Rayhan Kabir Bersuara Untuk Migran di Malaysia, Kata Penyokongnya

Nisha David, Kamran Reza Chowdhury & John Bechtel
2020.08.07
Kuala Lumpur, Dhaka & Washington
200807-MY-BD-rayhan-620.jpg Rakyat Bangladesh, Rayhan Kabir, ditahan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Kuala Lumpur, 24 Julai 2020.
(Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia)

Seorang lelaki Bangladesh yang ditemu ramah dalam laporan media mengenai nasib migran di Malaysia semasa pandemik koronavirus telah ditahan dan berdepan pengusiran, dengan para pengkritik menyifatkan tindakan itu sebagai tamparan hebat kepada kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara di negara itu.

Rayhan Kabir, 25, telah ditahan sejak 24 Julai dan disenaraihitamkan di Malaysia serta dijadual untuk dihantar pulang ke negaranya walaupun ketua imigresen Malaysia menyatakan beliau tidak tahu bila ia akan dilakukan.

"Penerbangan paling awal ke Bangladesh adalah pada 31 Ogos," kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, pada sidang media Khamis, ketika ditanya mengenai penghantaran pulang Rayhan ke negaranya.

Seorang pegawai imigresen yang enggan dikenali memberitahu BeritaBenar bahawa Rayhan telah "melanggar permit kerjanya" dan atas sebab itulah permit tersebut dibatalkan. Tetapi, para pegawai juga menggambarkannya sebagai "tidak diingini" berada di Malaysia.

“Di bawah Akta Imigresen 1959/63, ketua pengarah Imigresen boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang dirasakan tidak diingini di negara kita. Itulah penjelasan saya,” kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada persidangan Dewan Rakyat awal minggu ini, semasa menjawab pertanyaan seorang Ahli Parlimen mengapa Rayhan ditahan.

“Kita boleh menghantar pulang sesiapa sahaja yang tidak diingini. Dia tidak diingini,” kata menteri itu.

Rayhan, anak lelaki tukang jahit pakaian, mengunjungi Malaysia enam tahun lalu untuk bekerja dan belajar serta memperoleh ijazah dan mendapat pekerjaan tetap pada 2019, menurut bapanya.

Tetapi, kehidupannya berubah dengan ketara selepas dia dipaparkan dalam dokumentari Al Jazeera yang berdurasi selama 25 minit, apabila dia menuduh kerajaan, atas alasan memberi bantuan serta melakukan saringan COVID-19 kepada migran, menahan mereka yang tanpa dokumen dan ditempatkan di pusat-pusat tahanan.

“Mereka perangkap kami. Mereka beri makanan, beri ubat. Semua ini mereka berikan," kata Rayhan kepada wartawan dalam diokumentari "Locked Up in Malaysia's Lockdown." Dia juga dilihat cuba mengunjungi rakannya yang dalam tahanan dan bercakap dengan peguam mengenai cara membantu rakannya.

"Tiada siapa sangka mereka akan tangkap orang. Mereka (migran) bukan pembunuh. Mereka bukan penjenayah. Mereka hanya tiada dokumen," katanya.

Dengan menganggap dokumentari itu sebagai "tidak berasas" dan mungkin mencemarkan imej negara, pihak berkuasa Malaysia melancarkan siasatan terhadap Al Jazeera dan memburu Kabir. Alamatnya dikeluarkan oleh pihak imigresen, dan ancaman terhadapnya melonjak di media sosial. Rayhan akhirnya dapat ditangkap pada 24 Julai.

    Rayhan Kabir (Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia)

Sedia pulang

Seorang peguam Rayhan menyatakan bahawa anak guamnya telah dilayan dengan baik semasa dalam tahanan, tetapi dia sudah bersedia untuk pulang.

"Kami telah diberi kepercayaan oleh keluarga Rayhan di Bangladesh supaya memastikan kepulangannya secepat mungkin," kata peguam C.R. Selvaraja. "Kami telah meminta semakan keputusan penghakiman pada Khamis yang membolehkan Jabatan Imigresen untuk menahan reman Rayhan selama 13 hari lagi."

Di Bangladesh, Shah Alam berkata anak lelakinya, yang ke Kuala Lumpur enam tahun lalu untuk menuntut di kolej undang-undang selepas menamatkan pengajian sekolah menengah di negaranya, telah menjadi suara untuk orang lain sepanjang hidupnya.

"Saya sering memberitahunya supaya jangan terlalu lantang bersuara. Tetapi, dia berkata kepada saya, 'jika kita mahu melakukan sesuatu yang baik untuk orang lain, kita perlulah bercakap benar dan menanggung sedikit masalah,'" kata Shah Alam kepada BeritaBenar mengenai Rayhan. "Saya bimbangkan anak saya, tetapi saya juga bangga dengannya. Anak saya bercakap untuk orang lain, bukan untuk kepentingan dirinya."

Rayhan bekerja sambilan sambil mengikuti jurusan perdagangan dan bukannya undang-undang, serta menghantar pulang wang setiap bulan, kata bapanya. Dia melanjutkan pengajiannya pada 2019.

"Tiga hingga empat bulan lalu, dia mendapat pekerjaan sepenuh masa di jabatan akaun sebuah syarikat di Kuala Lumpur," kata Shah Alam.

Menteri luar Bangladesh menyatakan diplomat di Kuala Lumpur sedang membantu Rayhan.

"Setiap kali rakyat Bangladesh ditangkap di mana-mana negara, kami sebagai kerajaan melalui kedutaan kami akan meminta akses konsular untuk individu berkenaan dan melantik peguam. Kerajaan Malaysia memberi kami akses konsular untuk Rayhan Kabir,” kata Menteri Luar Negeri Abdul Momen kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Shariful Hasan, ketua unit migrasi NGO Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar Bangladesh (BRAC), menganggap Rayhan sebagai paling menonjol dalam kalangan warganegara Bangladesh yang ditangkap di luar negara.

"Kami telah melihat banyak ekspatriat Bangladesh ditahan di luar negara, tetapi Rayhan Kabir yang paling menonjol antara semua," kata Shariful kepada BeritaBenar. "Dia ditangkap bukan kerana melakukan jenayah tetapi kerana bersuara mengenai dasar diskriminasi kerajaan Malaysia terhadap pekerja migran. Dia bersuara untuk orang lain.

"Kami berharap pihak berkuasa Malaysia akan membebaskannya dan membiarkannya pulang ke Bangladesh dengan bermaruah," katanya.

Kumpulan antarabangsa juga memperhatikan kes Rayhan, termasuk Human Rights Watch, menyatakan bahawa Malaysia bukan sahaja perlu membebaskannya tetapi membenarkan lelaki itu mendapatkan semula permit kerjanya.

"Tindakan pihak berkuasa Malaysia terhadap Rayhan menghantar isyarat menakutkan kepada semua pekerja migran bahawa bersuara tentang pencabulan hak asasi adalah risiko untuk ditangkap, dihantar pulang, dan disenarai hitam dengan sewenang-wenangnya," kata Phil Robertson, wakil pengarah Asia HRW.
"Penangkapan sumber dalam sebuah dokumentari adalah serangan dahsyat terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia."

 

Nani Yusof dan Ashif Entaz Rabi di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.