Suruhanjaya Diraja: Pihak berkuasa Malaysia mampu halang kematian pelarian Rohingya

Kumpulan Fortify Rights telah menarik perhatian ramai kepada satu laporan rahsia oleh kerajaan mengenai kubur besar yang ditemui di sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.
Staf BenarNews
2022.10.18
Washington
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Suruhanjaya Diraja: Pihak berkuasa Malaysia mampu halang kematian pelarian Rohingya Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia memeriksa mayat manusia yang dijumpai di dalam sebuah lubang kubur di Bukit Wang Burma di negeri Perlis pada 26 Mei 2015.
[Mohd Rasfan/AFP]

Pegawai kerajaan Malaysia mampu menghalang kejadian penyeksaan dan kematian mangsa pemerdagangan manusia dari Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar, yang mayat mereka ditemui ditanam beramai-ramai dalam kubur cetek di kawasan hutan sepanjang sempadan negara itu dengan Thailand pada 2015, menurut laporan hasil siasatan yang dijalankan sebuah panel suruhanjaya dilantik kerajaan yang hanya didedahkan kepada umum baru-baru ini.

Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja itu memberitahu media Malaysia pada awal Ogos bahawa laporan setebal 211 muka surat berkenaan, yang telah disiapkan pada 2019, adalah berstatus rahsia dan ia tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi, menurut sebuah kumpulan pemerhati hak asasi manusia yang menarik perhatian ramai kepada laporan itu yang diterbitkan dalam talian baru-baru ini.

"Penderaan dan kematian pendatang asing tanpa izin tersebut sepatutnya mampu dicegah oleh pihak berkuasa dengan mengambil langkah lebih proaktif dalam mengawal sempadan. Ia tidak memerlukan usaha luar biasa untuk mengesan apa yang telah terjadi di Bukit Wang Burma," menurut satu petikan daripada laporan suruhanjaya itu.

"Suruhanjaya ini menyifatkan bahawa kejadian di Wang Kelian, di Perlis itu adalah satu tragedi kemanusiaan yang sepatutnya tidak terjadi pada masa kini," menurut laporan berkenaan.

Fortify Rights, kumpulan hak asasi manusia yang berpusat di Asia Tenggara, ketika menyoroti perhatian terhadap laporan itu menggesa pihak berkuasa Malaysia menyiasat dan mempertanggungjawabkan semua pegawainya yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia ke "kem maut" di Wang Kelian, termasuk mereka yang melakukan kesalahan cuai dalam siasatan polis.

Agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia telah gagal mengikut prosedur operasi standard mereka sendiri dan memberikan impak signifikan terhadap siasatan mereka mengenai situasi di Wang Kelian, kata Fortify Rights pada Selasa, yang memetik laporan suruhanjaya itu.

"Penerbitan laporan itu dalam talian secara tiba-tiba tanpa makluman kepada pemegang taruh utama di negara itu, telah menimbulkan persoalan mengenai kekurangan dalam usaha mendapatkan keadilan dan tanggungjawab terhadap etnik Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam kes ini," kata Matthew Smith, ketua pegawai eksekutif Fortify Rights, dalam satu kenyataan media.

"Sebagai maklum balas kepada hasil dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan untuk memberikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka, kerajaan Malaysia mestilah menyediakan pampasan untuk mereka serta mendakwa para pegawai yang terbabit dengan jenayah dahsyat itu di Wang Kelian."

Sebelum ini, laporan itu dijangka dikeluarkan kepada umum pada 2020 tetapi ia hanya dilakukan baru-baru ini, menurut Fortify Rights, yang menyatakan bahawa mereka telah pun memperoleh salinan laporan berkenaan dalam versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Laporan versi Bahasa Inggeris telah berada dalam laman web Kementerian Dalam Negeri bagi suatu tempoh sebelum ia diturunkan pada awal September, kata kumpulan itu. Setakat awal Selasa, ia menyatakan bahawa laporan versi Bahasa Malaysia masih boleh didapati di laman web berkenaan.

