Tiada Penglibatan Pengganas Dalam Kehilangan Alat Radioaktif, Polis Malaysia

Ali Nufael
2018.08.21
Kuala Lumpur, Malaysia
radioaktif.jpg Tanda amaran radioaktif dilihat pada bekas yang membawa sisa nuklear sebagai sebahagian daripada konvoi di Valognes, Perancis, 22 Nov 2011.
AFP

Polis Malaysia pada Selasa mengesahkan bahawa mereka sedang mengesan Peranti Penyebaran Radioaktif (RDD), yang mengandungi isotop radioaktif berbahaya Iridium 192, yang hilang sejak 11 hari lalu, dengan menolak ianya berada dalam tangan pengganas.

Peranti Penyebaran Radioaktif (RDD), seberat 23 kilogram [50.7 paun] milik sebuah syarikat tempatan, hilang pada 10 Ogos lepas ketika dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda di kawasan Kuala Lumpur, demikian menurut akhbar New Straits Times, yang menyiarkan laporan itu pada Isnin.

"Kami telah menyiasat kes itu dan mendapati ianya tidak berkaitan dengan keganasan. Jabatan Siasatan Jenayah sedang menyiasatnya," kata Ketua Bahagian itu, Ayub Khan Mydin Pitchay, kepada BeritaBenar.

Kejadian seperti itu pernah berlaku sebelum ini, menurut Ketua Polis Negara.

"Perkara sama berlaku tahun lepas, apabila peranti serupa hilang. Peranti itu masih hilang dan tiada siapa yang menemuinya," kata Mohamad Fuzi Harun kepada pemberita pada Isnin.

Ketua Polis Negara itu menambah,  “Tiada siapa yang menemuinya,”

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bila kejadian itu berlaku.

Sementara itu, pada Selasa, Polis di Selangor telah membentuk sebuah pasukan pertugas yang dianggotai pegawainya dan pakar nuklear dari Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk mengesan peranti RDD, yang mengandungi isotop radioaktif berbahaya Iridium 192.

Ketua Polis Negeri, Mazlan Mansor, memberitahu BeritaBenar bahawa pasukannya bekerjasama dengan AELB untuk melindungi rakyat daripada terdedah kepada risiko kesihatan dari bahan radioaktif itu.

“Pendedahan kepada isotop dalam radius satu media [3.2 kaki] boleh menyebabkan muntah atau kulit terbakar,” katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman meminta orang ramai tidak perlu panik dengan kehilangan itu.

"Setakat ini, semuanya terkawal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan pada masa ini, "katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin..

RDD yang hilang digunakan dalam industri radiografi dan dipunyai oleh firma yang menjalankan ujian, penentukuran dan pemeriksaan bagi syarikat minyak dan gas dan firma industri berat lain, kata BBC News.

Dua juruteknik  yang ditugaskan membawa peranti pada waktu malam yang hilang itu, telah dibebaskan dengan ikat jamin selepas polis mengambil keterangan mereka, kata laporan berkenaan.

Seorang pakar keselamatan tempatan berkata, Iridium 192 boleh dijual pada harga tinggi di pasaran gelap antarabangsa, namun ia tidak mempunyai banyak permintaan di pasaran domestik.

"Kita tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang ini dan tiada pihak di pasaran gelap yang mahukan bahan ini." kata Brigadier Jeneral (B) Arshad Raji kepada BeritaBenar.

"Ia berbeza di Amerika Latin atau Timur Tengah di mana bahan itu mahalkerana ia boleh digunakan sebagai bom jenayah. Ia bukannya bahan biasa di Malaysia tetapi saya berharap pihak berkuasa dapat dengan segera menemui peranti ini," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Ahli RadiologiAbdul Nassir Ibrahim memberitahu BeritaBenar bahawa peranti radioaktif yang hilang itu tidak berbahaya selagi ia tidak rosak atau bahan radioaktif bocor.

Abdul Nassir dari Pusat Latihan Madani bagaimanapun menjelaskan bahawa bahaya boleh timbul jika seseorang menganggap peranti itu hanya besi terpakai dan cuba menjualnya sebagai barang terpakai.

"Ia tidak berbahaya selagi perisai yang melindungi komponen radioaktif itu masih utuh. Tetapi, seseorang mungkin menganggapnya sebagai barang terpakai atau komponen dan cuba menjualnya di pasaran.

"Apabila ia rosak, unsur radioaktif akan merebak dan boleh berbahaya kepada mereka yang berdekatan. Gamma Ray boleh menyebabkan kanser, leukemia dan katarak," kata ahli sains itu ketika dihubungi BeritaBenar.

Bagaimanapun, Nassir meminta orang ramai supaya jangan panik kerana peranti itu tidak mungkin dijadikan bom radioaktif.

"Saya tidak melihat kemungkinan itu berlaku di negara kita, peranti itu tidak mungkin dijadikan bom untuk kegiatan jenayah.Ia mungkin berlaku di Chechnya atau di Mindanao, tetapi tidak di sini," kata Nassir, seorang lulusan University of Surrey di United Kingdom.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.