis agak sengit untuk diuraikan.

Pusat mengundi ditutup pada 6 petang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengatakan bahawa 70 peratus daripada mereka yang layak mengundi sudahpun menjalankan tanggungjawab setakat jam 4 petang.

Lebih daripada 21 juta rakyat Malaysia layak untuk mengundi pada pilihan raya kali ini, iaitu kenaikan lebih 42 peratus berbanding tahun 2018.

Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi tetapi pengundian yang berlangsung pada Sabtu hanya melibatkan 220 kerusi.

Pihak SPR telah menggantung pengundian di beberapa pusat mengundi bagi kerusi Baram di Sarawak kerana cuaca yang buruk.

Awal minggu ini, pihak SPR turut menangguhkan pengundian bagi satu kerusi di Kedah selepas salah seorang calon yang bertanding meninggal dunia.

Bagi Ariff Alyahya, 28, dari Kuala Lumpur, undi harus menggambarkan “kebijaksanaan dan aspirasi rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.”

“Kita harus bersama untuk menolak kegagalan sistemik, budaya rasuah, politik perkauman dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat,” katanya kepada BenarNews.

“Malaysia semakin kehilangan daya saingnya, justeru kerajaan yang kukuh dengan barisan kabinet terbaik dengan visi yang jelas amat diperlukan.”

Antara mereka yang keluar mengundi pada Sabtu adalah yang berumur antara 18 dan 20 tahun – dengan seramai 1.4 juta yang layak - setelah Malaysia menurunkan umur untuk mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Nisrina Nabihan, pelajar kolej, 18, Lembah Pantai, Kuala Lumpur pula memberitahu BenarNews, “Pertama kalinya, saya agak terkejut kerana layak mengundi pada umur 18 tahun. Saya kemudian belajar bagaimana untuk memilih wakil rakyat.”

“Ia merupakan pengalaman yang baru bagi saya dan merasakan saya mempunyai tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang akan mewakili rakyat Malaysia. Saya berharap sesiapa pun yang menang kali ini boleh memenuhi janji yang mereka telah janjikan kepada rakyat.”

221119_MY_GE15_VOTERS_COMBO.jpg

Susunan gambar menunjukkan orang ramai dengan jari berdakwat, sekaligus menandakan yang mereka telahpun mengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia di Seberang Perai, Pulau Pinang, 19 Nov. 2022. [Vincent Thian/AP]

Dalam pada itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula kelihatan lega melihat pengundi muda menjalankan tanggungjawab dan hak mereka dengan keluar mengundi.

“Saya dapat melihat ramai anak muda keluar mengundi… lebih ramai dari yang pengundi yang lain,” kata beliau kepada media.

“Hari ini harus menjadi hari terakhir dan kita mempunyai perbezaan pandangan (politik). Kita undi dan selesai. Esok kita kembali kepada kehidupan normal sebagai warganegara Malaysia sebagai keluarga yang bersatu dan aman damai.”

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang sering digelar sebagai bakal Perdana Menteri berkata beliau optimistik tetapi juga berhati-hati tentang peluang gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya.

“Saya rasa sangat didorong tetapi pilihan raya ini adalah kuasa rakyat jadi kita harus tunggu keputusannya nanti,” kata beliau kepada media.

Pilihan Raya kali ini di adakan ketika Monsun Timur Laut melanda negara dengan monsun tersebut membawa bersama hujan lebat, ribut petir dan banjir besar. Pembangkang serta mereka yang turut berada di dalam kerajaan mengkritik keputusan memilih waktu mengadakan pilihan raya.

Pada Sabtu, lapan negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kuat hampir sepanjang hari.

Stesen televisyen tempatan turut menunjukkan pengundi di sesetengah kawasan menunggu giliran dalam keadaan air naik sehingga ke paras lutut di pusat pengundian manakala di kawasan lain dilihat pengundi berteduh dari hujan di bawah pondok. Juga dapat dilihat pengguna tren turut mengharungi banjir menuju ke pusat pengundian.

Dalam satu kenyataan SPR pada Sabtu, badan itu berkata pengundian di 11 pusat mengundi di Sarawak terpaksa digantung kerana cuaca buruk dengan memberi sebab antaranya petugas tidak dapat sampai ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, air atau darat.

SPR berkata satu tarikh baharu pengundian akan diumumkan setelah keadaan kembali pulih dan selamat bagi petugas dan pengundi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka untuk memilih.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu media pada Sabtu bahawa pilihan raya kali ini secara amnya adalah aman di seluruh negara dengan pengecualian beberapa insiden kecil.

Seorang lelaki yang mempunyai sakit mental telah melakukan kekacauan di sebuah pusat mengundi di Selangor kata beliau. Acryl Sani turut berkongsi bahawa tiga individu warga emas meninggal dunia di Johor dan Kelantan.

Ketua Polis Negara itu juga turut berkata bahawa rakyat harus tenang dalam menerima apapun keputusan yang akan diketahui lewat Sabtu.

“Kami sudah membuat persedian dan sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan keselamatan dan keharmonian dalam negara.” kata Acryl Sani.

PRU ke-15 diadakan awal setahun dari tarikh sebenar.

Barisan Nasional yang bertunjangkan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah memutuskan bahawa sudah tiba masanya, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri – “untuk menunjukkan kestabilan politik dan membentuk kerajaan yang kuat, stabil dan dihormati.”

Blok Barisan Nasional pimpinan UMNO yang memerintah negara sebelum Parlimen dibubarkan pada Oktober telah mengalami kekalahan bersejarah buat pertama kalinya dalam pilihan raya umum 2018 susulan dakwaan rasuah yang berleluasa.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan yang menewaskannya tumbang pada Februari 2020 akibat pertikaian dalaman dan sejak itu, Malaysia telah dibelenggu oleh ketidakstabilan politik yang menyaksikan tiga Perdana Menteri dan kerajaan yang tidak sah dalam tempoh empat tahun

Jika dilihat dari dapatan kajian, Malaysia berkemungkinan bakal berdepan dengan Parlimen tergantung buat pertama kalinya dalam sejarah.

Beberapa kajian turut menunjukkan PH mendahului tetapi tidak mempunyai cukup kerusi untuk menang dengan majoriti mudah.

Dengan 220 kerusi yang ditawarkan, parti atau gabungan yang bertanding perlu memenangi sekurang-kurangnya 111 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.