Rasuah: Setiausaha Politik Bekas Menteri Didakwa di Mahkamah

Nisha David
2020.10.15
Kuala Lumpur, Malaysia
201015-MY-Azhar.jpg Mohd Azhar Che Mat Dali (bergari), bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu diiring anggota polis selepas pertuduhan dibacakan keatasnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 15 Oktober, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia pada Khamis mendakwa bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Malaysia dengan lima pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.35 juta (AS$1.52 million) bagi membantu sebuah syarikat kontraktor untuk mendapatkan projek di kementerian itu, pada tahun lalu.

Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah keatas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi dengan beliau didakwa meminta suapan bagi mendapatkan kontrak bagi projek bagaian perisikan Kementerian Pertahanan Malaysia.

"Anda didakwa meminta suapan RM5 juta (AS$1.2 juta) daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Senggaraan Bagi Peralatan Perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan Malaysia.

"Anda didakwa melakukan kesalahan ini di Hotel Le Apple Boutique di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 22 Julai 2019," kata jurubahasa ketika membacakan pertuduhan terhadap Mohd Azhar dalam Bahasa Melayu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Mohd Azhar adalah setiausaha politik kepada Mohamad Sabu, ketika Presiden Parti Amanah Negara itu memegang jawatan Menteri Pertahanan sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Bagi empat pertuduhan menerima rasuah pula, Mohd Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM1.35 juta (AS$342, 000) daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy dan beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antara September 2019 dan Februari 2020.

Lima pertuduhan ke atas Mohd Azhar dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000(AS$2,406), mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dilakukan di Mahkamah Kuala Lumpur, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, menawarkan jaminan RM500,000 (AS$120,351) dengan seorang penjamin, berserta syarat perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang berhubung atau mengganggu dengan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

"Mengambil kira pertuduhan yang dihadapi tertuduh RM6.35 juta, jumlah jaminan RM500,000 amat memadai kerana kes ini adalah kes yang tidak boleh dijamin," katanya di mahkamah.

Bagaimanapun peguambela tertuduh, Ariff Azami Hussien memohon jaminan dikurangkan kerana Mohd Azhar tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia sebelum ini.

"Anak guam saya juga menanggung tujuh anak yang masih bersekolah dan ibu mertua yang sudah uzur. Tertuduh juga tidak mempunyai risiko melarikan diri dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan, tertuduh diikat jamin RM300,000 (AS$72,000) dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri bermula November ini di pejabat SPRM pada setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
"Saya membenarkan Mohd Azhar membayar separuh jumlah jaminan hari ini (Khamis), manakala selebihnya dibayar pada minggu hadapan. Anda juga tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai," katanya di mahkamah dan menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Siasat status muflis

Sementara itu, BeritaBenar dimaklumkan oleh sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bahawa agensi itu mula membuka kertas siasatan ke atas setiausaha politik tersebut sekitar 2018 selepas menerima laporan daripada orang awam yang beliau menerima lebih RM800,000 (AS$187,362) dari pihak lain untuk menyelesaikan statusnya yang muflis.

"Setiausaha politik itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi pada tahun 2014 hingga Mei 2018, sebelum beberapa individu membuat bayaran kepada jabatan berkenaan bagi menyelesaikan hutang setiausaha politik itu.

"Disebabkan itu, siasatan dimulakan SPRM ke atas individu terbabit. Lebih 10 individu lain sudah dirakam keterangan pada tahun 2018 dan kali ini, selepas mendapat bukti baru, kes ini disiasat dengan lebih lanjut," katanya kepada BeritaBenar.

SPRM juga turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 (AS$16,845) serta dokumen berkaitan projek berkenaan ketika membuat penahanan ke atas suspek pada Julai tahun ini.

Ketika penahanan pertama dilakukan ke atas Mohd Azhar, Mohamad Sabu enggan memberi sebarang komen sebaliknya penahanannya disahkan oleh Amanah, di mana Mohamad Sabu adalah Presidennya melalui kenyataan media.

“Setiausaha politik Presiden Amanah telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan atas tuduhan rasuah. Susulan dari itu SPRM telah melakukan operasi pengeledahan di ibu pejabat parti di Wisma Amanah Negara,” menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti itu Mohd Hatta Md Ramli pada Julai lalu.

Sebelum ini, pada Ogos lalu, SPRM menyatakan siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti jika wujudnya elemen rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan dalam penganugerahan 101 projek bernilai RM6.61 bilion (AS$1.58 bilion) yang dibuat secara rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Putrajaya selama 22 bulan sebelum ini.

Malah, sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan Malaysia, beberapa pemimpin PH sudah didakwa di Mahkamah atas kesalahan rasuah.

Ini termasuk bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, dan juga bekas pembantu kanan kepada menteri yang sama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.