Malaysia Mula Vaksinasi Golongan Remaja Dengan Pfizer

Ibubapa menyambut baik program vaksinasi remaja tetapi masih bimbang dengan kesan sampingan.
S. Adie Zul & Muzliza Mustafa
2021.09.08
Kuala Lumpur
Malaysia Mula Vaksinasi Golongan Remaja Dengan Pfizer Pelajar tingkatan lima yang memakai pelitup muka bergerak masuk dalam barisan menuju ke dewan peperiksaan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Putrajaya, 22 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Rabu memulakan proses vaksinasi terhadap remaja dan kanak-kanak yang berumur 12 hingga 15 tahun dan berada dalam kategori berisiko tinggi, menggunakan vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech, dengan Sarawak dipilih sebagai negeri pertama, demikian kata Menteri Kesihatan.

Ibubapa pula memaklumkan kepada BenarNews yang mereka merasa lega kerana akhirnya pelajar sekolah akan menerima suntikan vaksin COVID-19, walaupun ada di antara mereka yang masih bimbang terhadap risiko kesan sampingan daripada suntikan berkenaan.

"Vaksinasi bagi remaja di Sarawak akan bermula hari ini, bermula dengan remaja berumur 16 dan 17 tahun juga bagi remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang berisiko tinggi atau mempunyai penyakit kronik.

"Ia [vaksinasi] akan diikuti Labuan dan Lembah Klang tidak lama lagi. Kita akan memberikan vaksin jenis Pfizer," kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.

Khairy berkata kumpulan pertama pelajar di Sarawak yang akan menerima vaksin itu melibatkan 76,400 remaja dimulakan selepas mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial rasmi berkata Sarawak mensasarkan remaja 16 dan 17 tahun akan lengkap vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober.

“Vaksinasi remaja akan diperluas apabila liputan vaksinasi lengkap populasi dewasa di setiap negeri mencapai 80 peratus ke atas,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata program vaksinasi bagi remaja yang bermula di Sarawak itu adalah kerana negeri tersebut mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi.

“Sarawak mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi dan menunjukkan perkembangan yang begitu baik dalam kapasiti untuk bertindak, manakala program di Labuan akan dimulakan tidak lama lagi seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” katanya kepada BenarNews.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg pada Rabu berkata pemberian vaksin bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang sihat pula dijadual bermula pada penghujung bulan September, bergantung kepada bekalan vaksin yang akan diterima.

"Program imunisasi untuk golongan remaja akan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam khas, sekolah serta klinik kesihatan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian.

"Klinik kesihatan akan memberi vaksin kepada pelajar berasrama yang masih berada di kampung selain kalangan remaja yang sudah tidak bersekolah," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di sebuah klinik kesihatan di Kuching.

Pada Isnin, Ketua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Sim Kui Hian dilaporkan berkata kira-kira 240,000 remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Sarawak layak menerima vaksin COVID-19 di bawah program imunisasi berkenaan.

Reaksi ibubapa

Ibubapa yang ditemubual BenarNews pula memberi reaksi bercampur mengenai program vaksinasi COVID-19 bagi golongan pelajar 17 tahun dan ke bawah.

Mereka menyambut baik langkah kerajaan meluaskan program vaksinasi kepada pelajar walaupun ada kegusaran mengenai risiko kesan sampingan dari suntikan tersebut.

Ibu kepada dua anak, Qaseh Hakim berkata beliau bersetuju untuk membenarkan anaknya divaksin sebagai langkah pelindungan walaupun wujud kebimbangan mengenai risiko kesan sampingan.

“Saya masih berbelah bahagi. Saya mahukan anak yang berusia 14 tahun divaksin. Ia adalah langkah yang baik untuknya sebagai pelindungan.

“Tetapi dalam masa yang sama saya bimbang mengenai risiko kesan sampingan tetapi saya tekad untuk mendaftarkan namanya melalui aplikasi MySejahtera,” katanya kepada BenarNews.

Bagi anaknya yang berusia enam tahun, Qaseh, yang telah lengkap divaksinasi, berkata beliau mengambil pendirian tunggu dan lihat sementara kerajaan membuat keputusan berhubung vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak.

Bapa kepada sepasang anak kembar berusia 16 tahun, Hairul Anuar Mohamad Nor menyakinkan anak-anaknya untuk mengambil vaksin sebagai pelindungan sebelum mereka kembali ke sekolah.

“Anak-anak saya banyak bertanya mengenai vaksin dan saya terangkan kepada mereka yang vaksin adalah perkara yang normal.

“Kita mula menerima suntikan vaksin ketika bayi dan apabila meningkat ke umur tertentu, tiada bezanya. Saya mahu supaya mereka divaksin, dengan ini saya kurang bimbang mengenai keselamatan mereka apabila kembali bersekolah,” katanya.

Seorang lagi bapa, Ahmad Azwang Aisram memaklumkan BenarNews yang beliau menyokong penuh program vaksinasi untuk golongan remaja.

“Saya sangat menyokong program vaksinasi. Anak saya yang berusia 17 tahun akan menduduki peperiksaan penting tahun ini dan telah mendaftarkannya untuk program vaksinasi ini, beliau memahami kepentingan mendapatkan vaksin sebelum kembali bersekolah,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin pada Isnin berkata sesi persekolahan secara bersemuka di negara itu akan disambung secara berperingkat bermula 3 Oktober, bermula dengan Labuan yang telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Memandangkan Labuan telah memasuki Fasa 4 PPN, sekolah-sekolah dapat dibuka kembali pada 3 Oktober bagi Tingkatan 5 dan 6, dan pembukaan semula sekolah di pulau ini akan dilakukan secara berperingkat," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pentadbir sekolah di Labuan.

Kehidupan dalam fasa endemik

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan kepada BenarNews yang peralihan kepada fasa endemik akan diteruskan walaupun kadar kes jangkitan COVID-19 masih tinggi.

“Endemik bermakna virus telah berada di dalam komuniti dan masyarakat telah memiliki antibodi dalam badan mereka. Sebab itu di Sarawak walaupun jumlah kes jangkitan harian tinggi, jumlah pesakit kategori 3 hingga 5 adalah kurang, majoriti yang dijangkiti berada dalam kategori 1 dan 2,” kata Noor Hisham.

Ujarnya lagi dengan lebih ramai rakyat mendapatkan vaksinasi COVID-19, negara itu akan dapat beralih kepada fasa endemik.

“Tidak lama lagi, pandemik ini akan beralih kepada endemik kepada mereka yang telah mendapatkan vaksinasi tetapi, kepada mereka yang tidak mendapatkan suntikan, mereka akan terus berada dalam keadaan pandemik.

“Mereka yang tidak divaksinasi akan terus berisiko mendapat gelaja yang teruk sekiranya dijangkiti COVID-19 dan beriko meninggal dunia sekiranya dijangkiti,” jelasnya lagi.

Noor Hisham menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan protokol kesihatan yang ditetapkan bagi mengurangkan penularan COVID-19 di dalam komuniti.

Malaysia pada Rabu mencatatkan 19,730 kes jangkitan harian baru, menjadikan jumlah kes kumulatif sejumlah 1.9 juta sejak Mac tahun lalu.

Kes kematian pula dicatatkan sebanyak 361 menjadikan jumlah keseluruhan kepada 19,163 orang.

Noor Hisham juga berkata mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan juga kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk dan perkembangan positif itu dapat terus dilihat sekiranya Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.