SPRM Dakwa Dua Pegawai PTG Pahang Di Mahkamah

Hafiz Abbas
2016.01.13
160113-MY-PTGCOURT620 Dua kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan rasuah berkaitan perlombongan bauksit di negeri itu. 13 Januari 2016
BeritaBenar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mendakwa dua pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang termasuk seorang pegawai kanan di Mahkamah Sesyen Kuantan berhubung tuduhan menerima sogokan daripada orang awam sebagai balasan melindungi aktiviti perlombongan bauksit haram.

Kedua-dua pegawai berkenaan, iaitu Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) PTG, Syed Umar Khalil Syed Khalid dan Penolong Pegawai Tanah (Unit Penguatkuasaan), Fadly Ab Malek, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof di Mahkamah berkenaan.

Fadly yang berdepan dengan dua pertuduhan, didakwa menerima suapan RM30,00 daripada ejen pengusaha lombong haram antara pukul 12.20 hingga 12.40 tengahari, Rabu lalu di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan, manakala Syed Umar pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu pukul 7.35 malam pada hari dan tempat yang sama.  

Fadly turut menghadapi satu lagi tuduhan menerima suapan RM35,000 daripada seorang ejen lombong bauksit haram antara pukul 4 petang hingga 4.30 petang pada 18 November tahun lalu berhampiran Restoran Santai, Jalan Teluk Baharu, Kampung Baru Peramu di sini sebagai balasan menjual borang 13D Dokumen Pemindahaan Mineral kepada pengusaha lombong bauksit haram itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin manakala Fadly diwakili peguam Muhammad Hisham Abdul Rahim dan Syed Umar di wakili Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

‘Ikat jamin’

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua puluh tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Hakim mengarahkan kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 setiap seorang bersama seorang penjamin dan menetapkan 5 Februari depan untuk tarikh sebutan semula kes dan kedua-duanya membayar jaminan itu.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat kakitangan PTG Kuantan termasuk seorang pegawai kanan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen di Pahang.

Kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 38 tahun ditahan di sekitar bandar Kuantan pada lewat petang Rabu dan direman selama seminggu bermula Khamis lalu.

Pada Ahad lepas, SPRM memanggil enam lagi pegawai PTG Pahang termasuk seorang wanita ke pejabat agensi itu di Kuantan, untuk membantu siasatan rasuah yang melibatkan perlombongan berkenaan.

"Bagaimanapun, mereka dilepaskan apabila memberi keterangan dan pemeriksaan dilakukan di rumah dan pejabat masing-masing," kata Pengarah Siasatan SPRM Azam Baki seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh SPRM hari ini menyebut, seorang lagi yang ditahan reman pada 6 Januari lepas telah disambung tahanan remannya selama lima hari lagi.

Kegiatan perlombongan bauksit, bijih mineral yang mempunyai aluminium hidroksida di Kuantan, terutamanya di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng dipercayai bermula sejak pertengahan tahun 2014, tidak lama selepas Indonesia, iaitu pengeluar utama, mengharamkan eksport bahan mineral berkenaan pada Januari 2014.

Ia telah menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar sehingga air sungai dan laut bertukar menjadi merah dan menjejaskan kehidupan marin, selain pencemaran yang melibatkan infrastruktur dan kemudahaan awam di sekitar kawasan yang terlibat.

Pada Rabu lalu juga, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan yang kabinet akan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.

Perdana Menteri Najib Razak dalam mesyuarat Kabinet hari ini turut mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk  menjalankan kerja pembersihan di kawasan yang mengalami pencemaran akibat perlombongan bauksit itu.

Sehingga kini, SPRM telah menahan reman sembilan orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PTG Pahang serta orang awam dan kesemua mereka ditahan reman antara enam hingga 12 hari.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.