Follow us

Pegawai Pemerintah Tidak Dibenar Kembali Bertugas Selepas Temui Kem Pemerdagangan Manusia

Radzi Razak
Putrajaya, Malaysia
2019-04-18
E-mel
Komen
Share
Reaksi bekas Pegawai Pemerintah Medan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia Sivanganam 
@Thirumugan Sathisivam selepas memberi keterangan berhubung penemuan kem pemerdagangan manusia pada 2015 berhampiran Wang Kelian semasa satu sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan DiRaja di Putrajaya, Malaysia, 18 April 2019.
Reaksi bekas Pegawai Pemerintah Medan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia Sivanganam @Thirumugan Sathisivam selepas memberi keterangan berhubung penemuan kem pemerdagangan manusia pada 2015 berhampiran Wang Kelian semasa satu sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan DiRaja di Putrajaya, Malaysia, 18 April 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang pegawai pemerintah medan di Malaysia memberi keterangan pada Khamis bahawa beliau telah diarah menjauhkan diri dari sebuah kem pemerdagangan manusia dan kubur besar etnik Rohingya dan Myanmar yang ditemui berhampiran sempadan Thailand pada Januari 2015, selepas dia menyerahkan satu laporan mengandungi dakwaan berkaitan pembabitan pihak berkuasa tempatan.

Deputi Superintendan (B) Sivanganam (atau Thirumugan Sathisivam) adalah pegawai pemerintah medan bagi Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia di kawasan di mana kem dalam hutan berhampiran Wang Kelian ditemui pada 19 Jan 2015.

Atas sebab-sebab yang masih tidak jelas, polis hanya mendedahkan penemuan kem itu lebih tiga bulan kemudian, beberapa hari selepas penemuan ngeri dan menggemparkan kubur besar di sebuah kem pemerdagangan manusia yang serupa di sempadan sebelah Thailand yang menjadi tajuk utama akhbar di peringkat antarabangsa

“Saya telah dilarang kembali ke kawasan itu dan apabila unit itu ditugaskan semula ke lokasi terbabit, saya tidak dibenarkan turut serta,” kata Sivanganam semasa memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada hari kedua pendengaran dan siasatan ke atas situasi yang membawa kepada penemuan 106 mayat di sebuah kem di Wang Kelian pada Mei 2015.

RCI berkenaan, yang ditubuhkan kerajaan baharu Malaysia pada awal Mac dan diberikan tempoh selama enam bulan untuk mengemukakan laporan, dijadual mendengar keterangan seorang ketua polis daerah dan seorang pegawai cawangan khas apabila ia disambung semula pada 22 April, namun anggota panel itu tidak menyatakan sama ada pendengaran tambahan akan diitetapkan.

Beberapa minggu selepas pembentukan RCI berkenaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan kumpulan aktivis perundangan Fortify Rights mempersoal tindakan pihak berkuasa yang menunggu begitu lama untuk membenarkan mayat yang ditemui di dalam hutan dibawa keluar. Kumpulan itu telah mengeluarkan satu laporan bersama setebal 121 muka surat, “Sold Like Fish,” berdasarkan siasatan mereka selama bertahun-tahun dan lebih 270 temu bual, yang mendakwa kelewatan itu telah menghalang satu siasatan yang sewajarnya dilakukan.

‘Pendatang asing tidak berdokumen’

Ketika penemuan kem berhampiran Wang Kelian di utara negeri Perlis, pihak berkuasa telah menahan 38 lelaki yang disyaki sebagai “pendatang asing tidak berdokumen” namun tidak mengaitkan mereka dengan penyeludup manusia.

Apabila umum akhirnya mengetahui tentang kem dan kubur terbabit pada Mei 2015, laporan ketika itu meyebut bahawa kem tersebut mempunyai tempat kurungan yang mungkin digunakan bagi menempatkan mangsa pemerdagangan, termasuk etnik Rohingya dan Bangladesh.

Beberapa hari sebelum itu pada bulan yang sama, para pegawai Thailand telah mengumumkan bahawa kubur serupa telah ditemui di sebuah kem yang telah ditinggalkan dalam hutan di sebelah kawasan mereka yang bersempadan dengan Malaysia. Sejak itu, kerajaan Thailand telah membicarakan 102 individu dan mensabitkan 62 daripada mereka, termasuk seorang bekas jeneral tiga bintang.

