Follow us

COVID-19: Malaysia Tambah RM10 Bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Bantu Peniaga Kecil

Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-04-06
E-mel
Komen
Share
Anggota polis dan tentera Malaysia sedang membuat kawalan di sekitar bangunan Menara One City selepas Putrajaya mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di menara tersebut apabila lebih 15 penghuni di situ dijangkiti virus COVID-19 di Kuala Lumpur,  5 Apr, 2020.
Anggota polis dan tentera Malaysia sedang membuat kawalan di sekitar bangunan Menara One City selepas Putrajaya mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di menara tersebut apabila lebih 15 penghuni di situ dijangkiti virus COVID-19 di Kuala Lumpur, 5 Apr, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pentadbiran Putrajaya pada Isnin mengumumkan tambahan sebanyak RM10 bilion (AS$2.3 bilion) lagi dalam pakej rangsangan ekonomi negara bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi impak ekonomi akibat wabak Covid-19, dengan Kementerian Luar Negeri berkata 161 tabligh Malaysia dikuarantin di India selepas menghadiri perhimpunan keagamaan di Ibupejabat Tablighi Jamaati di New Delhi, bulan lepas.

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia juga mengumumkan wujudnya dua kluster wabak COVID-19 selepas kluster tabligh Sri Petaling, iaitu perjumpaan besar-besaran di sebuah gereja di Kuching, Sarawak dan majilis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor sehingga menyebabkan kematian akibat daripada virus tersebut.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang tampil secara langsung di semua platform media pada Isnin mengumumkan mengenai pakej rangsangan yang dinamakan Prihatin Tambahan dengan kerajaan memperuntukkan tambah RM10 bilion lagi kepada pakej ransangan RM250 bilion yang diperkenalkan baru-baru ini.

“Pakej tambahan berjumlah RM10 bilion ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan PKS dan seterusnya menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini untuk terus mendapat pekerjaan,

"PKS merupakan tunjang utama ekonomi negara dan hampir 40 peratus kepada ekonomi. Oleh itu, adalah penting kita pastikan sektor PKS dapat terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda kita semua pada waktu ini," kata Perdana Menteri itu.

Dengan jumlah tambahan itu, Pakej Rangsangan Ekonomi kini mencecah RM260 billion (AS$59.6 billion)

Menerusi pakej rangsangan tambahan, Putrajaya menaikkan peruntukan bagi program subsidi upah yang sebelum ini berjumlah RM5.9 bilion(AS$1.35 bil) kepada RM13.8 bilion(AS$3.16 bil), iaitu pertambahan sebanyak RM7.9 bilion(AS$1.8 bil).

Inisiatif berkenaan bakal membolehkan semua PKS yang menggajikan pekerja tempatan dengan gaji bawah RM4,000 (AS$916) dengan setiap seorang menerima bantuan subsidi upah mengikut kategori yang ditetapkan kerajaan bagi tempoh tiga bulan.

Sementara itu, penganalisa dari Jabatan Strategi Perniagaan dan Polisi di Universiti Malaya, Mohd Nazari Ismail memuji pakej tambahan berkenaan sebagai bantuan komprehensif yang bakal mengurangkan keperitan kewangan pengusaha kecil di Malaysia.

"Pada pendapat saya, kerajaan tiada banyak pilihan kerana terlalu banyak perniagaan kini dalam masalah, dan jika mereka tidak dibantu, kadar pengangguran akan jadi begitu tinggi dan seterusnya mengakibatkan masalah ekonomi dan sosial. Dari segi politik pula, kerajaan perlu membuat pakej seumpama ini supaya disenangi pengundi," kata Nazari kepada BeritaBenar.

Namun, tambahnya, ia adalah langkah penyelesaian jangka pendek, dan mempunyai implikasi jangka panjang terhadap ekonomi negara yang perlu dihadapi kerajaan kelak.

Sentimen yang sama turut dikongsi Oh Ei Sun, penganalisa di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, yang mengatakan bahawa pakej Prihatin Tambahan bakal membantu PKS bagi tempoh tiga bulan akan datang tetapi nasib mereka seterusnya masih kelabu.

