50 Tahun Selepas Rusuhan Kaum, Hubungan Kaum Kian Meruncing Di Malaysia

Hadi Azmi & Muzliza Mustafa
2019.08.01
Kuala Lumpur, Malaysia
190730-MY-race-620.jpg Polis Malaysia bertempur dengan penunjuk perasaan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, 26 Nov, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Setengah abad selepas kejadian rusuhan kaum maut yang hampir memecahbelahkan Malaysia, hubungan antara kaum terus menjadi perhatian dalam kalangan pemimpin politik dan Yang di-Pertuan Agong yang baru sahaja ditabalkan di negara itu.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang berikrar untuk mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau kaum, kembali menyandang tampuk kuasa pada tahun lalu selepas gabungan partinya yang diterajui sebuah parti berbilang kaum, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dapat menggulingkan kerajaan didominasi parti berasaskan etnik Melayu yang telah memerintah negara itu sejak kemerdekaan pada 1957.

Ramai yang berharap bahawa kerajaan baru itu akan lebih agresif dalam melaksanakan pembaharuan bagi meredakan ketegangan kaum.

Tetapi, ketegangan kaum dan agama di negara pelbagai kaum itu semakin meruncing, demikian diingatkan oleh pemimpin PKR Anwar Ibrahim sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.

“Ancaman api perkauman dan kejumudan tidak harus dipandang enteng dan dikesampingkan, malah jika dibiar ia mampu meroboh segala usaha dalam meletakkan negara ini kembali ke landasannya,” katanya semasa menyampaikan perutusan ulang tahun itu pada Mei lalu.

Bulan itu juga merupakan ulang tahun ke-50 rusuhan berdarah yang meletus pada 13 Mei 1969 hingga mengorbankan hampir 200 orang di Malaysia, dengan angka rasmi menunjukkan ramai daripada mereka yang terbunuh adalah dari kaum Cina, walaupun sumber-sumber diplomatik pada masa itu menyatakan bilangan yang terkorban adalah hampir 600 orang.

Muslim Melayu, bersama-sama dengan golongan Bumiputera lain, membentuk 69.3 peratus daripada 32.6 juta penduduk Malaysia manakala kaum Cina mencatatkan 22.8 peratus dan kaum India sebanyak 6.9 peratus, menurut  laporan Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan bulan ini.

Keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia memastikan orang Melayu diberikan lesen perniagaan, biasiswa dan pekerjaan dalam sektor awam dan perkhidmatan awam.

Keistimewaan itu diperkukuhkan oleh Dasar Ekonomi Baru yang diluluskan selepas rusuhan pada 1969 dengan matlamat memberi lebih banyak peluang ekonomi kepada orang Melayu sebagai satu daripada cara untuk mengurangkan ketegangan kaum.

Kebanyakan dasar itu masih dilaksanakan tetapi pembaharuan yang dilakukan selama ini sukar mengendurkan ketegangan kaum.

Minggu ini, Yang di-Pertuan Agong yang baru Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyentuh tentang kemungkinan berlakunya krisis perkauman dan menggesa rakyat Malaysia supaya menjaga "perpaduan dan keharmonian rakyat."

“Nasihat Beta, jangan sekali-kali kita mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara. Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri; malahan turut membakar seluruh kampung halaman,” titah Seri Paduka pada istiadat pertabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sejurus sebelum Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah pada istiadat pertabalannya yang penuh gemilang di Istana Negara di Kuala Lumpur, polis berjaya menghalang sekumpulan penunjuk perasaan, yang mendakwa hubungan kaum antara orang Melayu dan masyarakat lain semakin renggang, daripada berarak ke lokasi istiadat itu, menurut laporan.

Para penunjuk perasaan itu adalah ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), rakan dominan dalam gabungan parti pemerintah yang ditumbangkan pada pilihan raya umum lalu dan bekas pemimpinnya yang juga bekas perdana menteri Najib Razak, kini menghadapi sejumlah besar pertuduhan rasuah di mahkamah.

