PENJELASAN: Pusat data di Malaysia berdepan isu kelestarian bekalan air
2025.02.21
Kuala Lumpur

Malaysia sedang memposisikan kedudukannya sebagai hab pusat data Kecerdasan Buatan (AI) utama di Asia Tenggara sebagai usaha untuk menarik kemasukan pelaburan bernilai berbilion dolar daripada gergasi teknologi global seperti Nvidia, Microsoft dan ByteDance.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, negara ini menawarkan pemilikan tanah pada kadar harga lebih murah, insentif percukaian dan tenaga kerja yang berkembang untuk menjadi “hab pusat data.”
Bagaimanapun, ketika industri ini berkembang pesat, cabaran memastikan jaminan bekalan air mencukupi begitu signifikan kerana pusat data yang beroperasi 24 jam setiap hari amat bergantung kepada bekalan air untuk menyejukkan pelayan berprestasi tinggi, jelas pakar kejuruteraan mekanikal, Poh Seng Lee
“Banyak pusat data menggunakan penyelesaian penyejukan berasaskan air seperti penyejukan penyejatan dan menara penyejukan kerana keupayaan air yang lebih baik dalam menyerap haba,” kata profesor Universiti Nasional Singapura itu kepada BenarNews.
“Ini menyebabkan kapasiti penggunaan air yang besar.”
Malaysia telah meluluskan lebih RM141.7 bilion [AS$32 bilion] dalam pelaburan digital termasuk pusat data dan perkhidmatan awam dari Januari hingga Oktober 2024, sekali gus berjaya mencipta 41,078 peluang pekerjaan, menurut data kerajaan.
Perkembangan itu diikuti dengan pelaburan sama sejumlah RM114.7 bilion [AS$25.96 bilion] dari 2021 hingga 2023.
Bagaimanapun, pakar memberikan amaran bahawa infrastruktur Malaysia mungkin tidak mampu menampung permintaan pertumbuhan pusat data.
Tiga negeri iaitu Johor, Selangor dan Negeri Sembilan menempatkan 101 pusat data dengan Johor yang bersempadan dengan Singapura mempunyai jumlah terbesar iaitu 72 buah.
Pengawal selia air negara melaporkan bahawa pusat data di negeri-negeri ini memerlukan bekalan air sejumlah 808 juta liter sehari (JLH) sedangkan infrastruktur semasa hanya mampu membekalkan 142 JLH.
Di Johor, hanya 17 pusat data telah diluluskan permintaan air dengan ia menerima sebahagian kecil daripada bekalan air yang diperlukan.
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada Januari lalu, syarikat operator air Johor menerima permohonan 440 JLH bagi keperluan pusat data sehingga 2035 iaitu kira-kira 23 peratus permintaan air di negara itu pada 2023.

Sumber air alternatif
Rizab air Malaysia semakin tertekan akibat kepesatan pembangunan perbandaran, pertumbuhan industri dan perubahan iklim.
Walaupun Malaysia mempunyai sumber air yang banyak, peningkatan permintaan daripada pengembangan pusat data boleh mencetuskan masalah kekurangan bekalan air,” kata Pengerusi SPAN Charles Santiago.
“Sumber air alternatif mesti dipertimbangkan untuk mengelakkan krisis," katanya pada sidang media baru-baru ini.
Dalam hal ini, Malaysia perlu memastikan pelaburan pusat data tersebut "sejajar dengan matlamat sasaran penggunaan tenaga diperbaharui bagi mengelakkan lonjakan pelepasan karbon," kata Zayana Zakariah, penyelidik iklim dan tenaga di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.
SPAN telah mencadangkan dasar pengurusan air yang lebih ketat untuk pusat data dan menggesa kerajaan mengkajinya.
Suruhanjaya itu mencadangkan satu garis panduan baharu dengan mensyaratkan pengendali pusat data meneroka sumber alternatif seperti air terawatt, air hujan dan penyulingan air laut sebelum kelulusan operasi diberikan.
“Syarikat operator air mesti menilai kebolehlaksanaan sumber alternatif sebelum pusat data diberikan kelulusan," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada 10 Februari lalu.
“Air terawat, penuaian air hujan dan penyulingan air laut akan menjadi pertimbangan utama [apabila kelulusan diberikan]."

Kelestarian sumber asli dan alam sekitar
Kerajaan Malaysia berkata ia sedang merangka dasar kelestarian yang lebih ketat untuk industri ini.
Malaysia kini menggunakan pendekatan lebih “selektif” dalam meluluskan projek pusat data kerana kekangan sumber," kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu program temu bual bersama Financial Times pada Januari lalu.
Beliau berkata syarikat teknologi perlu “membayar harga premium untuk bekalan air dan tenaga bagi beroperasi di Malaysia.”
“Kita tidak mahu sebarang pusat data biasa tetapi jika ia melibatkan AI atau teknologi yang lebih canggih, maka kita akan mempertimbangkannya,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkenalkan garis panduan kelestarian baharu pada Disember 2024 mewajibkan pusat data meningkatkan kecekapan dan memantau jejak karbon mereka.

Bolehkah industri menyesuaikan diri?
Gary Goh, pengarah dan pengasas firma penasihat pusat data Sprint DC Consulting berkata para pelabur sudah menganggap pusat data sebagai sebahagian daripada trajektori pertumbuhan Malaysia.
“[Pusat data] berkembang dengan pesat, mencerminkan nilai besar yang dibawanya – bukan sahaja dalam pelaburan langsung malah memperkasakan ekonomi digital, menyokong kemajuan teknologi, dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya kepada BenarNews.
“Kepekaan pasaran terhadap sektor pusat data turut mengukuhkan kepentingannya. Sebagai contoh, sentimen tidak menentu dalam pasaran pusat data pada Januari lalu menyebabkan kejatuhan besar dalam nilai saham, menunjukkan betapa pentingnya industri ini kepada pasaran kewangan secara keseluruhan.”
Peraturan alam sekitar yang lebih ketat boleh memperlahankan pengembangan pusat data di Malaysia, kata Adam Hamzah, pengasas sebuah syarikat Malaysia, Data Center Specialist.
“Syarikat mungkin menghadapi kos yang lebih tinggi atau perlu mengubah operasi mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah tersebut boleh mendorong aktiviti inovasi dan kelestarian dalam sektor berkenaan.
Sebagai contoh, Singapura pernah mengenakan moratorium terhadap pembangunan pusat data selama tiga tahun dari 2019 ekoran kebimbangan mengenai penggunaan tenaga dan kelestarian dalam pengembangan industri.
“Moratorium itu memaksa syarikat berinovasi, menjadikan mereka lebih cekap dari segi penggunaan tenaga dan air,” kata profesor Lee dari Universiti Nasional Singapura.
“Malaysia perlu melaksanakan dasar yang lebih ketat sekarang untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar.”