Pada Januari 2015, pihak berkuasa Malaysia menjumpai 139 kubur besar dan 28 kem lama yang telah ditinggalkan di sekitar kawasan berbukit sepanjang sempadan negara itu dengan Thailand di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, namun hanya bertindak mengeluarkan kesemua mayat yang ditemui empat bulan selepas itu.

Lebih 100 rangka manusia, dipercayai mangsa etnik Muslim Rohingya yang merupakan kaum minoriti di Myanmar, ditemui di dalam kuburan manakala baki rangka lain dipercayai milik pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh.

"Arahan menunggu yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara pada waktu itu telah menyebabkan kelewatan dalam siasatan, dan telah memberi impak signifikan terhadap kualiti siasatan secara keseluruhannya," menurut laporan siasatan itu, yang merujuk kepada tempoh kelewatan selama empat bulan.

Pada Jun 2019, sebuah suruhanjaya kerajaan Malaysia menyelesaikan sesi pendengaran selama 17 hari selepas mendengar keterangan daripada 48 orang saksi dan menyediakan laporan akhirnya mengenai hasil dapatan daripada inkuiri berkenaan.

Pada Januari 2020, Fortify Rights 2020 berkata Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan bahawa laporan berkenaan akan dibentangkan kepada kabinet dan akan dikeluarkan kepada umum sekiranya kabinet bersetuju berbuat demikian.

Lebih dua tahun selepas itu iaitu pada Julai 2022, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberitahu Ahli Parlimen bahawa laporan berkenaan telah pun diluluskan lebih dua tahun sebelum itu.

Menurut laporan berkenaan, Khalid Abu Bakar, yang merupakan Ketua Polis Negara pada 2015, telah mengarahkan supaya operasi mengeluarkan kesemua mayat daripada kubur yang ditemui itu, dilengahkan kerana beliau "tidak pasti sama ada lokasi kem yang ditemui itu berada dalam kawasan Malaysia atau Thailand."

"Persoalan sama ada kem penyeludupan tersebut berada dalam wilayah Malaysia atau Thailand sepatutnya disiasat dengan segera dan bukannya dilewatkan," kata Fortify Rights. "Akibat daripada kelewatan itu, pakar forensik hanya mampu menentukan sebab kematian dua daripada 114 mangsa dan ini menghalang usaha untuk mempertanggungjawabkan (mereka yang terlibat)."

Sebagai perbandingan, Thailand telah mendakwa 102 orang tertuduh bagi pelbagai kesalahan berkaitan dengan mayat mangsa pemerdagangan manusia yang ditemui di dalam kawasannya, dengan 62 daripada mereka telah disabitkan bersalah pada Julai 2017. Antara mereka yang didapati bersalah ialah bekas pegawai tentera Leftenan Jeneral Manas Kongpaen, yang dihukum penjara selama 27 tahun sebelum hukuman itu dinaikkan tiga kali ganda kepada 82 tahun pada Oktober 2019.

Namun, Malaysia masih belum mengambil tindakan terhadap para pegawainya yang cuai dalam mengendalikan kes Wang Kelian "walaupun mereka telah menunjukkan kecuaian dalam tugas mereka, dan lebih utama, terus menerus menafikan keadilan terhadap mangsa pemerdagangan manusia dan keluarga mangsa melalui tindakan mereka," kata Fortify Rights.

Ia merujuk kepada tindakan Jabatan Negara AS yang mengekalkan Malaysia pada Tahap 3 iaitu tahap terendah dalam laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan pada Julai lepas. Laporan itu menyatakan bahawa siasatan antipemerdagangan manusia telah dinafikan, dan kerajaan tidak mendakwa atau mensabitkan kesalahan terhadap pegawai kerajaan yang dikatakan terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia.

"Tindakan Malaysia yang masih belum mempertanggungjawabkan pegawainya telah memberi kesan yang mencalari rekod negara dan ini mesti diperbaiki," kata Smith. Penyeludupan etnik Rohingya ke Malaysia adalah sesuatu yang masih berleluasa dan sistematik, dengan ia memerlukan keadilan, kebertanggungjawaban dan pampasan diberi kepada semua mangsa dan keluarga mereka."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.