Malaysia hantar pulang 114 warga Islam Myanmar termasuk kanak-kanak, kata peguam

Amnesty International Malaysia berkata kumpulan tersebut dihantar pulang sebaik sahaja mahkamah membatalkan penangguhan pengusiran pada Januari.
Iman Muttaqin Yusof & Iskandar Zulkarnain
2023.02.23
Kuala Lumpur
Malaysia hantar pulang 114 warga Islam Myanmar termasuk kanak-kanak, kata peguam Sebuah bas dipercayai membawa pendatang Myanmar yang ditahan di Malaysia untuk dihantar pulang ke negara asal sedang menuju ke pangkalan tentera laut di Lumut, di luar Kuala Lumpur, 23 Feb 2021.
[Mohd. Rasfan/AFP]

Malaysia menghantar pulang lebih 100 warga Islam Myanmar ke negara asal yang besar kemungkinan berdepan dengan pendakwaan disebabkan oleh kaum dan agama mereka, walaupun mereka bukan etnik Rohingya, demikian kata peguam yang mewakili kumpulan tersebut.

Amnesty International Malaysia juga mendakwa Kuala Lumpur telah mengusir 114 warga Myanmar ke negara asal mereka yang sedang bergolak pada bulan lepas, di sebalik mengutuk keganasan junta Burma ke atas rakyatnya sendiri.

Lim Wei Jet, peguam yang dilantik mewakili warga Myanmar oleh badan pemerhati Amnesty International itu berkata tentera Burma yang menggulingkan kerajaan yang dipilih pada Februari 2021, turut meminggirkan rakyatnya yang beragama Islam.

“Ia bertentangan dengan prinsip tiada penghantaran pulang paksa (non-refoulment) serta hak untuk hidup di mana anda tidak sepatutnya mengusir seseorang kembali ke negara, di mana mereka akan pastinya berdepan dengan pendakwaan disebabkan oleh kaum dan agama mereka.

“Dalam kes ini, disebabkan mereka beragama Islam, dan masyarakat Islam menjadi mangsa diskriminasi junta Myanmar. Malah kita juga bercakap tentang kanak-kanak yang dihantar pulang. Hak kanak-kanak turut dilanggar, jadi disebabkan itu kami menegaskan bahawa tindakan kerajaan telah melanggar undang-undang,” ujarnya kepada BenarNews.

Di bawah undang-undang hak asasi antarabangsa, prinsip tiada penghantaran pulang paksa menjamin tiada sesiapa sepatutnya dihantar pulang ke negara di mana mereka berdepan tindakan penyiksaan, kejam, tidak berperikemanusiaan atau layanan yang tidak adil atau dihukum serta lain-lain ancaman yang tidak dapat dipulihkan.

Prinsip ini termaktub kepada semua migran, pada setiap masa, tanpa mengira status migran.

Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 namun menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, prinsip tiada penghantaran pulang paksa yang melindungi pelarian atau pencari suaka daripada pengusiran adalah terpakai kepada negara itu sebagai sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa dan mengikat semua negara.

Satu kenyataan daripada Amnesty berkata bahawa pengusiran berlaku "walaupun maklumat daripada prosiding mahkamah bahawa kumpulan itu termasuk kanak-kanak dan orang lain dalam situasi yang terdedah."

Pada Februari tahun lepas, kerajaan Malaysia menghantar balik 1,086 warga Myanmar walaupun Mahkamah Tinggi menahan sementara penghantaran pulang sekumpulan 1,200, dengan 114 daripadanya kekal di Malaysia kerana didapati positif COVID-19.

“Kami berdukacita dengan hakikat bahawa kerajaan Malaysia tidak hanya secara proaktif memohon pembatalan penangguhan pengusiran malah memilih untuk meneruskan proses penghantaran pulang baki 114 individu dari Myanmar di sebalik kebimbangan yang mendalam terhadap keselamatan dan kesejahteraan mereka,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv dalam satu kenyataan.

Disember lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan penangguhan penghantaran pulang 114 individu, termasuk kanak-kanak dan mereka yang dipercayai pemohon suaka yang berada dalam tahanan imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri ketika itu Hamzah Zainudin kemudiannya memohon untuk menarik balik penangguhan tersebut dengan berkata 114 warga Myanmar telah bersetuju untuk dihantar pulang. Kumpulan hak asasi bagaimanapun mempertikaikan persetujuan yang dikatakan itu, dengan mendakwa ia tidak diterima secara sukarela.

“Kerajaan Malaysia telah mengkritik tentera Myanmar dan mendapat pujian antarabangsa terhadap kepimpinannya, namun tindakan menahan dan mengusir individu-individu yang berada dalam risiko sekaligus bercanggah dengan pendirian tersebut serta mendedahkan hipokrasi dalam polisi dan tindakan,” tambah Katrina lagi.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mengambil langkah seterusnya dalam mendesak kerajaan tentera Myanmar menghentikan apa yang dilabel oleh beliau sebagai “jenayah” terhadap rakyat.

Anwar menggesa ASEAN untuk lebih berani menangani masalah Myanmar, yang setakat ini telah menyebabkan lebih satu juta rakyat dan memaksa ramai pelarian untuk lari ke negara-negara dalam wilayah tersebut.

“Kita perlu mengasingkan Myanmar buat waktu ini. Dan saya fikir isu Myanmar tidak seharusnya menyekat langkah kita…

“Anda, mempunyai setiap hak untuk mempunyai polisi dan keutamaan domestik. Namun, tiada negara pada waktu ini sepatutnya berterusan mengamalkan polisi-polisi berbentuk diskriminasi, meminggirkan rakyat mereka, atau mengugut atau lebih teruk lagi menggunakan kekerasan ke atas rakyat sendiri,” demikian kata Anwar dalam ucapannya sempena lawatan dua hari ke Thailand.

BenarNews telah cuba menghubungi pejabat Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk komen namun masih belum mendapat jawapan.

Pada Oktober lalu, kerajaan bayangan Myanmar menyuarakan kebimbangan mengenai laporan bahawa pembelot tentera adalah antara 150 warga Myanmar yang dihantar pulang dalam bulan itu dari Malaysia.

Mereka adalah antara lebih 2,000 warga Myanmar yang dihantar pulang sejak April, menurut Human Rights Watch dalam kenyataan ketika itu.

Syed Hamid Albar, bekas diplomat dan juga pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar, menegaskan adalah satu kesalahan untuk kerajaan meneruskan pengusiran para pelarian yang bakal berdepan dengan pendakwaan, malahan hukuman mati.

“Kita seharusnya patuh kepada undang-undang antarabangsa and standard antarabangsa. Secara tegasnya, kita tidak sepatutnya mengusir pelarian ke negara yang nyawa mereka dalam bahaya dan disebabkan status mereka sebagai pelarian, mereka sepatutnya diberikan perlindungan.

“Mereka tidak sepatutnya dihantar pulang ke negara asal yang mereka tinggalkan disebabkan berdepan dengan pendakwaan atau keganasan. Sudah pasti, apabila mereka (pelarian) pulang, mereka akan diancam. Dalam sesetengah kes, mereka akan dibunuh. Tiada negara sepatutnya menghantar pelarian ke negara yang mereka lari daripadanya,” kata beliau kepada BenarNews.

Sejak rampasan kuasa, Persatuan Bantuan Tahanan Politik Thailand menganggarkan hampir 3,026 individu telah terkorban dan sekitar 20,000 orang awam telah ditahan di Myanmar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.