Adun DAP Pulau Pinang Bebas Tuduhan Hasutan

S. Adie Zul
2016.07.28
Pulau Pinang
160728-my-rayer-620 Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bersama peguam Gobind Singh Deo, ADUN Seri Delima, R.S.N Rayer dan seorang lagi peguam Ramkarpal Singh di luar Mahkamah Seksyen Georgetown selepas Rayer dibebaskan dari pertuduhan hasutan, 28 Julai 2016.
[S. Adie Zul/BeritaBenar]

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dari parti pembangkang DAP,  R.S.N Rayer, yang mencetuskan kontroversi mengungkapkan perkataan 'UMNO celaka' dalam sidang DUN dua tahun lalu, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Seksyen Georgetown pada Khamis daripada pertuduhan menghasut.

Hakim Ibrahim Osman membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima-facie terhadap ADUN Seri Delima itu pada akhir pendakwaan.

Dalam hujah penghakimannya, Ibrahim berkata mahkamah mendapati perkataan'UMNO celaka' yang diungkap oleh Rayer dalam persidangan DUN tidak termasuk sebagai satu kecenderungan menghasut.

"Mahkamah mendapati bahawa ucapan tertuduh tidak merujuk mana-mana kaum atau segolongan orang malah secara jelas hanya merujuk kepada individu-individu secara spesifik iaitu Reezal Merican Naina Merican dan Shabudin Yahaya.  

"UMNO adalah sebuah parti politik yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan sama seperti pertubuhan lain seperti DAP, PAS, PKR dan lain-lain. Kenyataan terhadap sesebuah parti politik itu tidak boleh disifatkan sebagai perkataan kepada sesuatu kaum tertentu atau golongan yang tertentu.

"Mahkamah berpandangan bahawa kenyataan terhadap sesuatu kaum mestilah jelas ataupun tersurat bukannya secara tersirat. Jika mahkamah ini menerima sesebuah parti politik sebagai khusus untuk kaum yang tertentu sahaja, perkara sedemikian sudah tentu akan memberi kesan negatif dan boleh membawa implikasi yang tidak sihat," ujarnya ketika membaca penghakimannya.

Rayer, yang juga seorang peguam, dihadapkan ke mahkamah pada 27 Ogos 2014 atas kesalahan menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei 2014.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rayer diwakili oleh barisan peguam diketuai Gobind Singh Deo manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim dan Farah Aimy Zainul Anwar.

Turut hadir di mahkamah bagi mengikuti keputusan tersebut adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP.

Kewarasan akal ditegakkan

Rayer berkata dia gembira kerana keadilan dan budi bicara telah diberikan kepentingan di dalam keputusan mahkamah.

"Saya merasa gembira kerana keadilan dan budi bicara telah diutamakan pada hari ini," ujarnya ringkas kepada BeritaBenar. Beliau enggan mengulas lanjut.

Mengulas keputusan mahkamah membebaskan Rayer, Adun Padang Lalang yang juga dari parti DAP, Chong Eng berpendapat pertuduhan terhadap Rayer sepatutnya tidak berlaku dari awal.

"Jika seorang menuding jari kepada saya dan menuduh sesuatu kepada saya bermakna perkataan tersebut ditujukan kepada saya. Jadi adalah tidak betul jika ia diperbesarkan sebagai penghinaan kepada kaum Cina,” ujarnya kepada BeritaBenar.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Sesyen Georgetown turut membebaskan Rayer dari satu lagi pertuduhan berasingan atas dakwaan mengeluarkan perkataan berbaur hasutan dalam satu ceramah awam di Island Glades, pada 22 Mei 2014.

Mahkamah telah memutuskan pihak pertuduhan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Kenyataan Rayer dalam sidang DUN pada Mei 2014 itu telah mencetuskan bantahan di kalangan penyokong-penyokong Umno dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang cenderung kepada parti itu.

Kemuncak kepada bantahan itu adalah apabila sekumpulan 15 ahli Umno dan ahli-ahli NGO merempuh masuk ke premis bangunan Dewan Undangan Negeri pada 21 Mei 2014 untuk mendesak permohonan maaf dari Rayer, sekaligus mencetuskan kekecohan.

Susulan kejadian itu, 15 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown pada 19 Jun 2014  atas pertuduhan dengan niat untuk menceroboh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Kesemua mereka mengaku bersalah dan dikenakan denda RM1,500.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.