Malaysia Usir Rakyat Bangladesh Dalam Dokumentari Al Jazeera
2020.08.21
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia mengusir seorang migran Bangladesh pada Jumaat malam setelah menahannya hampir sebulan tanpa membuat sebarang pendakwaan, berikutan kemunculannya dalam sebuah dokumentari berita TV asing di mana beliau mendakwa pihak berkuasa tempatan melakukan penganiayaan terhadap pekerja asing semasa pandemik COVID-19.
Rayhan Kabir, 25 yang diiringi pihak berkuasa imigresen Malaysia dengan tangan bergari dari pusat tahanan imigresen ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki penerbangan lewat malam ke Dhaka, ibu negara Bangladesh.
Lelaki itu berada dalam tahanan Jabatan Imigresen selepas ditangkap pada 24 Julai, tiga minggu setelah dia muncul dalam dokumentari Al Jazeera yang membangkitkan kemarahan masyarakat di Malaysia.
Beliau telah disenaraihitamkan sebagai orang "tidak diingini” oleh kerajaan Malaysia selepas Al Jazeera menyiarkan dokumentari itu. Tetapi, pegawai Malaysia tidak pernah menyatakan bahawa penahanannya adalah berkaitan dengan apa yang diperkatakannya dalam segmen berita TV berkenaan.
Di Bangladesh, Rayhan bertemu kembali dengan keluarganya selepas penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal kira-kira 12.55 pagi (waktu tempatan), kata bapanya.
"Saya sudah terima anak saya. Rayhan Kabir ada bersama saya,” kata Shah Alam kepada BeritaBenar.
Sebelum itu, keluarga Rayhan telah berada di lapangan terbang Dhaka untuk menyambut kepulangannya dengan bapa dan ibunya amat menantikan ketibaan anak mereka itu.
"Kami gembira kerana akhirnya anak saya pulang," katanya kepada BertaBenar. "Saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghantarnya pulang dan melayannya dengan baik. Anak saya tidak melakukan sebarang jenayah. Dia dan kami menderita kerana bercakap tentang perkara sebenarnya."
Pada awal Jumaat, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud mengeluarkan kenyataan pendek yang mengesahkan bahawa Rayhan akan dihantar pulang dalam beberapa jam lagi.
"Ujian COVID-19 juga dilakukan ke atas Rayhan dan hasilnya negatif. Kedutaan Bangladesh membeli tiket penerbangannya pada Rabu malam," kata sumber Imigresen Malaysia kepada BeritaBenar, sambil memberitahu bahawa Rayhan dihantar pulang lebih awal daripada yang dirancangkan pada 31 Ogos kerana perintah tahanan remannya sudah tamat. Sumber itu meminta namanya tidak disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan wartawan bagi pihak jabatan itu.
‘Perangkap untuk kami’
Kehidupan Rayhan berubah secara drastik selepas dia ditampilkan dalam dokumentari Al Jazeera selama 25 minit pada 3 Julai. Dokumentari itu mendakwa bahawa kerajaan, atas alasan memberikan bantuan dan melakukan ujian COVID-19 kepada migran, sebaliknya menahan mereka yang tanpa dokumen dan dihantar ke pusat-pusat tahanan.
“Mereka perangkap kami. Mereka beri makanan, mereka beri ubat. Semua ini mereka berikan," kata Rayhan kepada wartawan dalam dokumentari berjudul "Locked Up in Malaysia's Lockdown. "
Dalam dokumentari itu, dia juga dilihat cuba mengunjungi rakannya yang dalam tahanan dan bercakap dengan peguam mengenai cara untuk membantu rakannya itu.
"Tiada siapa yang menyangka mereka (pihak berkuasa) akan membuat tangkapan. Mereka (imigran) bukan pembunuh. Mereka bukan penjenayah. Mereka hanya tidak ada dokumen,” kata Rayhan kepada wartawan Al Jazeera.
Kerajaan Malaysia menyifatkan dakwaan Rayhan itu sebagai "tidak berasas" dengan menyatakan dokumentari itu akan mencemarkan imej negara. Berikutan itu, pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap Al Jazeera dan memburu Rayhan.
