Asia, Rantau Pasifik ucap takziah, beri penghormatan terakhir buat Ratu Elizabeth II

Selain menerajui Britain, baginda turut berkhidmat sebagai ketua negara-negara Komanwel.
Staf BenarNews
2022.09.09
Kuala Lumpur, Dhaka, Manila, Jakarta, Bangkok & Washington
Asia, Rantau Pasifik ucap takziah, beri penghormatan terakhir buat Ratu Elizabeth II Papan iklan elektronik sebuah bangunan di Manila memberikan penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II dari Britain yang mangkat pada Khamis ketika berusia 96 tahun, 9 Sept 2022.
(Jojo Riñoza/BenarNews)

Para pemimpin negara-negara Asia dan rantau Pasifik merakamkan ucapan takziah dan memberi penghormatan terakhir mereka kepada keluarga diraja Britain dan Raja baharunya pada Jumaat susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, yang menduduki takhta selama 70 tahun.

Ratu Britain yang paling lama menduduki takhta itu mangkat ketika berusia 96 tahun pada Khamis, beberapa bulan selepas baginda meraikan jubli platinum pemerintahannya. Elizabeth II adalah tokoh penting di arena antarabangsa pada era pasca perang semasa dunia beralih daripada kolonialisme kepada perang dingin dan dunia multipolar.

Di Malaysia pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri mengimbau kembali detik-detik Seri Paduka berdua mengadakan kunjungan hormat ke atas Elizabeth di Istana Buckingham pada 2019 manakala Bangladesh memulakan perkabungan tiga hari bagi memperingati baginda. Para pemimpin di Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Australia dan New Zealand turut merakamkan ucapan takziah.

“Seri Paduka Ratu Elizabeth II akan dikenang oleh baginda berdua, kerajaan dan rakyat Malaysia atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel yang menjadi kebanggaan Malaysia dan usaha baginda untuk menggalakkan hubungan yang lebih kukuh antara United Kingdom dan Malaysia,” menurut Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam satu kenyataan.

Elizabeth, yang menaiki takhta pada 1952, menerajui Empayar British namun kekal sebagai Ketua Komanwel bagi kebanyakan bekas jajahannya. Anakanda baginda, Raja Charles III, menggantikan baginda bukan hanya sebagai ketua negara Britain tetapi juga sebagai ketua Komanwel yang turut membabitkan Singapura dan Bangladesh di benua Asia.

Kumpulan 56 negara merdeka di seluruh dunia itu termasuk Australia dan New Zealand di mana Elizabeth turut menjadi ketua negara.

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pula berkata Ratu British itu terkenal dengan sifat dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya.

“Mewakili seluruh Keluarga Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat diraja, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah mengeluarkan kenyataan beliau sendiri yang memuji Ratu Elizabeth.

“Baginda ialah tokoh ulung dan sangat berdedikasi sepanjang pemerintahan baginda kepada rakyat UK dan Komanwel,” katanya.

220909-MY-QEII-Inside1.jpg

Bendera Bangladesh dikibarkan separuh tiang di Parlimen negara itu di Dhaka sebagai tanda penghormatan kepada Ratu Elizabeth II, 9 Sept 2022. [Munir Uz Zaman/AFP]

Di Dhaka pada Jumaat, kerajaan Bangladesh mengumumkan bahawa sepanjang tempoh berkabung selama tiga hari, “bendera negara itu akan dikibarkan pada separuh tiang di semua pejabat kerajaan, separa kerajaan, badan-badan autonomi, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan misi-misi Bangladesh di luar negara.”

Perdana Menteri Sheikh Hasina berkata rakyat Bangladesh “berdoa agar roh baginda beroleh kedamaian abadi dan dirahmati.”

220909-MY-QEII-Inside2jpg.jpg

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi menandatangani buku takziah untuk Ratu Elizabeth II di Kedutaan British di Jakarta, 9 Sept 2022. [Twitter Retno Marsudi]

Di Manila, Filipina, Presiden Ferdinand Marcos Jr. berkata sepanjang tujuh dekad menduduki takhta, baginda “memberikan teladan berkaitan martabat seorang raja yang hebat kepada dunia.”

“Kami, bersama-sama rakyat Filipina yang menetap dan bekerja di England, meskipun bukan rakyat baginda, mengasihi baginda sebagai seorang Ratu, ibu dan nenek,” kata Marcos dalam satu kenyataan.

Di Jakarta, Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo turut menyertai pemimpin dunia lain menzahirkan setinggi-tinggi takziah kepada kerabat diraja British.

220909-MY-QEII-Inside3jpg.jpg

Pemangku Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan (dua dari kiri) melihat potret Ratu Elizabeth II semasa berkunjung ke Kedutaan British di Bangkok untuk menandatangani buku takziah, 9 Sept 2022. [Edaran Kerajaan Diraja Thailand/AFP]

Di Bangkok, Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand memberikan penghormatan kepada Ratu Elizabeth dan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara.

“Kami berkongsi rasa dengan rakyat British dan komuniti antarabangsa dalam meratapi kehilangan besar baginda yang tiada galang ganti ini,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pada Oktober 1996, Elizabeth II berkunjung ke Thailand dan bertemu pemerintah ketika itu Raja Bhumibol Adulyadej (Rama IX) semasa ulang tahun ke-50 baginda menaiki takhta. Ketika baginda mangkat pada Oktober 2016, Raja Thailand itu menduduki takhta selama 70 tahun dan 126 hari. Semasa kematian baginda, Bhumibol adalah raja paling lama menduduki takhta namun pada akhirnya, Elizabeth memintas baginda.

Sehingga lewat Jumaat (waktu Bangkok), istana diraja Thailand belum mengeluarkan kenyataan berhubung kemangkatan Elizabeth.

‘Kesedihan adalah harga yang terpaksa kita bayar untuk kasih sayang’

Di Singapura, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata parlimen akan bertafakur selama seminit sebelum memulakan sidang pada Isnin depan untuk Ratu Elizabeth.

“Sebagai tanda penghormatan, bendera negara di semua bangunan kerajaan akan dikibarkan separuh tiang pada hari pengebumian,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese memuji Ratu Elizabeth atas perkhidmatan baginda kepada Komanwel dan berkata “Pengabdian baginda kepada tugas akan terus dikenang pada masa akan datang.”

“Australia mengutuskan salam takziah yang mendalam kepada rakyat United Kingdom yang meratapi pemergian baginda hari ini kerana mereka seperti sudah kehilangan sebahagian besar daripada apa yang menjadikan negara mereka sangat luar biasa,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Baginda pernah bertitah: ‘Kesedihan adalah harga yang terpaksa kita bayar untuk kasih sayang.”

Di New Zealand, Perdana Menteri Jacinda Ardern dan Cindy Kiro, Gabenor Jeneral negara itu, masing-masing mengeluarkan kenyataan bagi merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ratu Elizabeth.

“Saya tahu saya berucap untuk semua orang di seluruh New Zealand bagi menzahirkan ucapan takziah kami kepada kerabat diraja dan Raja Charles III,” kata Ardern dalam satu kenyataan.

220909-MY-QEII-Inside4jpg.jpg

Ratu Elizabeth II muncul di skrin menerusi pautan video dari Istana Windsor semasa upacara menerima menghadap Duta Besar Malaysia Zakri Jaafar di Istana Buckingham, London, 25 Nov 2021. [Dominic Lipinski/pool/AFP]

Kiro mewakili kerabat diraja British dan dilantik oleh Perdana Menteri.

“Saya telah mengutus surat kepada raja baharu bagi pihak semua rakyat New Zealand, untuk menzahirkan ucapan takziah,” menurut Kiro dalam satu kenyataan.

“Sebagai Ratu New Zealand selama 70 tahun, Baginda adalah kerabat diraja yang amat dihormati dan kehadiran baginda amat dirasai semasa kita mengalami perubahan yang besar. Baginda akan dikenang atas sikap dedikasinya terhadap semua negara yang dinaungi dan komitmen baginda yang memainkan peranan dalam menyatupadukan Komanwel,” kata Kiro.

“New Zealand berkongsi kesedihan dengan rakyat semua negara yang dinaungi baginda atas kehilangan besar seorang raja dan pemimpin yang dikasihi serta dihormati. Baginda amat disayangi serta dihormati di New Zealand dan akan sentiasa dikenang atas pengabdiannya kepada tugas baginda.”

Ahammad Foyez di Dhaka, Wilawan Watcharasakwet di Bangkok dan Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.