Malaysia mahu laksana satu lagi program repatriasi migran mulai Mac

Program terbaharu itu bakal menyelaraskan proses penghantaran pulang serta mengurangkan pendakwaan perundangan kerana tinggal tanpa kebenaran, kata menteri.
Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2024.01.31
Kuala Lumpur
Malaysia mahu laksana satu lagi program repatriasi migran mulai Mac Warga asing yang dipercayai tidak memiliki dokumen sah ditahan dalam operasi bersepadu bersama Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Imigresen di Jalan Silang sebelum dibawa ke Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur untuk proses selanjutnya, 21 Dis, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia akan memulakan satu lagi program baharu penghantaran pulang migran dan pekerja asing tanpa dokumen dan tinggal melebihi tempoh visa, di mana pesalah hanya akan dikenakan denda berbanding terpaksa menjalani hukuman penjara, kata menteri dalam negeri pada Rabu.

Program yang akan bermula pada 1 Mac depan itu dilaksanakan dengan bertujuan untuk menyelaraskan proses penghantaran pulang serta mengurangkan pendakwaan perundangan terhadap mereka yang tinggal dalam negara tanpa kebenaran, kata Saifuddin Nasution Ismail.

"Mereka ini dibenarkan [pulang] selepas ini selepas mereka bayar kompaun.

"Program ini bersifatkan pengampunan pulang yang kita hebahkan dan diguna pakai kepada sesiapa yang terlibat bagi memudahkan penghantaran pulang," kata Menteri itu semasa sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Sebelum ini, Malaysia telah menamatkan inisiatif serupa yang dinamakan Program Rekalibrasi Pek-Tenaga Kerja 2.0 pada 31 Disember lalu, di mana program tersebut memberikan peluang kepada para majikan untuk memohon menggunakan pekerja asing yang berada dalam negara secara tidak sah mengisi kekurangan tenaga kerja mereka.

Di bawah program itu, seramai 518,000 telah diberikan permit kerja baru oleh kerajaan sebelum disalurkan kepada sektor-sektor yang menghadapi masalah tenaga kerja iaitu sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, perladangan, dan perkhidmatan.

Kata Saifuddin, inisiatif baharu yang diumumkannya itu akan memberikan pengampunan kepada mereka yang tidak layak menyertai program rekalibrasi dilaksanakan kerajaan sebelum ini boleh pulang ke negara masing-masing. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran spesifik mengenai mekanisme program itu.

"Kita akan menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen atas kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen secara secara sah, di mana kita akan kenakan kompoun sebanyak 500 ringgit (AS$105).

"Kita juga akan menggunakan peruntukan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan. Yang ini kita kenakan kompaun juga.

"Selain itu, mereka juga akan dikenakan tindakan bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat [lawatan] dengan kompaun sebanyak 300 ringgit (AS$63)," tambah Saifuddin.

Dalam sidang media yang sama, Saifuddin berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh pembekuan ke atas pengambilan masuk pekerja asing.

Keputusan itu adalah lanjutan daripada tindakan kerajaan pada Mac tahun lepas di mana ia menghentikan permohonan bagi kuota membawa masuk pekerja asing, dengan pengecualian terhad kepada beberapa sektor spesifik seperti perkhidmatan gunting rambut, tekstil, dan tukang emas.

"Kabinet telah bersetuju untuk melanjutkan tindakan diambil pada Mac tahun lepas, bermakna kabinet hari ini bersetuju melanjutkan pembekuan ke atas permohonan pekerja asing.

"Kenapa? Keputusan dibuat selepas mengambil kira jumlah pekerja asing yang terbabit dengan program rekalibrasi dengan kuota yang diluluskan telah mampu menampung keperluan," kata beliau.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk meneliti kembali perjanjian persefahaman (Mou) antara negara itu dengan beberapa negara sumber pekerja iaitu Nepal, Bangladesh dan Indonesia. Ketiga-tiga negara tersebut menyumbang 77 peratus tenaga kerja asing di Malaysia ketika ini.

Pada awal bulan ini, media tempatan melaporkan bahawa Saifuddin merancang untuk melihat semula MoU ditandatangani Malaysia dengan 15 negara sumber mengenai pengambilan pekerja, dengan tujuan mendapatkan persefahaman baru yang lebih dinamik.

Sangsi

Sementara itu, beberapa orang aktivis hak asasi pekerja asing menyuarakan kesangsian mereka terhadap program penghantaran pulang yang baharu oleh kerajaan itu terutama dari segi ketelusan.

Andy Hall, aktivis yang aktif memperjuangkan soal kebajikan pekerja migran, mendakwa proses penghantaran pulang dan rekalibrasi oleh kerajaan dicemari oleh masalah rasuah.

"Realitinya, masalah rasuah sistemik masih mencemari proses (rekalibrasi dan penghantaran balik), dan pekerja asing tanpa dokumen sah yang selalunya sudah sedia dalam kesusahan terpaksa membayar lebih daripada nilai kompaun untuk membolehkan mereka dihantar pulang atau diputihkan," kata beliau kepada BenarNews.

"Terdapat begitu banyak majikan palsu yang mahu memutihkan pekerja mereka juga, dan terdapat ramai ejen yang membantu mereka. Tetapi ia adalah bagus untuk pekerja yang mahu diputihkan atau pulang ke negara asal."

Bagi aktivis Adrian Pereira pula, beliau berpandangan bahawa tiada sesiapa yang patut dihukum kerana berhijrah, sama ada bagi mencari pekerjaan, masuk sebagai tenaga buruh, atau untuk memperbaiki mutu kehidupan mereka.

"Jadi kenapa kita mahu mencari mereka? Kenapa kita mahu kenakan kompaun? Adakah kerajaan akan memeriksa sebab kenapa mereka menjadi migran tanpa dokumen? Sekiranya kamu tidak berkemampuan untuk berbuat perkara ini, tidak usah mencari mereka," kata Pereira, yang merupakan pengarah eksekutif kumpulan hak pekerja asing North-South Initiative, kepada BenarNews.

"Saya rasa ia adalah sesuatu yang lucu apabila para pekerja ini tidak dibenarkan masuk semula sebagai tenaga kerja. Sudah tentu mereka mahu pulang, itu pilihan mereka. Tetapi dengan begitu ramai majikan masa ini masih memerlukan pekerja, bagaimana perkara ini boleh berlaku?"

Beliau turut menggesa supaya kerajaan bersikap lebih telus mengenai mekanisme program yang dilaksanakan, terutama apabila ia melibatkan kutipan denda daripada para pekerja asing.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.