Pegawai Imigresen menyiarkan alamat Rayhan kepada umum sehingga menimbulkan ancaman terhadapnya di media sosial.
"Di bawah Akta Imigresen 1959/63, Ketua Pengarah Imigresen boleh mengambil tindakan terhadap setiap rakyat asing yang dirasakan tidak diingini di negara kita," kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada persidangan Parlimen pada awal Ogos, semasa beliau menjawab pertanyaan seorang Anggota Parlimen tentang mengapa Rayhan ditahan.
"Kita boleh menghantar pulang sesiapa sahaja yang tidak diingini. Dia tidak diingini,”katanya.
Pada 6 Ogos, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamad mengumumkan bahawa Bukit Aman telah menyelesaikan siasatan terhadap Rayhan dan menyerahkan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara. Pihak berkuasa menyatakan bahawa Rayhan ditahan kerana melanggar permit kerjanya dan bukan kerana komennya dalam dokumentari tersebut.
Dua hari sebelum itu, polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyerbu pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur dan dua stesen penyiaran tempatan di mana mereka mendapatkan beberapa peralatan untuk dianalisis.
Serbuan itu dikaitkan dengan kemungkinan kes hasutan dan fitnah Al Jazeera, kata pegawai ketika itu.
Pada Jumaat di Dhaka, Imran Ahmad, menteri Bangladesh yang bertanggung jawab bagi kesejahteraan ekspatriat, memuji usaha kerajaan Malaysia untuk memaklumkannya dan pegawai lain mengenai kes Rayhan.
"Dengan kepulangannya secara hormat dan selamat, isu ini akhirnya selesai. Anda, pihak media, yang menggembar-gemburkan isu ini,” kata Ahmad kepada BeritaBenar.
"Hubungan Bangladesh-Malaysia adalah amat baik. Isu Rayhan Kabir sama sekali tidak akan merosakkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, ”katanya.
Rayhan Kabir (kiri) bersama-sama ibunya, Rasheda Begum, dan bapanya, Shah Alam, di kediaman mereka di bandar Narayanganj, Bangladesh, dalam foto tidak bertarikh ini. [Ihsan keluarga Rayhan Kabir]
Tiada tuduhan jenayah terhadap Rayhan
Peguam yang dilantik oleh keluarga Rayhan untuk mewakilinya di Malaysia menyatakan bahawa anak guam mereka dihantar pulang kerana dia dianggap sebagai pendatang tanpa dokumen setelah visa kerjanya dibatalkan, sambil memberitahu dia tidak menghadapi sebarang pertuduhan jenayah.
"Permit kerjanya dibatalkan kerana ia dikeluarkan untuk membolehkannya bekerja di sebuah syarikat pembinaan, tetapi sebenarnya, dia bekerja dengan sebuah syarikat produksi, jadi dia telah melanggar syarat-syarat permit kerjanya," kata peguam Sumitha Shaanthinni Kishna dan C.R. Selva. Firma produksi itu, yang bukannya Al Jazeera, terlibat dalam menghasilkan kandungan hiburan seperti filem dan video muzik, kata peguam berkenaan.
"Dengan pembatalan permit itu, Rayhan dianggap tidak berdokumen. Dia tidak boleh berada di Malaysia,”kata peguam dalam kenyataan.
Shariful Hasan, ketua unit migrasi NGO Kemajuan Luar Bandar Bangladesh (BRAC) menyatakan bahawa organisasinya akan menyokong Rayhan selepas dia pulang ke negara mereka.
“Dengan lantang bersuara, Rayhan Kabir menjadi suara bagi semua pekerja migran yang ditindas di Malaysia. Dia tidak melakukan jenayah - bercakap dengan pihak media bukannya perbuatan jenayah,” kata Hasan kepada BeritaBenar.
"Pengusiran Rayhan Kabir secara hormat adalah kemenangan bagi kebenaran," katanya.
Kamran Reza Chowdhury di Dhaka turut menyumbang kepada laporan ini.