LTTE: Polis Malaysia Ambil Keterangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang

Noah Lee
2019.10.21
Kuala Lumpur, Malaysia
191021-MY-Ramasamy1000.jpg Bendera kecil Parti Tindakan Demokratik (DAP) dipasang di tepi-tepi jalan menjelang pilihan raya umum ke-13 di sekitar Pulau Pinang, 18 April 2013. [AFP]
Photo: Benar

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan yang Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy hadir untuk diambil keterangan berhubung beberapa kenyataan yang dibuatnya berkaitan kumpulan pengganas Liberation Tigers of Tamil Eelam [LTTE] di Ibupejabat Polis DiRaja Malaysia Bukit Aman, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Di New York, Kerajaan transnasional Tamil Eelam mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan pihak berkuasa Malaysia menahan 12 individu termasuk dua anggota Dewan Undangan Negeri [Adun] Parti Tindakan Demokratik [DAP] baru-baru ini dengan meminta mereka dibebaskan dan dibersihkan daripada semua pertuduhan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata Ramasamy telah memberikan kerjasama yang baik kepada polis dalam sesi lebih empat jam dibuat Bukit Aman itu.

"Ramasamy telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses merakamkan keterangan beliau. Namun, sama ada kita akan memanggilnya kembali atau tidak, bergantung kepada siasatan," katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Menurut Mior Faridalathrash, siasatan keatas kes Timbalan Ketua Menteri itu dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, kerajaan transnasional Tamil Eelam [TGTE] berkata pada Mei 2009, LTTE telah mengumumkan gencatan senjata dan sejak daripada itu tiada lagi kejadian keganasan yang telah dikreditkan pada LTTE.

"Ahli akademik dan pakar berpendapat bahawa LTTE tidak melakukan perbuatan ganas pada masa ini, dan tidak ada sesiapa yang dikaitkan dengan mereka dalam apa-apa bentuk sejak akhir perjuangan bersenjata," kata TGTE dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Kenyataan itu berkata dalam tempoh konflik bersenjata, LTTE tidak melancarkan sebarang serangan ke atas Malaysia atau sasarkan sebarang kepentingan Malaysia.

TGTE adalah sebuah kerajaan dalam pembuangan yang berpangkalan di Amerika Syarikat sejak 2009 yang menuntut kemerdekaan tanah Tamil Eelam yang merupakan kawasan-kawasan penempatan majoriti komuniti Tamil di bahagian utara dan timur, Sri Lanka yang turut beroperasi seluruh dunia termasuk United Kingdom, Kanada, Norway dan Australia.

"Sesetengah laporan media memberi perhatian bahawa penangkapan itu didorong oleh pertimbangan politik. Kami menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk tidak menggunakan nama LTTE untuk politik partisan," kata ketua TGTE, Visuvanathan Rudrakumaran yang merupakan seorang peguam di New York yang juga penduduk tetap Amerika Syarikat.

Empat jam rekod keterangan

Sementara itu, Ramasamy yang juga anggota veteran DAP, semasa ditemui media memberitahu bahawa sesi merekodkan keterangan selama lebih empat jam itu adalah berkisar kepada penulisan dua artikel oleh beliau yang disiarkan di laman portal berita tempatan, serta dua buah klip video ucapannya pada 2009 dan 2010.

“Penulisan yang disoal polis adalah artikel bertajuk 'Kerajaan Baharu Tapi Polis Masih Pada Takuk Lama' yang disiarkan laman Malaysia Gazette pada 17 September 2019, dan artikel berbahasa Inggeris bertajuk 'Siapa Saya, Pendamai atau Pengganas' yang disiarkan laman portal berita Malaysiakini pada 22 September lalu.

"Mereka (polis) juga menyoal mengenai ada dua klip video, serta mengenai beberapa laporan polis yang dibuat keatas saya. Saya telah menjawabnya, kerana tidak ada apa-apa untuk disembunyikan,” tambah beliau.

Ramasamy turut mendakwa portal berita Malaysia Gazette menyiarkan satu artikel yang memetik penulisan beliau dari laman media sosial Facebooknya yang penterjemahan telah mengelirukan pembaca.

"Walaupun saya tidak setuju dengan cara penterjemahan Malaysia Gazette... Saya merasakan artikel dalam Facebook saya telah dijemah secara menyeleweng serta memberikan gambaran yang sangat kritital jika dibandingkan dengan penulisan asal di Facebook, yang tidak begitu,” katanya di luar Bukit Aman.

Dalam artikel yang disiarkan oleh Malaysia Gazette, Ramasamy dipetik sebagai mengeluarkan komen mempersoalkan tindakan polis menembak mati tiga lelaki di Batu Arang, Rawang di Selangor pada September lalu.

Manakala artikel beliau yang disiarkan di laman portal Malaysiakini pula adalah berkenaan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan berhubung isu LTTE di Malaysia.

Ramasamy yang juga Adun kawasan Prai, Pulau Pinang itu turut mendakwa yang klip video ucapannya di Chennai, India telah diputarbelit pihak tertentu bagi menggambarkannya sebagai  penyokong LTTE dan pengganas.

Ramasamy bukanlah pemimpin DAP pertama yang dikaitkan dengan LTTE, sebelum ini dua Adun DAP Melaka dan Negeri Sembilan telah ditahan polis dalam dua siri operasi yang dijalankan Bahagian Pencegahan Keganasan Bukit Aman pada 10 dan 12 Oktober lepas.

Mereka adalah antara 12 orang yang ditahan dalam kedua-dua operasi berkenaan yang dijalankan di tujuh negeri, iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pada petang Isnin, seramai lima orang daripada mereka yang ditahan itu, termasuk Saminathan dan Gunasekaran serta dua lagi ahli DAP, telah memfailkan permohonan habeas corpus melalui satu pasukan peguam diketuai pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh.

Kesemua mereka ditahan selama 28 hari di bawah peruntukan Sosma sejak tarikh mereka ditahan polis.

Sementara itu, seorang lagi tahanan yang ditangkap di Sungai Buloh pada 10 Oktober telah terlebih dahulu memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada minggu lalu melalui peguamnya.


Ali Nufael di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada artikel ini



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.