Follow us

Malaysia Lantik Fasilitator Baru Bagi Rundingan Damai Selatan Thailand

Muzliza Mustafa, Zam Yusa & Mariyam Ahmad
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
2018-08-24
E-mel
Komen
Share
Bekas ketua polis Malaysia Abdul Rahim Noor semasa ditemu bual BeritaBenar di Kuala Lumpur, 24 Ogos 2018.
Bekas ketua polis Malaysia Abdul Rahim Noor semasa ditemu bual BeritaBenar di Kuala Lumpur, 24 Ogos 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas ketua polis Malaysia Abdul Rahim Noor pada Jumaat berkata beliau menerima tawaran kerajaan baru untuk menyandang jawatan fasilitator bagi perbincangan damai Kuala Lumpur, yang bertujuan menamatkan pemberontakan puak pemisah di selatan Thailand.

Bekas Ketua Polis Negara dan bekas ketua cawangan khas Malaysia itu akan menggantikan Ahmad Zamzamin Hashim yang, semasa  pemerintahan bekas Perdana Menteri Najib Razak, bertindak sebagai fasilitator bagi perbincangan Bangkok dan pemberontak di Selatan Thailand sejak 2013.

"Saya bersedia memainkan peranan sebagai fasilitator bagi perbincangan damai antara pemberontak Selatan Thailand dan kerajaan Thailand," kata Rahim dalam satu temu bual dengan BeritaBenar.

"Apabila kerajaan menghubungi saya (mengenainya), saya menerimanya," kata beliau sambil memberitahu bahawa surat pelantikannya itu diterima daripada kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Jumaat.

Di Bangkok, Jeneral Aksara Kerdpol yang merupakan ketua pasukan  kerajaan tentera Thailand dalam perbncangan damai dengan pemberontak Selatan Thailand itu, mengesahkan bahawa Rahim telah dilantik sebagai fasilitator baru Malaysia bagi perbincangan itu.

"Kami mengakui bahawa bekas ketua polis dan ketua polis cawangan khas Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor adalah fasilitator dalam proses perbincangan damai Selatan Thailand bagi menggantikan  Dato Sri Ahmad Zamzamin Hashim kerana pihak Malaysia telah memaklumkan kepada kami dengan lebih awal. Perdana Menteri Thailand juga tahu tentangnya,"kata Aksara kepada BeritaBenar.

"Ia adalah perubahan di pihak mereka dan tidak akan memberi kesan negatif kerana beliau hanyalah fasilitator...beliau adalah bekas ketua cawangan khas, oleh itu, beliau mungkin tahu lebih daripada yang lain dan mungkin ada kumpulan baru yang mahu menyertai perbincangan ini, "kata ketua perunding Thailand itu.

Pelantikan Rahim dibuat lebih tiga bulan selepas Mahathir mengetuai pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, mencatatkan kemenangan besar untuk mengalahkan gabungan Barisan Nasional pimpinan Najib dalam pilihan raya umum Malaysia.

Persoalan berbangkit selepas pilihan raya umum 9 Mei sama ada Mahathir akan meneruskan peranan Malaysia dalam proses perbincangan damai Selatan Thailand itu.

Apabila ditanya tentang perkara itu oleh wartawan BeritaBenar pada akhir bulan Jun, Mahathir berkata, kerajaannya akan meneruskan peranan sebagai pengantara tetapi tidak menolak kemungkinan  Zamzamin diganti.

Berpengalaman dalam rundingan damai

Rahim, 75, mungkin amat diingati sebagai perunding yang memainkan peranan sehingga Parti Komunis Malaya meletakkan senjata dan menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Perjanjian Damai Hat Yai - yang dinamakan sempena bandar di selatan Thailand di sepanjang sempadan dengan Malaysia – adalah sempena perundingan damai yang dipermudahkan oleh kerajaan Thailand dan menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun.