UMNO mendakwa kerajaan baru telah memperlekehkan keistimewaan orang Melayu.

"Hubungan antara kaum sedikit tegang. Orang Melayu berasa gelisah. Kami merasakan agama Islam dilayani dengan buruk (oleh kerajaan baru)," kata Lokman Adam, ahli majlis tertinggi UMNO yang mengetuai kira-kira 300 ahli parti dalam demonstrasi itu, kepada Agence France-Presse. "Kami rasa kerajaan sekarang tidak mampu melindungi hak-hak Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu."

Para penyokong UMNO bimbang rancangan kerajaan untuk mengiktiraf secara rasmi peperiksaan yang diduduki di sekolah menengah Cina akan mencabar status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan turut menuduh bahawa kerajaan telah mengurangkan perbelanjaan bagi pembangunan semula masjid-masjid, lapor AFP.

Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang didominasi etnik China dan merupakan parti sekutu Pakatan Harapan, berkata parti pemerintah sedang bergelut dalam usahanya untuk mempertahankan semua kaum berikutan cabaran yang ditimbulkan oleh UMNO dan Parti Islam Malaysia (PAS).

"UMNO, apabila menjadi pembangkang, sentiasa suka memainkan isu perkauman. Semua perkara dijadikan isu perkauman," katanya kepada BeritaBenar. "Sebaliknya, orang bukan Melayu dan bukan Islam yang mengundi PH pula menuntut supaya diberikan peluang yang saksama, dan ini menyukarkan kami.”

Selepas Pakatan Harapan memegang tampuk kuasa pentadbiran negara, ia telah menamakan Peguam Negara bukan Melayu yang pertama, Tommy Thomas, dan Menteri Kewangan dari etnik Cina yang pertama selepas lebih empat dekad, Lim Guan Eng.

Wawasan Kemakmuran Bersama

Mahathir, yang mencecah usia 94 tahun bulan lalu, percaya kerajaannya melaksanakan pendekatan yang tepat dalam menangani hubungan kaum.

Beliau berkata kunci kepada kejayaan negara ialah "kerjasama dan toleransi rakyat pelbagai agama, kaum dan budaya yang telah berterusan sejak sekian lama."

Sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan perpaduan negara, beliau berkata kerajaannya melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang bertujuan untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia merasai nikmat kejayaan ekonomi Malaysia secara bersama, adil dan teragih.

"Kemakmuran Bersama ini dibangunkan untuk mencapai beberapa objektif utama, iaitu untuk memastikan pendapatan dan jurang kekayaan dapat ditangani," kata Mahathir.

Namun, Malaysia terus berdepan ketegangan antara kaum semasa pentadbiran kerajaan Mahathir. Pada November lalu, seramai 30 orang ditangkap berikutan rusuhan di sebuah kuil Hindu yang turut mencederakan lapan yang lain. Pihak berkuasa berkata insiden itu tercetus akibat pertikaian berhubung penempatan semula kuil tersebut.

Pada bulan yang sama, Mahathir menarik balik janjinya untuk menyokong Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di tengah-tengah kecaman para pengkritik yang menyuarakan kebimbangan bahawa langkah itu boleh mengurangkan keistimewaan orang Melayu.

Sementara itu, Mahathir, yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang kedua sedikit dalam gabungan Pakatan Harapan, baru-baru ini menimbulkan sedikit keresahan dalam kalangan parti sekutunya apabila beliau menyeru parti-parti Melayu supaya menyertai partinya dengan menegaskan bahawa orang Melayu harus bersatu di bawah satu payung.

Terdapat juga kebimbangan mengenai perpecahan dalam PKR dianggotai pelbagai kaum, yang sebelum ini ramai percaya ia boleh muncul sebagai parti utama yang dapat mengeluarkan politik Malaysia daripada berasaskan kaum dan agama serta membantu memperluaskan perpaduan negara.

Banyak yang perlu dilakukan lagi untuk meningkatkan hubungan antara kaum, kata seorang profesor Melayu.

"Hubungan kaum di Malaysia, iaitu 50 tahun selepas 13 Mei 1969, adalah umpama ‘wain lama dalam botol baru.’ Ia masih berkisar tentang kepentingan kaum, agama dan monopoli ekonomi yang dipegang oleh orang Cina," kata Awang Azman kepada BeritaBenar.

"Baru-baru ini, ia dibangkitkan lagi oleh orang bukan Melayu dan 'Melayu liberal' yang semakin rancak mempersoalkan hak keistimewaan Melayu," kata Awang, seorang profesor di Universiti Malaysia. "Ini melebarkan lagi jurang antara kaum."


Seorang tentera Malaysia berkawal semasa pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran di beberapa kedai dan rumah di Kuala Lumpur, 17 Mei 1969. (AP)

'Semua tewas'

Mereka yang pernah terlibat dengan rusuhan pada 1969 juga bimbang dengan kurangnya kemajuan dalam membentuk perpaduan kaum.

Tiga lelaki yang menyaksikan rusuhan itu - Melayu, Cina dan India - memberitahu BeritaBenar tentang pengalaman mereka pada hari itu.

Mohsin Abdullah dari etnik Melayu menyaksikan dua penunggang motosikal Cina terbunuh dalam rusuhan itu.

"Sebagai sebuah negara, kita tewas. Tiada siapa yang menang. Kita semua kalah - Melayu, Cina, India - semua orang," katanya kepada BeritaBenar. "Kita kehilangan nyawa, harta benda, segala-galanya. Jangan benarkan ia berulang lagi."

Raj Kumar dari etnik India berkata sebelum rusuhan itu berlaku, para pelajar di sekolahnya bercampur gaul sesama kaum tetapi selepas kejadian itu, mereka hanya berada dalam kumpulan etnik sendiri dan merasa curiga terhadap yang lain.

Lim Lam Geok dari etnik Cina berkata sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk bergerak maju ke hadapan.

"Mereka yang terlibat dengan insiden itu semakin berkurangan, saya bimbang tanpa sebarang konteks, insiden 13 Mei akan dimanipulasi oleh mereka yang mempunyai kepentingan," katanya kepada BeritaBenar.

"Kita masih mencurigai satu sama lain. Bagi saya, cara terbaik adalah dengan melupakan insiden 13 Mei. Ia adalah isu bapa dan datuk kita. "

Beliau berkata sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk mewujudkan pencapaian baru dengan membabitkan hari berbeza pada bulan Mei - hari gabungan Pakatan Harapan meyandang tampuk kuasa dalam bulan itu pada 2018.

"9 Mei adalah tonggak sejarah kita, bukti bahawa kita dapat melangkaui halangan kaum untuk menyelamatkan negara kita," katanya. "Ini adalah kisah-kisah yang perlu kita ceritakan kepada anak-anak kita demi masa depan yang diharapkan.

"Sudah tentu keadaan agak kurang elok sekarang, tetapi ia menjadi asas yang baik untuk membina masa depan dan tiba masanya, orang hanya akan mengingati perkara yang baik sahaja."

Kerajaan juga nampaknya bertekad untuk mengatasi masalah itu.

Dalam sidang berita pada hari ulang tahun ke-50 rusuhan 13 Mei 1969, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin bercakap mengenai usaha Pakatan Harapan untuk memperbaiki hubungan antara kaum.

"Ini adalah kerajaan baru. Kami telah berjanji kepada rakyat bahawa kami akan menjadi lebih adil, kami akan menangani isu-isu dengan adil dan saksama," katanya.

"Kami menolak sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan kaum, agama. Inilah pendirian kerajaan sekarang, jadi bagi saya, inilah yang lebih penting berbanding  apa yang telah berlaku pada masa lalu. "

Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.