Wartawan Tanpa Sempadan: Kebebasan Media Malaysia Terima Nafas Baru

Staf BeritaBenar
2019.04.18
Washington
190418-MY-Press-RFS-1000.jpg Wartawan di Kuala Lumpur membaca surat khabar mengenai pembunuhan seorang lelaki Korea Utara yang dipercayai dikenali sebagai Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Un, 17 Februari, 2017.
[AFP]

Kebebasan media di Malaysia menerima nafas baru menurut laporan tahunan badan pemantau media antarabangasa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) dalam Indeks Kebebasan Media Dunia apabila negara itu melonjak sebanyak 22 tangga sekaligus menempatkannya di tangga ke-123 dari 180 buah negara yang dinilai.

Menurut RSF, peningkatan kedudukan Malaysia itu disebabkan kejayaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang berjaya menewaskan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei tahun lepas.

"Kebebasan media sedang menerima nafas baru di Malaysia selepas parti pimpinan Perdana Menteri Najib Razak mengalami kekalahan mengejut pada pilihanraya umum Mei 2018 — kekalahan pertamanya dalam sejarah Malaysia moden,

"Wartawan dan media yang telah disenarai hitam, seperti kartunis Zunar, dan portal berita penyiasatan Sarawak Report, kini boleh terus beroperasi tanpa perlu rasa takut terhadap gangguan," demikian kata laporan RFS yang diterbitkan pada Khamis.

Halaman ringkasan ulasan RSF, sebuah organisasi berpangkalan di Paris, Perancis itu menyebut skor Malaysia telah menurun sebanyak 10.67 mata kepada 36.47 mata, sekaligus menunjukkan kebebasan akhbar di negara itu adalah lebih baik.

Menurut RSF, laporan indeks yang dikeluarkan setiap tahun sejak 2002 itu mengukur tahap kebebasan yang dinikmati oleh wartawan di 180 buah negara, ditentukan oleh pengumpulan maklumbalas pakar-pakar berdasarkan kepada soalan yang diberikan.

Laporan sama yang dikeluarkan pada April tahun lalu menyatakan Malaysia berada di tangga 145, ketinggalan di belakang negara jiran Indonesia (124) dan Thailand (140) dengan Singapura, kekal di belakang Malaysia di tangga ke-151.

RFS juga berkata Perdana Menteri Mahathir telah menunaikan janjinya untuk memansuhkan Peruntukan Orwellian bagi Akta Anti-berita palsu yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu.

Selain itu, RFS juga menyebut mengenai persekitaran umum bagi wartawan di Malaysia kini lebih tenang dan tapisan telah menurun secara dramatik di mana media cetak menawarkan pandangan yang lebih seimbang termasuk keupayaan mencetak artikel sokongan bagi kedua-dua belah jurang politik.

Bagi rantau Asia Tenggara, Malaysia kini berada di tempat kedua selepas Timor Leste, manakala Indonesia berada pada kedudukan ke-124, Filipina (134), Thailand (136), Myanmar (138), Cambodia (143), Singapura (151), Brunei (152), Laos (171) dan Vietnam (176).

Meskipun mencatatkan peningkatan yang sangat besar di rantau itu, Malaysia masih lagi berada dalam "situasi sukar" bersama dengan negara jiran lain di Asia Tenggara.

Bagiamanapun, kata laporan itu, Putrajaya masih mempunyai undang-undang drakonian yang boleh menekan media termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Di bawah undang-undang ini, yang mana memerlukan rombakan menyeluruh, pihak berkuasa mempunyai kawalan ketat terhadap lessen penerbitan dan wartawan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atas tuduhan hasutan,

"Ia masih memberi ancaman berterusan kepada kakitangan media, yang masih tidak dapat menyampaikan ekspresi dengan kebebasan sepenuhnya, walaupun sudah terdapat kemajuan," menurut ulasan laporan itu lagi.

Laos dan Vietnam menunjukkan prestasi yang paling buruk, di mana kedua-dua negara itu dikategorikan sebagai "situasi yang sangat serius,"

Norway, Finland, Sweden, Belanda dan Denmark berada di kedudukan teratas, manakala Korea Utara, Eritrea dan China berada pada kedudukan tercorot.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.