Rahim, yang berkhidmat sebagai ketua polis kelima Malaysia dari 1994 hingga 1999, juga dikenali sebagai anggota polis tertinggi yang menumbuk Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri yang dipecat, dalam kes  ‘insiden mata lebam’ kira-kira-kira 20 tahun lalu.

Pada masa itu, Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Beberapa tahun kemudian, Mahathir dan Anwar yang bermusuh kembali bersatu untuk memimpin Pakatan Harapan meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2018.

Rahim mengambil alih peranan fasilitator perbincangan damai Thailand walaupun beliau berdepan dengan isu pada lima bulan lepas apabila Mahathir membuat komen bahawa pasukan polis Malaysia di bawah pimpinan Rahim memain peranan dalam keputusannya memecat Anwar pada 1998.

Pada Jumaat, Rahim menyatakan rasa yakinnya untuk melaksanakan mandat yang diberikan kepadanya oleh kerajaan baru Malaysia.

"Saya rasa pengalaman bertahun-tahun lamanya dan hubungan yang dijalin ketika saya menjadi ketua cawangan khas dan ketua polis negara Malaysia akan membantu kedua-dua pihak dalam perbincangan damai ini," katanya kepada Benar.

Sumber-sumber kerajaan Malaysia enggan mengulas mengenai pelantikan Rahim. Tidak jelas mengapa pentadbiran baru memilih untuk mengetepikan Zamzamin, yang telah mengendalikan dua  perbincangan damai Thailand sejak 2013.

Pertama adalah rundingan antara kerajaan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang terhenti pada Disember 2013. Kemudian, bermula pada 2015, Zamzamin menjadi pengantara bagi perbincangan  antara kerajaan junta Thailand, yang telah menggulingkan Yingluck dalam rampasan kuasa pada Mei 2014, dan MARA Patani, badan induk yang mewakili kumpulan pemberontak Selatan Thailand.

Perundingan dengan MARA Patani gagal menghasilkan sebarang gencatan senjata terhad yang dilihat sebagai penting bagi prospek damai di wilayah-wilayah Selatan Thailand yang penduduknya adalah umat Islam yang berbahasa Melayu. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan yang berlaku di sana sejak pemberontakan puak pemisah kembali berlaku pada 2004.

'Tanggungjawab Thailand'

Seorang penganalisis berkata, Rahim tahu tentang pihak berkuasa Thailand dengan baik sejak 30 tahun lalu semasa beliau membantu dalam rundingan menyerah diri Parti Komunis Malaya.

Tetapi, Rahim bakal menghadapi rasa curiga mendalam di kalangan pihak Thailand berikutan dakwaan bahawa beberapa kumpulan di Malaysia yang aktif menyokong pemberontakan di Selatan Thailand, kata Shahriman Lockman, penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, sebuah badan pemikir Kuala Lumpur.

"Dan, beliau perlu melakukan lebih banyak daripada apa yang dibuat semasa pemerintahan sebelum ini, yang memberi tumpuan terlalu banyak kepada usaha untuk mempermudahkan perbincangan dengan satu kumpulan, MARA Patani," kata Shahriman kepada BeritaBenar.

Penganalisis itu juga meragui komitmen kerajaan tentera Thailand untuk berunding dengan pemberontak bagi menyelesaikan pemberontakan di Selatan negara itu.

"Akhirnya nanti, tidak ada sebarang kemajuan melainkan pihak berkuasa Thailand serius dalam menangani pemberontakan di wilayah sempadan Selatan negara itu," kata Shahriman, sambil memberitahu bahawa konflik peringkat rendah sering diabaikan mereka yang berkuasa di Bangkok.

"Saya fikir tanggungjawab itu adalah di peringkat Thailand. Malaysia boleh mempermudahkan [perbincangan] tetapi jika pihak Thailand tidak sanggup melakukan sebarang kompromi - walaupun untuk memikirkan tentang beberapa bentuk autonomi bagi rakyat Selatan - semua usaha itu akan menjadi sia-sia," katanya.

Lihat Laman Penuh