Malaysia Gesa Usaha Dalam Talian Bersama Menentang Naratif Ekstremis

Nani Yusof
2016.05.11
Washington DC
160511-my-reezal-620 Timbalan Menteri Luar Malaysia Reezal Merican Naina Merican semasa bercakap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, 10 May 2016.
Ihsan Pejabat Timbalan Menteri Luar

Malaysia pada Rabu menekankan pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang perlunya melaksanakan usaha media sosial bersama bagi menangani kenyataan naratif yang dikemukakan oleh Negara Islam dan kumpulan pengganas lain.

"Kami percaya adanya keperluan untuk menggalakkan lebih ramai tokoh masyarakat dan cendekiawan Muslim yang celik IT [teknologi maklumat] dan media bagi mendekati belia melalui media sosial untuk menangani naratif, termasuk memperjelaskan konsep jihad yang telah diputarbelitkan bagi menjalankan agenda pengganas," kata Timbalan Menteri Luar Malaysia Reezal Merican Naina Merican pada sebuah forum Majlis Keselamatan PBB di New York.

"Ada masanya, janji tentang ganjaran syurga dan penyucian rohani membawa mereka menjadi sesat dan terpengaruh dengan naratif pengganas," katanya pada perbahasan terbuka mengenai "Ancaman Kepada Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa Akibat Tindakan Pengganas: Menangani Naratif dan Ideologi Keganasan. "

Semasa menerangkan tentang usaha-usaha antarabangsa pada masa lalu bagi menangani keganasan dan ekstremisme ganas, beliau berkata, walaupun mereka melihat pelbagai peringkat kejayaan, "namun, masyarakat antarabangsa boleh dan perlu melakukan dengan lebih banyak lagi."

Sambil menolak kaitan keganasan dengan mana-mana agama, bangsa atau kumpulan etnik, beliau bagaimanapun berkata, umat Islam "tidak boleh berada dalam penafian", dan menekankan tentang keperluan kritikal untuk menangani apa yang dipanggil eksploitasi Islam oleh kumpulan pengganas yang, katanya, telah membawa kepada tanggapan tentang kaitan antara keganasan dan Islam serta umat Islam.

"Keamanan adalah definisi Islam," katanya, sambil menolak dakwaan pengganas bahawa agama itu membenarkan perlakuan kejam mereka.

"Muslim sebenar tidak menerima ideologi-ideologi yang mendukung kebencian, keganasan melampaui batas dan kemusnahan," katanya.

Bagi mereka yang telah terpinggir, kecewa atau dilucutkan haknya, suatu ideologi boleh menjadi perkara yang berkuasa, kata beliau, sambil menekankan bahawa menangani naratif pengganas bermakna menghapuskan punca peminggiran, kekecewaan dan pelucutan hak iktu, dengan mendedahkan "kesilapan" naratif pengganas.

Beliau berkata sebahagian daripada usaha Malaysia untuk menangani kenyataan ekstremis adalah dengan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin agama dan masyarakat bagi menyebarkan  mesej “tepat” tentang Islam.

Rangka kerja antarabangsa

Forum sehari itu bertujuan menyediakan platform untuk membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai strategi antarabangsa untuk menangani naratif dan ideologi kumpulan pengganas, terutamanya IS, dan meneroka mekanisme yang boleh digunakan untuk menyelaras, membuat susulan serta menggerakkan tindakan dan sumber antarabangsa dalam menentang keganasan.

Majlis Keselamatan pada Rabu meminta badan subsidiari utamanya bagi  menangani keganasan supaya membentangkan cadangan  rangka kerja antarabangsa yang komprehensif untuk menangani propaganda pengganas pada April tahun depan.

Majlis dianggotai 15 negara itu meminta Jawatankuasa bagi Menangani Keganasan (CTC) mengesyorkan garis panduan dan amalan baik untuk mengatasi secara berkesan cara IS, Al-Qaeda dan kumpulan pengganas lain menggunakan naratif mereka untuk menggalakkan dan merekrut orang lain melakukan perbuatan ganas.

CTC akan bekerjasama rapat dengan Direktorat Jawatankuasa Eksekutif bagi Menangani Keganasan (CTED), Pasukan Petugas Pelaksanaan Menangani Keganasan (CTITF) dan badan-badan lain yang berkaitan, serta negara anggota PBB yang berminat.

Majlis Keselamatan juga menyatakan kebimbangannya bahawa IS dan kumpulan pengganas lain "mereka-reka naratif yang diputarbelitkan berasaskan salah tafsir dan salah gambaran agama untuk mewajarkan keganasan."

Dalam ucapan pembukaannya pada perbahasan terbuka itu, Timbalan Setiausaha Agung PBB Jan Eliasson menekankan bahawa kumpulan pengganas mengeksploitasi kepercayaan agama untuk menghasut kebencian dan keganasan dan membawa perpecahan dan polarisasi dalam masyarakat.

"Pengganas dan ekstremis ganas secara  terang-terangan mencabar nilai-nilai yang termaktub dalam Piagam Bangsa Bersatu, Deklarasi  Hak Asasi Manusia Sejagat serta  usaha bersama kita dalam mendapatkan keamanan, keadilan dan maruah insan," katanya.

"Kepercayaan  kepada hak asasi manusia yang asas,  kemuliaan serta nilai diri insane, dan keutamaan perpaduan global mewakili kuasa besar yang ada pada kita untuk menangani naratif dan ideologi pengganas," kata Eliasson.

 

Haireez Azeem Azizi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.