Malaysia Pertahan Yuran Pendaftaran Pekerja Asing Yang Dikenakannya

Haireez Azeem Azizi
2016.03.01
Putrajaya
160301-my-migrantworkers620 Beberapa buruh asing dari Indonesia kelihatan sedang berehat di 'asrama' mereka di Kuala Lumpur, 07 Mac 2007.
AFP

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad pada Selasa mempertahankan kadar yuran pendaftaran RM800 yang dikenakan terhadap setiap pekerja asing yang mahu mengambil Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana ia berpatutan dan adil.

Katanya, kadar yang ditetapkan itu adalah selepas kerajaan mengambil kira kos yang perlu ditanggung ekoran kemasukan pekerja asing tanpa izin seperti kos penahanan, kesihatan, keselamatan, yuran mahkamah dan penghantaran pulang.

Beliau turut mengakui yang kementeriannya menerima beberapa "kritikan" daripada majikan mengenai jumlah yang dikenakan itu yang dikatakan terlalu tinggi.

“Yuran pendaftaran yang dikenakan itu masih lagi rendah, jika dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura dan Timur Tengah,” katanya di Putrajaya pada Selasa.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia juga mengakui program penggajian semula yang diperkenalkan kurang mendapat sambutan, apabila hanya seramai 10,239 pekerja asing dari 2,210 majikan mendaftar sehingga 28 Februari lepas.

Beliau yang kurang berpuas hati dengan jumlah pendaftaran itu berkata "Satu angka yang amat rendah. Jika mahu dikatakan mereka menghadapi kesulitan untuk mendaftar, ia tidak berasas kerana pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian,”

Pada November 2014 Menteri Sumber Manusia Richard Riot dilaporkan berkata, jumlah pekerja asing sama ada yang sah atau pun tidak, berjumlah seramai 6.7 juta orang dengan sejumlah 2.1 juta mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.

Nur Jazlan berkata, Kementerian Dalam Negeri juga sedang mengkaji struktur yuran pendaftaran itu.

Kerajaan Malaysia bermula 15 Feb lepas telah memperkenalkan program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam usaha membolehkan pekerja asing haram memiliki permit kerja yang sah di negara itu.

Program yang belum sebulan diperkenalkan itu dikatakan tidak mendapat sambutan kerana majikan kurang berminat dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan, bayaran yuran pendaftaran dan penalti yang tinggi, termasuk majikan masih lagi berurusan dengan ejen tidak sah.

‘Umum kadar baru’


Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah mahu kerajaan mengumumkan kadar bayaran levi baru seperti yang dijanjikan sebelum ini, dengan kadar segera.

“Jika kerajaan mahukan program ini berhasil, perkara pertama yang perlu kerajaan selesaikan ialah mengumumkan kadar baru levi perkerja asing ini, kerana pihak majikan masih lagi menunggu kata putus mengenainya,” jelas beliau kepada BeritaBenar pada Selasa.

Katanya, kerajaan berjanji akan mengumumkan kadar baru levi pada 20 Februari lepas, sebaliknya sehingga kini ianya belum lagi dibuat.

“Jika kadar levi masih belum diumumkan, bagaimanakah caranya majikan mahu mendaftar pekerja mereka? Jadi saya meminta kerajaan untuk menetapkan kadar levi segera tanpa penangguhan lagi,” tambah beliau.

Awal bulan Febuari lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan mengenai penstrukturan semua kadar levi pekerja asing bagi sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian yang dijangka memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada negara

Ahmad Zahid berkata, levi baru bagi sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan adalah sebanyak RM2, 500 manakala sektor perladangan perlu membayar RM1, 500 berbanding kadar sebelum ini iaitu kira-kira RM1,250.

Bagaimanapun, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan kadar baru itu selepas mendapat bantahan daripada para majikan.

Satu pertemuan antara kementerian dalam negeri dan pihak majikan telah diadakan berhubung perkara itu bulan lepas, yang sehingga kini masih lagi belum mencapai sebarang keputusan.

Setiausaha Agung Malaysian Trade Union Congress N. Gopal Krishnam juga percaya sambutan terhadap program itu yang tidak menggalakkan kerana kadar yuran pendaftaran dan levi yang tinggi adalah punca utama para majikan mengambil masa untuk mendaftar semula pekerja asing mereka.

"Kami sangat berharap kerajaan dapat mengurangkan atau memansuhkan yuran pendaftaran dan levi,” katanya kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.