"Bantuan ini membantu, tetapi selepas itu kita tidak tahu samada mereka mampu bertahan atau tidak. Ia bagus untuk jangka waktu terdekat, tetapi masa depan tetap tidak diketahui," katanya kepada BeritaBenar.

Rakyat Malaysia dikuarantin di India


Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Kamarudin Jaffar mengesahkan yang Wisma Putra telah menerima laporan mengenai 161 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di New Delhi bulan lepas, telah ditahan pihak berkuasa India di pusat-pusat kuarantin negara tersebut bagi mengekang risiko penularan COVID-19.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 126 ditempatkan di pusat-pusat kuarantin di New Delhi, manakala selebihnya di beberapa negeri lain.

"Wisma Putra juga telah mengambil maklum berhubung penahanan beberapa rakyat Malaysia yang sepatutnya menaiki penerbangan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi semalam oleh pihak berkuasa India.

"Penahanan tersebut adalah ekoran daripada keputusan Kerajaan India untuk melaksanakan proses kuarantin keatas semua rakyat asing yang menyertai perhimpunan tabligh di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Perhimpunan tabligh itu menjadi sasaran pihak berkuasa India selepas penganjurnya tetap meneruskan program tersebut walaupun dalam situasi runcing penularan COVID-19, dan sekaligus menyaksikan pertambahan mendadak kes positif di India.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata kluster himpunan gereja di Kuching itu adalah kedua terbesar selepas himpunan tabligh di Sri Petaling, telah menyebabkan 83 dijangkiti dengan dua kematian manakala kluster majlis perkahwinan telah menjangkiti seramai 88 orang.

“Dua  kluster COVID-19 ini didapati berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran.. dan kedua-dua kluster ini melibatkan jangkitan sehingga generasi ke-5,” katanya.

Beliau juga memberitahu Malaysia telah mencatatkan kes positif sebanyak 3,793 dengan 62 kematian sehingga Isnin.

Pelarian Rohingya disaring

Noor Hisham juga memaklumkan bahawa pihak berkuasa kesihatan itu sedang menjalankan saringan ujian COVID-19 terhadap sejumlah 200 pelarian Rohingya yang tiba dengan sebuah bot di perairan Langkawi, Kedah pada Ahad yang kini berada dalam tahanan pengasingan sementara di pulau tersebut.

"Memang betul ada pendaratan pelarian Rohingya (di Langkawi), dan pihak berkuasa sudah mengasingkan mereka. Kita akan jalankan ujian pengesanan COVID-19 dan saringan ke atas mereka," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Seramai 202 etnik Rohingya ditahan pihak berkuasa maritim Malaysia sebaik sahaja tiba berhampiran Teluk Nibung, Langkawi lebih kurang 8.45 pagi Ahad.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Kapten Zulinda Ramly berkata kesemua pelarian tersebut ditahan bersama sebuah bot kira-kira 1.2 batu nautika dari pantai teluk berkenaan.

"Bot itu membawa 202 orang termasuk 152 lelaki, 45 wanita dan lima kanak-kanak. Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia negeri Kedah dan Perlis di Bukit Malut," kata beliau.

Menurut pegawai berkenaan, kesemua pelarian itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana memasuki negara secara haram, manakala APMM sedang menyiasat mengenai empat orang ahli sindiket penyeludupan manusia yang dikatakan telah berjaya melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada Isnin juga berkata pasukan polis memperketatkan kawalan di sempadan darat dan airnya, termasuk di Sabah dan Sarawak dengan menambah 2,500 lagi anggota di perbatasan dalam usaha mengekang penularan virus.

"Buat masa ini kita mempunyai 2,500 orang pegawai dan pegawai pangkat rendah yang bertugas mengawal, meronda di perbatasan dan juga di pantai-pantai di Semenanjung dan juga di Sabah dari bahaya dilanda gelombang ketiga penularan virus COVID-19 yang datang luar terutamanya daripada jalan-jalan tikus," katanya.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.




Lihat Laman Penuh