Malaysia Mulakan Rundingan Awal Dengan Pemberontak Tegar Selatan Thailand

Hadi Azmi & Mariyam Ahmad
2018.12.27
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
181227-TH-violence-800.jpg Polis dan tentera Thailand memeriksa lokasi serangan bom yang membunuh tiga anggota polis di wilayah bergolak Yala di selatan Thailand, 23 Sept 2016.
[AFP]

Fasilitator Malaysia yang baru dilantik bagi rundingan damai Selatan Thailand telah bertemu pemberontak yang belum lagi mengambil bahagian dalam rundingan itu dan memulakan satu “proses dialog” dengan mereka, katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Pendedahan itu dibuat selepas beliau mengesahkan bahawa beliau akan bertemu ketua perunding Thailand dalam rundingan itu di Bangkok pada 4 Jan, iaitu antara pihak yang menggesa agar pemberontak tegar Barisan Revolusi Nasional (BRN) tampil ke meja rundingan beberapa minggu kebelakangan ini.

Ditanya jika beliau telah menghubungi BRN, Abdul Rahim Noor, fasilitator Malaysia menjawab “Ya,” namun menjelaskan bahawa perbualan mereka setakat ini hanyalah satu permulaan.

“Terma rasmi ialah ‘proses dialog.’ Ia bukan satu perbincangan, atau rundingan. Ia adalah satu dialog,” katanya dalam satu temu bual telefon.

Rahim Noor turut menjawab soalan mengenai tujuan pertemuan yang dijadualkan minggu depan dengan ketua delegasi baharu Thailand Udomchai Thammasarorat, dan berkata ia akan menjadi  “satu kemajuan dalam proses itu, proses berterusan ini yang diharapkan berakhir dengan satu perjanjian damai antara kedua-dua pihak.”

Rahim Noor telah dilantik pada Ogos oleh kerajaan baharu di Kuala Lumpur sebagai pemudah cara rundingan damai yang dipelopori Malaysia antara kerajaan tentera Thailand dan MARA Patani, satu panel yang mewakili pelbagai kumpulan pemberontak dalam rundingan damai yang bertujuan menamatkan konflik sedekad di Selatan Thailand majoriti penduduknya beragama Islam.

BRN, kumpulan pemisah bersenjata terbesar, mempunyai wakil di meja rundingan itu namun pemimpin pemberontak tegar itu yang dianggap sebagai paling berkuasa dan mengawal pejuang di lapangan, menjauhkan diri daripada rundingan yang bermula pada 2015.

Ketika ditanya sama ada wakil MARA Patani akan hadir pada pertemuan akan datang di ibu kota Thailand itu, jurucakapnya, Abu Hafez Al-Hakim, memaklumkan BeritaBenar bahawa perkara itu “tidak ada kena-mengena dengan kami.”

Dialog MARA Patani dengan kerajaan Thailand “masih ditangguhkan,” katanya, merujuk kepada rundingan yang terhenti pada awal 2018.

BeritaBenar menghubungi Rahim Noor dan Abu Hafez pada Khamis selepas memperolehI satu salinan agenda yang menyenaraikan pertemuan bertarikh 4 Jan dan acara lain yang berkaitan dengan proses damai itu, daripada sekretariat pasukan rundingan Thailand yang mempunyai pejabat di Selatan Thailand.

Acara pada 4 Jan akan menjadi satu pertemuan pengenalan rasmi antara “pemudah cara” rundingan damai tersebut dan delegasi Thailand, menurut agenda itu.

Acara lain yang disenaraikan dalam agenda itu termasuk pertemuan di sebuah kem tentera di wilayah sempadan Thailand pada 8 Jan diikuti satu sidang akhbar pada hari berikutnya oleh pasukan Thailand di Prince of Songkla University dalam wilayah Pattani di mana beberapa NGO tempatan dijangka hadir.

Agenda itu bagaimanapun tidak menyebut sama ada pemudah cara Malaysia akan hadir pada semua acara tersebut.

Kemudian pada 11 Jan, delegasi Thailand akan mengadakan sidang akhbar berkaitan proses damai itu di Kelab Koresponden Asing Thailand (FCCT) di Bangkok, menurut agenda itu.    

Mahathir: ‘Kami perlu mendengar pandangan semua pihak’

Rahim Noor dan rakan sejawatnya dari Thailand, yang menggantikan Jeneral Aksara Kerdpol sebagai ketua delegasi Thailand pada Oktober, pertama kali bertemu di luar lawatan negara ke Thailand oleh Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, yang mengambil alih kuasa buat kali kedua selepas mengetuai pembangkang meraih kemenangan menakjubkan dalam pilihan raya umum pada Mei.

Semasa lawatan beliau dua bulan lepas, Mahathir berikrar bahawa kerajaannya akan “membantu sedaya-upaya bagi menghentikan keganasan ini,”yang merujuk kepada konflik di Selatan Thailand.

Dan semasa lawatan kedua ke Thailand pada pertengahan Disember, pemimpin Malaysia itu memberitahu sidang akhbar di Universiti Rangsit bahawa masa diperlukan bagi menyelesaikan isu itu.

“Mencari penyelesaian bagi isu Selatan Thailand bukan mudah kerana konflik itu membabitkan banyak pihak,” kata Mahathir, menurut Bernama, yang merupakan agensi berita rasmi Malaysia.

“Kami perlu mendengar pandangan semua pihak selain mengambil kira kepentingan mereka.”

Kenyataan terkini perdana menteri itu dibuat dua minggu selepas Udomchai, ketua perunding Thailand berkata beliau telah meminta Rahim Noor mengundang pengerusi majlis agung BRN, Doonloh Wae-mano, (alias Abdullah Wan Mat Noor), untuk tampil ke meja rundingan.

“Kami sedang menyusun semula pasukan rundingan damai. Pendekatannya ialah kami mahu berunding dengan wakil ‘de facto’ semua kumpulan pemisah dan MARA Patani,” kata Udomchai kepada BeritaBenar ketika itu, menggunakan satu terma yang merujuk kepada pertubuhan pemberontak di selatan Thailand.

Kawasan Selatan Thailand yang penduduknya bertutur dalam Bahasa Melayu adalah bersempadan dengan Malaysia dan terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala selain empat daerah dalam wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang terbunuh dalam keganasan di wilayah itu sejak pemberontak sedekad dihidupkan semula 14 tahun lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.