Putrajaya Fail Notis Rayuan Ketepi Keputusan Mahkamah Benar Wariskan Kerakyatan Kepada Anak

Kumpulan sokongan keluarga menyifatkan tindakan Putrajaya sebagai satu "pengkhianatan" terhadap hak wanita Malaysia yang sudah lama tertangguh.
Noah Lee
2021.09.13
Putrajaya Fail Notis Rayuan Ketepi Keputusan Mahkamah Benar Wariskan Kerakyatan Kepada Anak Sekumpulan kanak-kanak Malaysia bermandi manda sambil menikmati kesegaran air sungai pada hujung minggu di sekitar Sungai Ulu Yam, Selayang di Selangor, 7 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]


Kerajaan Malaysia pada Isnin memfailkan notis rayuan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan golongan ibu hak untuk mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara dengan pasangan warga asing, kata peguam bela yang mewakili sekumpulan wanita Malaysia yang mencabar kerajaan di mahkamah.

Dalam respon spontan, Family Frontiers, kumpulan sokongan keluarga yang mengetuai usaha mencabar undang-undang tersebut, menyifatkan tindakan Putrajaya sebagai satu "pengkhianatan" terhadap hak wanita Malaysia yang sudah lama tertangguh, dan turut melancarkan petisyen mengumpul tandatangan ramai untuk mendesak kerajaan menarik balik rayuan tersebut.

"Jabatan Peguam Negara pada hari ini telah memfailkan satu rayuan terhadap keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Akhtar Tahir bertarikh 9 September 2021.

"Ia difailkan di Mahkamah Rayuan bagi pihak tiga defendan termasuk kerajaan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri. Notis rayuan itu telah diserahkan kepada kami hari ini," kata Gurdial Singh Nijar, seorang daripada kumpulan peguam yang mewakili enam wanita Malaysia yang mengambil tindakan saman sivil terhadap kerajaan.

Kumpulan wanita itu telah mencabar klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang didakwa secara tidak langsung menyatakan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak memperoleh kerakyatan Malaysia.

Sebelum ini, wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing dan melahirkan anak mereka di luar Malaysia tidak boleh mewariskan kerakyatan kepada anak tersebut secara automatik, berbeza dengan lelaki warganegara yang berkahwin wanita asing yang mana anak mereka boleh terus didaftarkan sebagai rakyat Malaysia.

Pada 9 September, Hakim Akhtar Tahir mengumumkan keputusan penghakiman bagi kes tersebut, di mana beliau memutuskan bahawa kumpulan wanita berkenaan telah menjadi mangsa diskriminasi jantina kerana peraturan itu tidak terpakai terhadap lelaki Malaysia yang berada dalam situasi serupa.

"Rasa tidak puas hati plaintif adalah benar… diskriminasi adalah jelas," kata Hakim Akhtar Tahir ketika membacakan penghakiman beliau.

Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa "setiap orang yang dilahirkan di luar Persekutuan ... yang bapanya adalah warganegara pada masa kelahiran adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang." Perkataan ‘bapa’ mesti dibaca dan difahami turut merangkumi ibu, kata Akhtar.

Malaysia adalah antara dua puluh lebih negara yang tidak memberikan hak sama kepada ibu dan bapa di bawah undang-undang berkaitan kerakyatan negara itu.

Keadilan tertunda

Family Frontiers dalam satu kenyataan media pada Isnin menyatakan rasa terkejut mereka dengan tindakan kerajaan memfailkan rayuan itu, terutama sekali selepas keputusan Mahkamah Tinggi menerima sambutan baik banyak pihak termasuk tiga orang menteri kerajaan persekutuan.

"Penghakiman Mahkamah Tinggi tersebut telah disokong secara terbuka oleh tiga orang menteri persekutuan, termasuk Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa. Ia juga disambut secara positif oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Anak Awal Sarawak Fatimah Abdullah, bersama dengan Wanita Persatuan Cina Malaysia Sabah.

"Oleh itu, kami berasa terkejut dengan tindakan kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, dan kami melihat ini adalah satu bentuk pengkhianatan kerajaan terhadap hak yang sudah lama tertangguh bagi kaum wanita Malaysia.

“Kerajaan mempunyai kesempatan untuk menerima keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, dan memastikan hak wanita tidak ditindas dan mereka juga mendapat keadilan dan kesaksamaan yang sepatutnya.

"Sebaliknya, kerajaan telah memilih untuk mempertahankan status quo terhadap ketidakadilan yang telah mendarahdaging semenjak dari negara kita mencapai kemerdekaan lagi, sehingga kini wanita Malaysia telah menanggung beban ketidakadilan hampir 64 tahun lamanya," kata kumpulan berkenaan.

Tambah mereka, keputusan dibuat Hakim Akhtar Tahir itu akan memberikan peluang kepada anak-anak wanita Malaysia yang selama ini tidak dibenarkan mendapat kerakyatan untuk mendapatkan akses kepada hak asasi yang dinikmati rakyat negara itu, termasuk pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Kata Family Frontiers, rayuan yang difailkan oleh pihak kerajaan telah menunda dan menafikan keadilan kepada ibu dan anak serta keluarga mereka.

"Tindakan kerajaan dalam memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut telah memberikan pesanan yang jelas bahawa mereka selama ini menyokong diskriminasi dan marginalisasi (peminggiran) terhadap hak-hak wanita dan ibu di Malaysia. Kami tidak akan sekali-kali bertolak ansur dengan pemerintahan yang terus mempertahankan undang-undang kuno dan seksis.

"Kami amat mendesak agar Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara untuk menarik kembali Notis Rayuan mereka dengan segera dan menghentikan ketidakadilan terhadap wanita Malaysia," kata kenyataan kumpulan itu.

Reaksi

Sementara itu, berita mengenai tindakan Putrajaya memfailkan rayuan di mahkamah telah menerima reaksi negatif dari pelbagai pihak termasuk ahli politik.

Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Segambut dan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, menggelar kerajaan sebagai "tidak berhati perut" kerana memfailkan rayuan tersebut.

"Kerajaan ini adalah kerajaan tidak berhati perut yang menggunakan slogan kosong seperti 'Keluarga Besar' oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan 'Sinar Baharu' oleh Rina Harun," kata beliau melalui Twitter.

Rina sebelum ini menyambut baik keputusan Hakim Akhtar Tahir dan menyifatkannya sebagai 'sinar baharu'.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.