Saksi RCI Wang Kelian Dakwa Thailand Galakkan Pendatang Masuki Malaysia

Radzi Razak
2019.04.22
Putrajaya, Malaysia
190422-MY-TH-WangKelian1000.jpg Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal kem sementara yang ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia di Wang Burma, di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Wang Kelian, Perlis, 26 May 2016.
[AP]

Bekas pegawai cawangan khas Polis DiRaja Malaysia [PDRM] pada Isnin mendakwa yang kerajaan Thailand secara tidak langsung menggalakkan kemasukan pendatang ke Malaysia dengan pengujudan beberapa kem sementara di selatan negara itu, demikian kata saksi ketujuh prosiding Suruhanjaya Siasatan DiRaja [RCI] pada Isnin.

Jamaluddin Shah Mohd Jawan memberitahu panel RCI penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis bahawa pihak berkuasa Thailand telah mewujudkan kem sementara di Ban Talo, Padang Besar dan Sadao di Thailand yang terletak bersebelahan dengan Anak Bukit dan Kampung Teluk di Malaysia selepas Nakhorn Si Thammarat tidak dapat menampung kemasukan pendatang.

“Jumlah pendatang yang ditahan oleh pihak berkuasa Thailand begitu ramai.. jadi mereka [Thailand] telah wujudkan satu kem penempatan di Kampung Teluk, bersebelahan sempadan Malaysia di Genting Perah dan Tangga 100.

“Satu lagi kem sementara diwujudkan di Sadao kerana kawasan Nakhorn Si Thammarat, tidak mampu menampung lebih banyak pendatang dan pemindahan itu dibuat secara sistematik dan dibahagikan mengikut kawasan.

“Tangkapan pendatang berlebihan dihantar ke lokap tempat tahanan di daerah lain sekiranya Nakhorn Si Thammarat tidak mencukupi dan seterusnya di bawa ke selatan. Ia juga berkemungkinan besar dijadikan sebagai satu alasan untuk membawa pendatang daripada Nakhorn Si Thammarat terus Sadao lalu ke Padang Besar kemudian ke negara kita,

“Dari maklumat yang diperolehi, mereka [pendatang] inilah yang lari ke negara kita dan tujuan utama mereka adalah untuk memasuki negara kita, atau seterusnya ke Singapura atau Australia,” dakwa Jamaluddin yang juga merupakan pemangku ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Perlis ketika penemuan kem di Wang Kelian pada 2015.

Tambah beliau, “Risikan dan siasatan yang dibuat, mendapati pendatang yang masuk ke Malaysia, adalah mereka yang pernah ditahan di Thailand.”

“Perkara ini diperakui sendiri oleh Ketua Polis Thailand yang mana, pendatang yang ditemui di Ban Talo dan Padang Besar adalah yang sama yang ditahan di Nakhon Si Thammarat dan juga di Sadao,” tambah Jamaluddin pada hari ketiga prosiding di hadapan Pengerusi RCI Arifin Zakaria,  bekas Ketua Hakin Negara dan Norian Mai, bekas Ketua Polis Negara sebagai Timbalan bersama ahli panel lain.

Norian turut bertanya kepada Jamaluddin jika beliau bersetuju bahawa pihak berkuasa Thailand secara tidak rasmi telah mengalakkan kemasukan pendatang ke Malaysian melalui tindakan mereka.

“Ya, berdasarkan maklumat, sebab itu apabila kita melihat kem tersebut, kerana saya turut terlibat dalam penemuan kem tersebut sejak awal, dan saya juga melihat kem di Thailand, ianya sama dengan yang dijumpai di negara kita kerana tiada satu pun barang yang dijumpai datang dari negara kita,” jawab Jamaluddin merujuk kepada penemuan makanan yang mempunyai label tulisan Thai yang dijumpai di Kem Wang Burma pada 19 Jan, 2015.

Arifin kemudiannya bertanya sama ada Jamaluddin pernah ke Thailand berdasarkan kenyataan beliau tentang persamaan kem yang dinyatakan itu.

“Ya. Saya pernah ke sana pada 1 Mei (2015) ketika pihak Thai melakukan operasi besar-besaran di Padang Besar (sebelah Thailand). Saya ada dokumen dan juga gambar-gambar operasi tersebut, kubur dan struktur kem sama seperti Malaysia,” kata Jamaluddin.

Ariffin turut bertanyakan sama ada terdapatnya permerdagangan manusia dan Jamaluddin menjawab, “Melalui maklumat yang diterima, dari segi pemerdagangan manusia itu, memang ada, iaitu di sebelah negara jiran.”

RCI ditubuhkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan pada Mac lalu untuk menyiasat pertemuan kem sementara dan kubur di Wang Kelian dengan diberikan tempoh selama enam bulan bagi panel berkenaan memfailkan laporannya.

Prosiding RCI pada Isnin bersambung dari minggu lalu dengan lebih ramai saksi termasuk pegawai polis negeri, komando dan wartawan yang menulis berkenaan penemuan itu akan dipanggil.

Baru-baru ini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [SUHAKAM] dan kumpulan aktivis guaman Fortify Rights mempersoalkan kenapa pihak berkuasa Malaysia menunggu sekian lama untuk menyiasat mengenainya, sebelum memindahkan mayat yang dijumpai di kawasan kem tersebut.

SUHAKAM dan Fortify Rights sebelum ini mengeluarkan sebuah laporan 121 muka surat pada hujung Mac bertajuk “Sold Like Fish,” berdasarkan siasatan mereka selama bertahun-tahun dan juga hasil temubual bersama 270 individu yang mendakwa kelewatan mengeluarkan mayat itu telah menghalang proses siasatan yang sebenar.

Selepas penemuan kem dan kubur itu pada 2015, pihak berkuasa Thailand telah mengambil tindakan dengan menahan dan melakukan siasatan mendalam terhadap kes tersebut. Pada Julai 2016, Thailand telah menghukum seramai 103 orang termasuk seorang pegawai tertinggi tentera kerana bersubahat atau mengambil bahagian dalam pemerdagangan manusia.

Menurut agensi berita Reuters, seorang lelaki Rohingya yang bernama Anwar adalah individu utama dalam rangkaian pemerdagangan manusia yang turut mengawal kem di dalam hutan yang meragut banyak nyawa.

Sidang tertutup


Prosiding pada Isnin juga menyaksikan buat pertama kalinya diminta untuk diadakan secara tertutup selepas Jamaluddin membuat permohonan itu kerana beliau mahu memberikan keterangan terhadap 11 individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Arifin kemudian meminta semua di dalam dewan itu termasuk wartawan untuk keluar kerana maklumat yang akan diberikan Jamaluddin adalah maklumat rahsia, dan orang awam dipanggil masuk semula ke dalam dewan, 30 minit kemudian.

Sebelum itu, Jamaluddin kelihatan tidak selesa menjawab soalan berkenaan kejadian itu seperti yang dilaporkan oleh Sivanganam yang mendapat maklumat dari sumber yang tidak diketahui pada 20 Jan, 2015 yang menyenaraikan nama orang tempatan yang terlibat.

“Beberapa nama dalam laporan Sivanganam turut ada dalam laporan Cawangan Khas. Jadi nama-nama itu bukanlah baharu. Mereka cumalah orang perantaraan (runners),” kata Jamaluddin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.