Di Malaysia, pihak berkuasa di bawah kerajaan sebelum ini telah menahan 12 pegawai polis dan beberapa warga asing berhubung kes Wang Kelian. Bagaimanapun pada 2017,Menteri Dalam Negeri ketika itu yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita bahawa para pegawai polis terbabit telah dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Empat warga asing – dua rakyat Myanmar serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan Thailand – telah disabitkan dengan kesalahan menyeludup manusia dan dihukum penjara.

Semasa pendengaran hari pertama pada Rabu, anggota panel RCI diberitahu bahawa anggota PGA telah menemui kem itu dengan mengikuti jejak manusia dan sungai yang mempunyai buih sabun, yang membawa mereka ke sebatang sungai dan sebuah tapak kem dengan struktur kayu menyerupai menara kawalan dan sebuah kedai.

“Saya juga nampak seorang lelaki, yang dipercayai rakyat Thailand, dalam satu daripada menara itu. Pada ketika ini, saya tidak nampak seorangpun pendatang haram. Bagaimanapun saya mendengar bunyi dari sebuah generator ... Saya ingat mereka sedang memproses dadah di kem itu,” kata anggota PGA Koperal Mat Ten ketika memberi keterangan, menurut laporan akhbar New Straits Times.

Butiran laporan


Dalam keterangannya pada Khamis, Sivanganam berkata beliau telah menyerahkan satu laporan kepada pegawai atasannya pada 22 Jan 2015, yang membabitkan maklumat daripada satu sumber tempatan yang mendakwa bahawa sindiket penyeludupan manusia telah mendekati beliau dan beberapa orang lain untuk meminta bantuan bagi mengangkut mangsa dari kawasan Wang Kelian.

Sumber itu, menurut laporan Sivanganam, telah menunjukkan bahawa seoran peniaga tempatan yang digelar “Aziz” atau “Azim” bertindak sebagai orang tengah bagi membantu dengan pihak berkuasa tempatan di kawasan itu.

“Saya hanya boleh mengenal pasti Aziz sebagai orang tengah. Bagaimanapun saya tidak memeriksa perkara lain,” kata Sivanganam.

“Saya kemudian menyerahkan semua maklumat kepada Briged Utara, Ketua Polis Perlis, Unit Perisikan Sempadan Utara dan Majlis Keselamatan Negara dalam satu laporan kejadian pada 22 Jan 2015.”

Beliau juga berkata telah menghantar laporan itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Sivanganam, yang bersara dari PGA beberapa bulan selepas operasi itu, memberi keterangan bahawa pada Mac 2015 penugasan semula itu adalah sama seperti tugasan rutin yang telah dijalankannya sejak 2009. PGA adalah cawangan infantri ringan Polis Diraja Malaysia.

Ditanya sama ada beliau menyoal pegawai atasannya semasa dikeluarkan daripada tugasan, Sivanganam berkata “Kami hanya menurut perintah.”

Tapak kem dimusnahkan

Selain itu, Sivanganam berkata beliau telah mengambil bahagian dalam pemusnahan tapak kem itu pada 20 Jan 2015. Arahan itu telah diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri kepada komander pasukannya, Joeking M. Marian Anthony. Penemuan kira-kira 30 kubur telah memaksa pasukan itu menghentikan pemusnahan tapak kem tersebut.

“Saya segera mengarahkan pasukan saya agar berhenti. Kami telah membuat laporan mengenai insiden itu di IPD Padang Besar pada 22 Jan. Kami meninggalkan kubur itu untuk ditangani oleh IPK (polis negeri), IPD dan forensik,” katanya kepada penyiasat.

Joeking, yang memberi keterangan sebelum Sivanganam, berkata beliau telah diarah untuk membuang gambar-gambar kem itu beberapa bulan selepas terlibat dalam pemusnahan tapak tersebut.

“Terdapat satu masa antara Mac dan April 2015 di mana saya telah menerima arahan daripada pegawai pemerintah yang meminta sesiapa dalam pasukan itu agar memusnahkan gambar dalam simpanan mereka yang berkaitan dengan Wang Kelian,” kata Joeking sambil menambah pegawai itu “telah meminta agar gambar terbabit disimpan hanya di pejabat batalion berkenaan.”

Lihat Laman Penuh