Follow us

Malaysia Pindahkan Rakyatnya Dari Riau

Staf BeritaBenar
2015-09-18
E-mel
Komen
Share
Sebuah pesawat Cassa 121 bersedia untuk berlepas bagi menjalankan operasi pembenihan awan di Pekanbaru, wilayah Riau, Indonesia. 17 September 2015
Sebuah pesawat Cassa 121 bersedia untuk berlepas bagi menjalankan operasi pembenihan awan di Pekanbaru, wilayah Riau, Indonesia. 17 September 2015
AFP

Malaysia mengambil keputusan untuk memindahkan seramai 221 rakyatnya dari wilayah Riau, Indonesia dengan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila keadaan jerebu semakin buruk pada Jumaat.

Timbalan Menteri Luar, Reezal Merican Naina Merican, semasa dihubungi BeritaBenar pada Jumaat berkata, kumpulan pertama seramai 120 orang termasuk empat orang kanak-kanak selamat tiba di Pangkalan TUDM Subang pada kira-kira 8.45 malam manakala penerbangan kedua yang membawa 101 orang pelajar mendarat pada pukul 12 tengah malam.

"Kesemua mereka adalah pelajar Malaysia di Universiti Islam Sultan Syarif Kasim dan Sekolah Pondok Pesantren Al Baidha di Pekanbaru, Riau, Indonesia.

“Jumlah keseluruhan pelajar Malaysia adalah seramai 230 orang, 221 sudah dibawa pulang maka ada sembilan lagi penuntut yang enggan pulang…. Mereka tidak mahu pulang atas beberapa sebab tapi kita tidak paksa namun menasihatkan mereka supaya jaga kesihatan dan keselamatan sepanjang keadaan jerebu teruk itu," katanya semasa dihubungi di Kuala Lumpur.

Kerajaan Indonesia mengisytiharkan darurat di Riau pada Selasa apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya dengan bacaan melebihi 1,000 dan tahap penglihatan yang terhad tidak sampai 100 meter (329 kaki).

Masalah jerebu rentas sempadan merupakan masalah di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Singapura sejak beberapa tahun lepas, dan ia berpunca daripada kegiatan pembakaran hutan bagi tujuan perladangan di Indonesia.

Reezal Merican berkata, proses pemindahan itu dikendalikan Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara.

Keadaan baik

Katanya, tahap kesihatan kesemua mereka termasuk kanak-kanak berusia antara dua dan empat tahun yang dibawa pulang itu, memuaskan.

Beliau berkata, pelajar yang dibawa pulang itu hanya akan dibenarkan kembali semula ke Indonesia setelah keadaan jerebu pulih dan masih diisytihar darurat.

“Kesemua mereka yang dibawa pulang juga telah mendapat pelepasan daripada pentadbiran universiti dan sekolah masing-masing, memandangkan kesemua universiti dan sekolah di kawasan berkenaan telah ditutup buat sementara waktu,” katanya.

Terdahulu itu, Kementerian Luar turut mengeluarkan kenyataan yang mengumumkan bahawa ia telah membuka bilik operasi untuk memantau keadaan rakyat Malaysia di Riau.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia dan Indonesia akan mengambil beberapa langkah penyelesaian jangka panjang dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun.

Perkara itu telah dibangkitkan beliau di pertemuan dengan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Indonesia Luhut Binsar Pandjaitan, kata Ahmad Zahid yang kini berada di Jakarta kerana mengadakan lawatan kerja empat hari ke republik itu mulai Jumaat.

Perinci langkah

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kedua-dua negara akan berbincang dan memperinci langkah-langkah penyelesaian itu pada pertemuan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Dr Siti Nurbaya Bakar tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Naib Presiden Indonesia Jusof Kalla meminta negara-negara jiran republik itu, Malaysia dan Singapura, supaya memahami keadaan jerebu yang dialami ketiga-tiga negara dan tidak menuding jari kepada Indonesia sahaja.

"Untuk negara-negara jiran (Malaysia dan Singapura), kita sama-sama menikmati alam ini dan kita sama-sama kena akibatnya kalau salah (menguruskan persekitaran).

"Hakikatnya kita (Indonesia) lebih menderita (dalam isu jerebu)," katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ahmad Zahid di Istana Wakil Presiden (Pejabat Naib Presiden) di Jakarta, pada Jumaat.

Jusof mengakui bahawa adalah sukar bagi Indonesia untuk mengatasi masalah jerebu itu tetapi memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik bagi menanganinya.

"Di pihak kerajaan, kami sudah melakukan apa yang mampu dalam masalah jerebu itu. Selalu saya katakan ini adalah masalah alam.

"Kita sudah berusaha termasuk pembiayaan membawa 20 helikopter dan pesawat (membawa air bagi memadam kebakaran hutan) tetapi ternyata ia sukar. Ini kerana ketika ini musim kering," katanya.

Beliau juga berkata bahawa Malaysia menyokong langkah kerajaannya untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat perladangan Malaysia di Sumatera sekiranya terlibat dalam pembakaran hutan yang menyebabkan jerebu.

Di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia, Wan Junaidi pula berkata mesyuarat dengan Siti Nurbaya yang dijadualkan pada 25 Sept ini terpaksa ditangguhkan sekali lagi atas permintaan menteri Indonesia itu yang perlu menangani keadaan darurat di negaranya akibat jerebu di Sumatera dan Kalimantan.

Mesyuarat itu bertujuan mempercepatkan proses memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) dua hala mengenai program pencegahan pencemaran jerebu merentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Wan Junaidi juga berkata Malaysia tidak perlu melakukan lagi pembenihan awan di kawasan Malaysia Barat memandangkan keadaan jerebu semakin reda dan tahap jerebu berkurangan berikutan perubahan tiupan angin di rantau ini yang bertukar dari barat daya ke timur bermula semalam.

"Dengan perubahan tiupan angin, kualiti udara di beberapa kawasan di seluruh negara bertambah baik," katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Operasi pembenihan awan telah dibuat di Malaysia Barat selama 3 hari bermula Selasa lepas, yang melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia dan TUDM.

Namun, keadaan jerebu pada tahap "tidak sihat" yang masih membelenggu Sarawak, negeri di Malaysia Timur, memerlukan operasi pembenihan awan terus dilakukan sehingga 25 Sept ini.

Malaysia menjangkakan keadaan jerebu di seluruh negaranya reda selepas berakhirnya musim Monsun Barat Daya pada pertengahan bulan ini, dan diikuti Musim Peralihan Monsun sehingga November ini.

Pada musim Peralihan Monsun, Malaysia mengalami hujan sehingga Oktober depan.

Wan Junaidi turut menyelar pihak-pihak yang cuba menyalahkan Malaysia dan meminta kerajaan bertanggungjawab kerana beberapa syarikat Malaysia yang melakukan pembakaran hutan di Indonesia telah menyebabkan jerebu di rantau itu.

"Anda tidak boleh menyalahkan Malaysia atau kementerian...salahkan syarikat atau individu yang berkenaan (berhubung masalah jerebu)," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak berkuasa Indonesia harus membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang melakukan pembakaran itu berdasarkan undang-undang republik berkenaan tanpa mengira sama ada ia syarikat Malaysia atau Indonesia.

Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh